Utama Blog Halaman 140

“JANGAN GELISAH: TAPI BERUSAHALAH” – SALOMA

0

Tarikh : 11/18/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

“Ketika mula-mula diberhentikan bantuan zakat; hati saya kecut. Jiwa terasa jera. Bolehkah saya meneruskan kehidupan. Tetapi, seorang kawan yang sudah pun dikeluarkan daripada senarai asnaf miskin, memberikan perangsang. Dia berkata kepada saya, jangan rasa gelisah; tetapi hendaklah berusaha!”

Demikianlah secebis bicara Puan Saloma Tan, 45 yang menimbulkan minat penulis untuk memaparkan kisahnya di ruangan Jejak Asnaf pada kali ini. Seorang bekas asnaf zakat yang kini kian berani menongkah arus perniagaan. Manalah tahu, ia mampu membuka minda kepada ramai pembaca, bahawa zakat adalah bantuan yang tidak sepatutnya ditagih sepanjang usia.

Berasal dari Sekinchan dan menjelang tahun 2001, Saloma berpindah ke Kelang. Kala itu, dia sudah pun bergelar ibu tunggal dan turut bersamanya enam orang anak.

“Perkenalan saya dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermula pada tahun 2002. LZS mempelawa saya mengikuti kursus kraftangan, iaitu membuat bakul dan anyaman daripada kertas surat khabar lama.

“Saya ingat lagi, kami 12 orang kala itu adalah ibu tunggal yang merupakan perintis kepada projek asnaf ini. Kami diberikan kursus selama sebulan, dua minggu di Kelang dan dua minggu berikutnya di Selayang. Alhamdulillah, tamat kursus tersebut, saya sudah mempunyai kemahiran menghasilkan pelbagai kraftangan daripada kertas surat khabar.”

Penuh minat Saloma berkongsi cerita. Namun, kehidupan bukanlah selalunya ceria. Ada masanya, kita pasti akan diuji dengan kepayahan yang menuntut sebongkah kesabaran.

“Akhir 2005 saya bertemu jodoh kali kedua. Saya juga pernah diberikan bantuan bulanan oleh LZS. Bahkan, berbekalkan sedikit kemahiran dan niat mahu merubah masa hadapan, saya memohon bantuan modal daripada LZS. Alhamdulillah, LZS meluluskan bantuan modal perniagaan sebanyak RM5,000.00.

“Saya rasa seronok berniaga, dari sehari ke sehari perniagaan bertambah maju. Hinggalah suatu hari, saya didatangi oleh seorang wanita yang kelihatannya orang kaya dan berada. Wanita berkenaan mengaku dirinya seorang ‘datin’. Saya percaya dengannya, apatah lagi pihak D’ Asnaf Kraf, iaitu satu badan projek di bawah LZS pun percaya dengannya.

“Wanita berkenaan datang beberapa kali ke tempat saya dan mengambil pelbagai jenis hasil kraftangan. Dia berjanji akan memberikan bayaran. Dek kerana terpedaya dengan kelicikannya, akhirnya saya rugi hampir RM11,000.00. Barang-barang sudah diambil dan dia lesap menghilangkan diri.”

Saloma bercerita lanjut tentang kisah penipuan yang pernah melanda dirinya.

“Saya terpaksa menanggung kerugian itu dengan menjelaskan bayaran kepada beberapa orang lain yang saya minta membantu menyediakan hasil kraftangan tersebut. Apa hendak dikatakan, sudah nasib saya, kurang berhati-hati menerima tempahan.”

Bagaikan jatuh kemudiannya di timpa tangga. Rumah tangga yang dibina oleh Saloma diuji sedikit gelora. Tetapi, dia masih lagi mampu bertahan. Namun, demi meneruskan kehidupan, Saloma bingkas menyinsing lengan menghadapi cabaran.

“Susah-senang saya kena hadapi sendiri. Saya tidak boleh bergantung kepada takdir semata-mata. Islam mengajar kita berusaha. Lalu, saya mencuba nasib menjual alatan solek, pakaian dan pelbagai perhiasan. Syukur, setakat ini nampaknya saya mampu meneruskan perniagaan ini walaupun dalam keterbatasan modal.”

Sungguh pun sudah dikeluarkan daripada asnaf miskin, namun LZS masih mengizinkan Saloma untuk terus menetap di Rumah Transit LZS yang dikenali Baitul Barakah, di Klang. Ini demi membolehkan beliau benar-benar dapat berdikari dan seterusnya benar-benar mampu menyara kehidupannya. LZS memberikan tempoh maksima dua tahun kepada seseorang penerima zakat untuk berusaha dan memiliki rumah sendiri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada LZS, kerana masih mengizinkan saya menetap di rumah transit itu. Saya faham, LZS pasti akan meminta saya keluar juga nanti. Tetapi, dengan adanya ruang waktu itu, ia memberikan sedikit keluasan hidup bagi saya memulakan perniagaan baharu. Maklumlah, bukan mudah untuk terus hidup di bandar besar.

“Saya juga merasa bersyukur, justeru LZS menawarkan tempat kepada saya untuk berniaga di beberapa Bazaar Asnaf di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya. Memang keuntungannya agak tinggi. Di samping itu, saya juga mencuba nasib dengan memasuki pelbagai premis kerajaan. Biasalah, ada sesetengahnya saya untung dan setengahnya cukup-cukup makan sahajalah.”

Ditanya, apakah perasaannya bila mendapat bantuan LZS. Tanpa segan Saloma mengalungkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para pembayar zakat.

“Sebenarnya, wang zakat itu mampu membuka mata para penerima zakat, bahawa kemiskinan itu masih ada jalan keluarnya. Masa hadapan adalah terbuka untuk sesiapa sahaja yang rajin berusaha. Bahkan, zakat juga membuktikan bahawa orang-orang kaya masih ramai yang ingat pada orang yang susah. Mudah-mudahan Allah memberkati rezeki mereka dan mereka dapat terus berzakat. Jika boleh, biar lebih ramai yang dibantu dan lebih ramai yang dapat berdikari.”

Di penghujung bicaranya, Saloma meluahkan hasrat hatinya untuk menjadi peniaga yang berjaya dan kelak, mampu menghulurkan sedikit daripada kelebihan rezekinya sebagai zakat.

“Saya terbaca di dalam buku, rezeki orang yang berzakat itu dijamin Allah. Saya ingin membayar zakat, kerana saya juga ingin diberkati Allah.” Tuntasnya.

Nota: Mana-mana syarikat di sekitar Lembah Kelang yang berhasrat menjemput Saloma membuka gerai jualan di pejabat atau premis mereka, boleh menghubunginya di talian 012-935 5835.

SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA DARI LZS

0

Tarikh : 11/16/2010
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt,

Berjumpa lagi kita di ruangan ini. Diharap semua pengunjung portal berada dalam keadaan sihat sejahtera. Dikesempatan ini, Lembaga Zakat Selangor ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha kepada semua umat Islam di mana jua anda berada.

Semoga kita dapat menghayati dan menghargai pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail dalam mengikuti perintah Allah dengan sepenuh hati mereka.

Berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman. Semoga perjalanan dipermudahkan nanti.

Sekian, terima kasih

“SAYA NAK IKUT RASULULLAH SAW” – HANAFI

0

Tarikh : 10/28/2010
Penulis : editor

Musim haji yang menjelang diikuti Hari Raya Korban, membuatkan minda penulis teringat kepada seseorang. Beliau adalah Hanafi Pai’man, 40 salah seorang asnaf zakat di Meru, Klang, yang pernah penulis temui beberapa waktu yang lalu. Masakan penulis boleh melupakan lelaki ini, justeru beliau pernah menyatakan: “Saya nak cuba ikut macam rasulullah”, menternak kambing demi menyara keluarganya.

Bukan mudah menyara sebuah keluarga yang besar. Bersama seorang isteri, Masriah Abdul Ghaffar, 41 mereka dikurniakan sembilan anak. Isterinya pula tidak begitu sihat. Lalu, kira-kira tiga tahun yang lalu, Hanafi nekad berhenti kerja. Kemudian, dia menceburkan diri dalam dunia pertanian.

“Dahulu saya pernah berkerja di kilang papan. Gaji tak seberapa, adalah dalam RM500.00 ke RM800.00 sebulan. Kemudian, kilang itu pula berpindah ke tempat yang lebih jauh. Tidak berbaloi rasanya memerah keringat berkerja di sana, maka saya mulai berjinak-jinak memelihara kambing.”

Demikianlah dia berkongsi cerita. Benar, kedatangan kami dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut ceria di samping Hanafi bangga menunjukkan kambing yang diternaknya.

“Saya menternak kambing dari baka Senan Crose. Alhamdulillah, LZS telah memberikan saya modal untuk mengusahakan penternakan ini. Kini, setelah berhenti kerja maka saya dapat menumpukan perhatian dalam penternakan kambing.”

Di samping menternak kambing, Hanafi tidak mensesiakan kudrat yang ada. Dia turut mengambil upah melakukan pendawaian elektrik di rumah orang. Kadang-kadang, ada juga kontraktor atau kawan-kawan yang memanggilnya untuk membuat pendawaian elektrik. Dapatlah juga menampung keperluan keluarganya.

Di samping itu, di belakang rumahnya juga, Hanafi tidak membiarkan tanah yang ada terbiar kosong. Dia bukan sekadar membina kandang kambing, bahkan turut membina kolam bagi tujuan menternak itik. Hanafi juga mengusahakan pertanian ala fertigasi.

“Dahulu saya cuba menanam cili di dalam polibeg. Apa orang kata, teknik fertigasi. Tapi, malangnya kurang menjadi. Saya fikir mungkin kerana faktor cuaca. Cili tidak begitu tahan dengan cuaca begitu lembab. Untuk memasang plastik sebagai pelindung, banyak pula belanjanya. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengalihkan kepada beberapa tanaman sayuran lain pula. Mungkin kacang bendi dan terung, yang lebih kuat daya tahannya.

Di samping itu, kini saya juga menternak itik. Ada dua jenis itik, iaitu hitam dan putih. Itik hitam untuk telur dan itik putih untuk daging. Dahulu, saya dan bapa mengusahakan ternakan keli dan lintah. Tetapi, tidak berapa menjadi. Sebab itu kami beralih memelihara itik pula.”

Berkat bernaung sebagai asnaf di LZS, Hanafi telah berjaya mengikuti pelbagai siri kursus. Termasuklah kursus kemahiran keusahawanan dan kursus menternak kambing.

“LZS pernah mempelawa saya mengikuti kursus menternak kambing. Saya masih ingat, tiga hari dua malam saya dan empat orang lagi asnaf telah dihantar berkursus di sebuah ladang. Seronok, sebab dapat banyak pendedahan dan pengalaman baharu.” Tegasnya.

“Sungguh pun kambing peliharaan saya masih tidak banyak, tetapi saya tetap menerima pesanan atau permintaan jika ada orang yang mahu membeli kambing. Sama ada untuk aqiqah, korban, kenduri atau apa sahaja, insya-Allah saya boleh membekalkannya. Bahkan, bukan sekadar kambing, lembu pun jika mahu, saya boleh usahakan.”

Demikianlah Hanafi menegaskan kesungguhannya menjadi penternak berjaya. Dia turut mempunyai kenalan yang membekalkan kambing dan lembu kepadanya untuk pasaran semasa.

Hingga kini, kambing Senan Crose milik Hanafi sudah pun membiak menjadi 12 ekor. Untuk memudahkan beliau, lalu LZS telah membekalkan mesin memproses makanan berserta 20 tong fiber yang digunakan bagi tujuan memeram daun-daun yang sudah diproses. Ia akan menjadi makanan kambing pada musim hujan kelak. LZS turut memberikan modal tambahan bagi membesarkan kandang kambingnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada LZS, khususnya kepada pembayar zakat. Dengan wang zakat itulah, ia banyak meringankan bebanan saya. Terutamanya bagi pendidikan anak-anak.”

Nampaknya, sudah ada tanda-tanda anak-anak Hanafi akan menjadi anak yang cemerlang. Anak keduanya, Mohd. Abdul Rahman, 19 kini sudah pun melanjutkan pendidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Hanafi juga beruntung, justeru kedua orang tuanya – Hj. Pai’man Hj. Abdul Latif, 80 dan ibunya, Hajah Markiah Ahmad, 60 amat memahami bahkan sentiasa menyokong usahanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya. Mereka sering membantu keluarga saya, menengokkan anak-anak kala isteri saya keuzuran, bahkan banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini.” Ujar Hanafi penuh kesyukuran.

AMISLAMIC BANK BERHAD TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM44,000.00

0

Tarikh : 10/28/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 28 Oktober – AmIslamic Bank Berhad hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM44,000 bagi tahun kewangan 2010 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan AmIslamic Bank Berhad diserahkan oleh Pengurus Besar, Datuk Zainal Abidin bin Hj Mohamed kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib bin Mohd Isa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hj Mohamed Izam Mohamad Yusof dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Hjh Adibah Abdul Wahab.

MAKLUM BALAS AKHBAR: BANTUAN DIALISIS TERHENTI KERANA TIADA MAKLUMAN PERTUKARAN PUSAT RAWATAN

0

Tarikh : 10/26/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 26 Oktober 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada tarikh 22 Oktober 2010 bertajuk ‘Malang bertimpa pesakit kronik’.

Melalui hasil semakan mendapati, Ismail Osman, 49 merupakan asnaf di LZS sejak tahun 2004 lagi. Beliau menerima pelbagai jenis bantuan, iaitu bantuan Hari Raya, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan kewangan bulanan dan juga bantuan perubatan dialisis.

Walaubagaimanapun, bantuan rawatan dialisis Ismail Osman telah terhenti kerana beliau telah membuat pertukaran pusat rawatan tanpa memaklumkan kepada pihak LZS.

Pihak LZS sebenarnya telah mengunjungi keluarga Osman sebelum berita ini disiarkan lagi. Hasilnya, pegawai Agihan Zakat LZS telah membantu beliau membuat permohonan baru bagi membolehkan bantuan rawatan dialisisnya disambung semula.

Selain bantuan rawatan dialisis, LZS juga mempertimbangkan bantuan tambang pergi balik ke hospital dan membantu membiayai tunggakan sewa rumah beliau.

LZS berharap, dengan bantuan ini akan dapat meringankan bebanan yang beliau tanggung. LZS juga berharap kepada masyarakat yang mempunyai persoalan berkaitan agihan zakat dapat datang ke cawangan zakat berhampiran untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

MAKLUM BALAS: LZS BANTU ANAK SAKIT KRONIK

0

Tarikh : 10/22/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 22 Oktober 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian bertajuk ‘Rayu Bantu Anak Sakit Kronik’ yang disiar pada 19 Oktober 2010.

Menurut laporan akhbar tersebut, Baharom Yunus, 53 bapa kepada seorang pelajar tingkatan 5, yang menderita kerana ketumbuhan otak merayu bantuan orang ramai meringankan kos perbelajaan dan rawatan anaknya.

LZS amat bersimpati dengan dugaan yang dihadapi oleh Baharom Yunus sekeluarga. LZS telah membantu beliau pada Jun 2010 lalu dengan membiayai pembelian ubat khas bagi anaknya, sebagaimana yang disyorkan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur berjumlah RM29,640.00.

Sebelum kisah beliau disiarkan di akhbar ini, Baharom juga ada membuat permohonan bantuan perubatan berkala untuk anaknya di cawangan zakat, Kuala Kubu Baru.

Permohonan beliau akan LZS pertimbangkan bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga.

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PROTON PARTS CENTRE SDN BHD (PPCSB) BERJUMLAH RM1.3 JUTA

0

Tarikh : 10/20/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 18 Oktober – Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,283,340.01 bagi tahun kewangan 2010 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan PPCSB diserahkan oleh Pengerusi Proton Parts Centre Sdn Bhd, Dato’ Haji Abdul Hamid bin Mustapha kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Tn, Hj Mohamed Izam Mohamad Yusof.

Hadir sama Pengarah Urusan PPCSB, En Rali Mohd Nor dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Hjh Adibah Abdul Wahab.

ZAKAT MEMBANTU FAIZAL

0

Tarikh : 10/14/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

SEKITAR tahun 2007, kala berkunjung ke Desa Kasih Merbau Berdarah di Sungai Besar, Selangor penulis sempat berkenalan dengan lelaki ini. Beberapa tahun berlalu, kali ini penulis bersua lagi dengannya di Shah Alam, Selangor.

Beliau tetap lembut dan mesra. Senyuman selalu teroles di wajahnya. Beliaulah saudara baru kita, Faizal Clement Abdullah, 49, yang bakal berkongsi cerita lewat Jejak Asnaf pada kali ini.

“Alhamdulillah, penghujung 1984, saat niat saya mahu memeluk Islam sampai kepada pengetahuan keluarga di Sabah. Mereka tidak marah apatah lagi melatah. Ayah saya, adalah orang kanan di gereja. Namun hati dan fikiran beliau amat terbuka.

“Kini, kedua-dua ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Saya masih mempunyai tiga adik-beradik di sana. Selain daripada saya yang memeluk Islam, abang sulung saya juga memeluk Islam. Namun, beliau juga sudah meninggal dunia,” katanya.

Demikianlah Faizal berkongsi kisah silam. Daripada keredupan wajah siapa menyangka ujian hidup yang getir pernah menyapa dalam liku kehidupannya.

Faizal merantau ke Semenanjung Malaysia sekitar tahun 1983 bagi melanjutkan pendidikan di Institut Kemahiran Mara (IKM). Di IKM, dia mengambil kursus menjahit.

Bayu hidayah menyapa hatinya penghujung 1984. Tidak lama kemudian, penghujung 1985 beliau melangsungkan pernikahan dengan Rozita Abdullah, 46, dan kini mereka bahagia meniti hari-hari mendatang bersama enam cahaya mata.

“Jangan salah sangka, isteri saya orang Tanjung Karang dan dia bukanlah mualaf seperti saya. Kebetulan sahaja nama ayahnya Abdullah.” Sempat Faizal berjenaka.

Setelah menuntasi pengajian kemahirannya di IKM, Faizal terlebih dahulu berkerja di anak syarikat MARA Holding yang dikenali Puspa MARA sebelum memasuki dunia perniagaan.

“Saya mula menjalankan perniagaan kedai jahitan pada tahun 1994. Setelah beroperasi beberapa tahun, memang menampakkan kemajuan. Saat itu, saya berniaga di Ulu Klang. Saya ada 12 orang pekerja. Sehinggalah ekonomi Malaysia merudum pada tahun 1997. Kala itu, perniagaan saya turut menerima tempiasnya.

“Saya terpaksa menutup syarikat. Kemudian saya menerima tawaran berkerjasama dengan sebuah yayasan dan bertugas sebagai pengurus jahitan. Di situ, saya dapat bertahan selama tiga tahun,” jelas Faizal.

Kini dengan bantuan LZS, Faizal kembali membangunkan perniagaannya.

Hasil daripada kerja keras itu dia kini kini sudah pun menjadi pembayar zakat perniagaan di LZS. Di samping itu, dia juga kini turut membantu kehidupan asnaf yang lain dengan menggajikan enam orang pekerja di kedai jahitannya yang terdiri daripada asnaf zakat.

“Terima kasih di atas bantuan LZS selama ini,” ujarnya penuh makna.

Demikianlah sedikit perkongsian kisah seorang saudara baru yang menelusuri kehidupannya dengan disantuni sedikit daripada wang zakat. Amat besar pahala bagi mereka yang membantunya. Ia bukan sekadar mencerminkan keindahan Islam melalui zakat, bahkan menambahkan keyakinan beliau bahawa tidak salah memilih Islam sebagai jalan kehidupannya. Wallahua’lam.

Nota: Untuk lawatan dan membuat tempahan pakaian, Faizal Clement Abdullah boleh dihubungi di Izal Classic Enterprise, No. 17, IKS Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor. Tel: 019-603 3225

PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM40 RIBU

0

Tarikh : 10/13/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 12 Oktober – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM40,000 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan PUNB diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamad Yusof.

JEFERI TERIMA BANTUAN ZAKAT: KECUALI BANTUAN KEWANGAN BULANAN

0

Tarikh : 10/12/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 8 Oktober 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Pesakit Kritikal Rayu Bantuan’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 6 Oktober 2010.

Menurut laporan akhbar berkenaan Jeferi Ismail yang mengidap penyakit buah pinggang, memerlukan bantuan bagi meringankan kehidupan beliau sekeluarga. Jeferi Ismail juga menyatakan bahawa beliau tidak lagi menerima bantuan daripada LZS.

Hasil semakan LZS, didapati Jeferi Ismail sebenarnya adalah asnaf miskin yang telah mendapat bantuan daripada LZS sejak tahun 2008 lagi. Antara bantuan yang diterima ialah bantuan hari raya, bantuan makanan bulanan dan bantuan persekolahan anak.

Sehubungan itu, LZS tidak pernah memberhentikan bantuan zakat kepada Jefri Ismail kecuali bantuan kewangan bulanan yang diberhentikan bermula bulan Jun lalu kerana tidak layak. Ini kerana hasil semakan didapati pendapatan isi rumah Jefri Ismail adalah berjumlah RM1,508 sebulan. Jumlah ini melebihi syarat kelayakan iaitu RM1,200 sebulan (berdasarkan keperluan asasi sebenar untuk sebulan).

Selain sumbangan anak-anak, beliau juga menerima bantuan daripada JKM sebanyak RM300 sebulan, manakala Isteri beliau juga mendapat bayaran RM250 sebulan hasil penjagaan anak jiran.

Berkaitan dengan penyakit yang dihidapinya, beliau menerima bantuan dialisis sepenuhnya daripada SOCSO. Walaubagaimanapun, LZS akan menanggung kos-kos rawatan tambahan seperti suntikan Aprex (suntikan bagi mencairkan darah).

Surat pemberitahuan pemberhentian bantuan kewangan bulanan ini telah dihantar kepada beliau pada 16 Jun 2010.

Untuk makluman, setiap enam bulan, LZS akan membuat semakan semula terhadap kelayakan penerima bantuan kewangan bulanan bagi semua asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Ia bertujuan bagi memastikan mereka yang menerima bantuan ini benar-benar layak dan memerlukan. Bantuan kewangan bulanan adalah salah satu bantuan kepada asnaf fakir miskin yang bersifat sementara sahaja bergantung kepada keadaan ekonomi dan kehidupan asnaf. Jika asnaf ada menerima bantuan lain dan keadaan ekonomi dan kehidupan mereka semakin stabil, bantuan akan dihentikan bagi memberi peluang kepada mereka yang lebih memerlukan.

Berita Terkini