Utama Blog Halaman 151

LZS LANTIK ANGKASA SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT

0

Tarikh : 8/18/2009
Penulis : Editor

Kelana Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menandatangani perjanjian melantik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai ejen kutipan zakat terkini di Selangor.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar LZS, Haji Ahmad Shahir Makhtar serta Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar. Ia turut disaksikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dengan pelantikan ini, membolehkan pihak ANGKASA mengutip zakat perniagaan daripada 400 buah koperasi yang beroperasi di Selangor bagi pihak LZS.

ANGKASA adalah koperasi apex yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. Kerjasama yang terjalin ini dilihat mampu menjana kutipan zakat di negeri Selangor. Sepanjang tahun 2008 sebanyak 42 buah koperasi telah menunaikan zakat di LZS dengan jumlah RM3.6 juta.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dr. Mohd Ali Baharum.

RM900 RIBU UNTUK BANTU RUMAH-RUMAH KEBAJIKAN

0

Tarikh : 8/4/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM, 2 April 2009 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan bantuan zakat kepada 28 buah rumah kebajikan di Selangor berjumlah RM900,000 di sini yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha MAIS, Ustaz Abdul Haleem Hapiz Salihin.

Bantuan diberikan bertujuan menambah dana bagi membantu rumah-rumah kebajikan ini dalam menangani masalah sosial. Selain itu ia juga membantu rumah-rumah kebajikan ini menjayakan operasi khidmat sosial kepada umat Islam sekali gus membantu pihak MAIS mewujudkan jaminan sosial dan kebajikan ummah supaya tidak ada yang melarat dan terpinggir.

Rumah kebajikan yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada rumah yang menempatkan anak yatim, warga emas, bekas penagih dadah, wanita yang menghadapi masalah, ibu tunggal dan pesakit AIDS.

Antara rumah kebajikan yang menerima bantuan ialah Pengurusan Anak-anak Yatim Damai menerima RM60,000, PROKIM Malaysia (RM60,000), Rumah Penjagaan Damai (RM50,000), Pertubuhan Penawar Warisan (RM55,000) dan lain-lain.

Turut hadir Pengurus Besar dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

FORUM PERDANA ADDIN ERAT HUBUNGAN LZS DAN MASYARAKAT

0

Tarikh : 3/8/2009
Penulis : Editor

Seri Kembangan – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menganjurkan Forum Perdana Addin bertajuk ‘Untung Dunia, Untung Akhirat’ yang diadakan di Surau al-Mawaddah, Kota Perdana Bandar Putra Permai bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara LZS dengan masyarakat setempat baru-baru ini.

Forum itu turut bertujuan memberi kefahaman dan penerangan tentang isu-isu terkini berkaitan kutipan dan agihan zakat.

Dua orang panel dijemput bagi mengupas isu-isu terkini berkaitan kutipan dan agihan zakat iaitu Eksekutif Dakwah LZS, Ustaz Abdul Halim Din dan guru Sekolah Agama Menengah Sains Kuala Selangor, Ustaz Ghazali Omar. Moderator bagi forum tersebut ialah Ketua Unit Penyelidikan Syariah LZS, Ustaz Mohammad Farid Mohammad Zainal.

Forum Perdana Addin ini merupakan aktiviti bulanan yang diadakan oleh LZS bagi mengimarahkan lagi institusi masjid dan surau. Semasa forum diadakan, kaunter penerangan zakat turut buka bagi memberi peluang kepada pengunjung menunaikan zakat.

LZS (MAIS) TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI BADAN AMIL ZAKAT

0

Tarikh : 7/27/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Delegasi daripada Badan Amil Zakat (BAZ) Kabupaten Karimun, Indonesia telah mengadakan lawatan ke Lembaga Zakat Selangor LZS (MAIS) bagi mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan zakat terutamanya daripada segi agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor baru-baru ini.

Delegasi seramai 21 orang ini diketuai oleh H. Atan AS turut diberi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Hj. Ahmad Shahir Makhtar tentang peranan LZS (MAIS) dalam usaha membebaskan golongan asnaf fakir dan miskin yang dibelenggu dengan masalah kemiskinan.

Semasa lawatan tersebut, delegasi diberi pendedahan tentang kaedah dan operasi yang dilaksanakan oleh LZS (MAIS) dalam aspek kutipan zakat. Pada sebelah petang, delegasi dibawa melawat ke projek asnaf seperti D’Asnaf Dobi, Pusat Dialisis dan D’Asnaf Kraf.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Hajah Adibah Abdul Wahab.

563 ANAK FAKIR DAN MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

0

Tarikh : 7/27/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Seramai 563 orang anak asnaf fakir dan miskin Negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

Daripada jumlah tersebut, seramai 100 orang merupakan pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 216 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 137 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 93 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan empat orang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lima orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kecemerlangan pelajar adalah berdasarkan jumlah A yang diperoleh iaitu minimum 4A bagi setiap peperiksaan kecuali bagi STPM iaitu minimum 3A.

Turut disampaikan Anugerah Bestari bagi pelajar yang terbaik keseluruhan yang disandang oleh Ahmad Fikri Husrin yang memperoleh 11 A dalam peperiksaan SPM.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat di bawah program pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda. Pada tahun lalu, LZS telah menyalurkan RM42.7 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi kesemua berkaitan pendidikan termasuklah pembayaran yuran sekolah, kelengkapan persekolahan, biasiswa pelajaran, bantuan umum pelajaran dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr. Halimah Ali dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

KARNIVAL MASJID 2009 ERAT HUBUNGAN LZS DENGAN MASYARAKAT

0

Tarikh : 7/22/2009
Penulis : Editor

Sungai Buloh – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh berjaya menganjurkan Karnival Masjid 2009 yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Karnival ini merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh LZS sempena Tahun Zakat Selangor 1430H. Karnival yang bermula dari 17hb hingga 19hb Julai ini diadakan bertujuan meningkatkan lagi usaha dakwah zakat di samping mengimarahkan institusi masjid kepada masyarakat. Selain itu melalui karnival tersebut, LZS turut dapat menyampaikan informasi zakat dan secara tidak langsung dapat memasyarakatkan institusi zakat.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan karnival tiga hari dua malam ini. Antaranya pelbagai gerai jualan dan pameran, pertandingan mewarna, Forum Perdana, Pertandingan Azan, al-Quran, dan sebagainya.

Sebelum ini LZS telah mengadakan Karnival Masjid ini di dua buah masjid lain iaitu Masjid As-Syakirin, Gombak dan Masjid Al-Raudah, Tanjong Karang. LZS merancang untuk mengadakan karnival seumpama ini ke seluruh daerah di Negeri Selangor.

32 PEGAWAI DAN KAKITANGAN SELANGOR DIKURNIA TUNAI HAJI

0

Tarikh : 7/10/2009
Penulis : ZANARIAH

Oleh: Khairul Izwan Bakeri
Klang – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan 32 individu terdiri daripada pegawai serta kakitangan kerajaan negeri menunaikan haji dalam Majlis Mengadap DYMM Sultan Selangor Bersama Bakal-Bakal Haji 2009 yang berlangsung di Istana Alam Shah baru-baru ini.

Kesemua bakal jemaah haji berkenaan menerima penajaan daripada enam institusi kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Baginda sendiri turut berkenan menaja jemaah terbabit selain Tabung Dato’-Dato’ dan Kerabat Diraja Negeri Selangor.

Daripada 32 individu tersebut, 11 orang bakal jemaah menerima tajaan daripada MAIS, tujuh daripada MBPJ, dua daripada MPAJ dan lima daripada LZS. Selain itu, tiga lagi menerima tajaan daripada Tabung Dato’-Dato’ dan Kerabat Diraja Negeri Selangor dan empat lagi merupakan tajaan DYMM Sultan Selangor.

Kurniaan ini merupakan salah satu usaha baginda serta kerajaan Selangor menghargai jasa serta sumbangan mereka terhadap agama Islam, negeri, masyarakat dan jabatan masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tan Sri Abdul Khalid b. Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Hasan b. Mohamed Ali, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes b. Haji Abdul Wahid, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib b. Mohd Isa dan Pengurus Besar LZS, Haji Ahmad Shahir b. Makhtar.

JEJAK ILMUAN KE INSTITUT KAJIAN HADIS SELANGOR

0

Tarikh : 7/7/2009
Penulis : Mohd Hatta Zainal Abidin

Bangi – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melalui Bahagian Majikan Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS mengadakan kunjungan muhibah ke Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini.

Program yang dinamakan Jejak Ilmuan siri pertama 2009 ini, memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan golongan akademik terutama dalam memberi idea memastikan perlaksanaan kutipan dan agihan di LZS dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Menurut Ketua Bahagian Majikan JDK, Azhar Yahya Arif, Program Jejak Ilmuan merupakan antara program perkongsian strategik antara LZSbersama para ilmuan dalam berkongsi pengalaman serta pendapat yang boleh dijadikan asas dalam membentuk strategi pengurusan kutipan dan agihan zakat di Negeri Selangor.

“Peranan INHAD dalam memartabat institusi zakat tidak boleh dipandang enteng kerana INHAD juga merupakan antara sumber maklumat rujukan LZS dalam mengenal pasti hadis yang boleh dijadikan hujah dan sandaran dalam melaksanakan beberapa keputusan berkaitan zakat di negeri Selangor,” jelas beliau.

ZIARAH KORPORAT MALAYSIAN AIRLINES SYSTEM (MAS)

0

Tarikh : 7/7/2009
Penulis : Azhar Yahya Arif

Subang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS diketuai oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa mengadakan kunjungan dalam Program Ziarah Korporat ke Malaysia Airlines System (MAS) di sini baru-baru ini.

Program yang merupakan kerjasama dengan Jabatan Pengurusan Sumber dan Latihan MAS ini diadakan bagi meningkatkan persefahaman dan usahasama dalam menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan warga kerja MAS khususnya pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Di samping itu, program ini melihat peluang pelaburan modal insan di kalangan anak-anak asnaf zakat untuk dikembangkan melalui peluang yang ditawarkan oleh MAS.

Delegasi seramai 15 orang ini juga di bawa meninjau ke Bahagian Kejuruteraan MAS untuk melihat pemeriksaan secara menyeluruh ke atas pesawat kendalian MAS. Malah delegasi turut diberi peluang untuk mencuba simulator bagi merasai sendiri pengalaman menerbangkan pesawat.

Menurut Pengarah Program, Mohamed Syahril Zainol, kerjasama yang diberikan ini diharap dapat menjalinkan usaha dan sinergi antara kedua belah pihak selain dapat menyemarak lagi usaha dakwah meningkatkan pembayaran melalui Skim Berkat. LZS (MAIS) turut membuka kaunter pembayaran zakat yang menarik minat kakitangan MAS untuk menyertai Skim Berkat.

LZS (MAIS) TERIMA RM1.14 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN

0

Tarikh : 6/26/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM, 25 Jun 2009 – Lapan syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,140,421.72 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dalam satu majlis di sini.

Syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM694,156.50, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd (RM120,210.20), Universiti Tun Abdul Razak (RM 116,950.00), Bank Simpanan Nasional (RM100,000.00) dan MS Time Ventures Sdn Bhd (RM52,790.59). Manakala Jalur Cahaya Sdn Bhd, Persatuan Nelayan Kawasan Sg. Besar dan Menawar Perkhidmatan Landskap Sdn Bhd masing-masing sebanyak RM50,000.00, RM3,594.60 dan RM2,719.83.

Dalam majlis yang sama, LZS turut mengagihkan bantuan zakat kepada dua individu dan institusi berjumlah RM56,610.40. Mereka ialah Surau Asy-Syakirin yang menerima bantuan baik pulih berjumlah RM25,000 dan Sekolah Agama Menengah Paya Jaras menerima bantuan sumbangan peralatan sekolah berjumlah RM10,000.

Manakala dua individu yang menerima bantuan ialah Mohamad Arif Bin Samsudin yang menerima bantuan perubatan sebanyak RM14,610.40 dan Anwar Khan Bin M.A Aziz Khan yang menerima bantuan menampung kos pembedahan membuang ketumbuhan di belakang badannya berjumlah RM7,000.00.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyampaikan penghargaan kepada ejen firma audit dan percukaian yang memperoleh kutipan zakat dan pembayar zakat tertinggi sepanjang tahun 2008, LTAX Secretarial Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus, Mohamad Astura Yusop.

Turut hadir Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

Berita Terkini