Utama Blog Halaman 139

TUNAI ZAKAT, CUKAI DIKURANGKAN

0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

TIDAK banyak negara di dunia yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai. Di Malaysia, undang-undang negara ini menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Akta berkenaan menyatakan: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Rebat secara umumnya bermakna, jumlah cukai yang dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat. Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai dibayar.

Jika amaun zakatnya menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi akan hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (tahun semasa).
Ini bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2010, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Di samping itu, menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak dinyatakan jumlah amaun tertentu atau batas amaun dalam rebat ke atas cukai. Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama – dalam konteks ini ialah zakat – maka ia masih dikira sah untuk memperolehi rebat ke atas cukai berkenaan.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijak menggunakan keluwesan akta yang meletakkan ‘bayaran wajib’ bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja.

Mereka boleh misalnya menunaikan zakat emas, zakat saham, zakat wang simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi ‘potongan zakat pendapatan’ semasa.

Ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka untuk memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Setiap orang yang sudah menunaikan zakat, hendaklah menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah mengambil peluang yang terbuka ini seluas-luasnya bagi melunaskan zakat ke atas harta mereka. Pengalaman penulis sewaktu berkunjung ke negara jiran tidak berapa lama dahulu dan berkongsi informasi zakat ini, menyebabkan mereka amat teruja dengan kelebihan yang ada di negara kita.

Ini kerana, kemudahan seperti ini tiada di negara mereka, sehingga menyebabkan setiap orang Islam terpaksa melaksanakan kewajipan zakat dan selepas itu kewajipan cukai.

Insya-Allah, penulis akan berkongsi mengenai kelebihan membayar zakat menerusi kaedah potongan gaji pula pada siri yang akan datang. Semua ini adalah inovasi dalam dunia zakat, yang natijahnya bukan sekadar memudahkan urusan kita di dunia; bahkan memudahkan juga urusan kita di akhirat sana.

Firman Allah yang bermaksud: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu. (al-Baqarah: 185).

ZIKRA PERLIHAT REALITI KEHIDUPAN ASNAF

0

Oleh: Farizwan Hasbullah

BERKATA mengenai zakat, banyak perkara yang pastinya terlintas di fikiran kita. Kadang-kadang kita bertanya di dalam diri, di manakah wang zakat yang dibayar itu disalurkan dan siapakah asnaf penerima yang telah memperoleh manfaat itu?

Adakah wang zakat yang berjaya dikutip itu benar-benar telah diagihkan seadil mungkin? dan bagaimana pula halnya bagi mereka yang lebih memilih untuk membayar zakat terus kepada golongan yang dirasakan layak?

Semua persoalan itu timbul mungkin kerana masih ada kejadian di mana umat Islam dibelenggu kemiskinan dan hidup melarat, kisah-kisah anak yatim terbiar, golongan mualaf terpinggir dan tidak kurang juga, institusi kebajikan yang tidak terurus. Sedangkan, pada masa sama, segelintir agensi pungutan zakat berbangga menguar-uarkan kepada media akan jumlah kutipan mereka yang mencecah jutaan ringgit setahun.

Namun sebenarnya, usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program yang dikenali sebagai ‘Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf’ atau singkatannya Zikra dikira satu usaha yang tepat pada masanya dan satu langkah yang perlu dicontohi.

Malah ia sekali gus menjadi platform dalam usaha merungkai kemelut persoalan yang tidak mustahil terlintas di benak atau di kotak fikiran setiap insan yang bergelar pembayar zakat.

Zikra adalah program tahunan LZS dan penganjurannya Rabu lalu merupakan program kali kedua. Zikra yang pertama ke beberapa projek pembangunan asnaf zakat yang terletak di beberapa daerah di Hulu Selangor.

Program ini bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada umat Islam, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peserta jemputan terhadap projek-projek agihan zakat yang dilakukan.

Pengarah Zikra-2 yang juga Ketua Unit Perhubungan Awam, LZS, Hamizul Abdul Hamid menjelaskan, pihaknya mensasarkan penyertaan daripada pihak media massa, demi membolehkan pihak itu membuat liputan secara terus di dalam media masing-masing agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

“Penyertaan pihak korporat antaranya; Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), DEMC Management Sdn. Bhd., Nasim Sdn. Bhd., Universiti Putra Malaysia (UPM), Perpustakaan Negeri Selangor, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Pama Niaga adalah sebagai wakil pembayar zakat yang bertindak menjadi ‘mata dan telinga’ dalam menilai agihan zakat yang telah dilaksanakan.

“Di samping itu, program ini akan turut melibatkan beberapa aktiviti sampingan dan dibuat secara tidak formal dengan tujuan merapatkan ukhuwah, sama ada di antara pembayar zakat, media massa, LZS mahupun asnaf zakat,” kata Hamizul natijah akhir daripada program Zikra ini adalah merapatkan jaringan di antara semua pihak demi kebaikan umat Islam di Selangor.

Seawal 8.15 pagi, para peserta berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor sebelum rombongan seramai 90 peserta termasuk pembayar zakat, ejen kutipan dan media massa dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, sekali gus simbolik kepada pelancaran konvoi Zikra-2 tepat pukul 8.45 pagi itu.

Konvoi pagi itu mungkin menjadi kenangan manis kepada sebahagian peserta kerana ia bukan sahaja peluang melihat secara langsung realiti kehidupan asnaf zakat dari dekat.

Namun, seperkara yang jarang dialami dalam hidup para peserta ini ialah apabila rombongan lawatan hari itu diiringitiga polis trafik, yang sudah semestinya berjaya memastikan kelancaran perjalanan keseluruhan program yang bermula dari Shah Alam dan berakhir di Sungai Nibong, Sabak Bernam, Selangor sebelum berpatah balik ke Masjid Negeri Shah Alam. Selangor.

Kecekapan mereka memastikan kelancaran di jalan raya, secara tidak langsung menyumbang kepada ketepatan masa mengikut jadual… Syabas…

Destinasi pertama lawatan adalah ke Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Batu 4, Jalan Kapar, Klang dalam masa tidak sampai setengah jam. Pusat Dialisis ini adalah satu daripada empat pusat dialisis yang dibina oleh LZS.

Ketika di sini, para peserta diberi penerangan ringkas oleh Jururawat Bertugas yang juga penyelia, Rosniza Mohamed Addnan tentang operasi pusat tersebut.

Katanya, sejak beroperasi tiga tahun lalu, jumlah pesakitnya bertambah dari semasa ke semasa. Jumlah terkini yang sedang menerima rawatan di pusat itu adalah seramai 47 orang yang dikendalikan oleh 12 kakitangan yang bekerja dalam tiga syif.

“Terdapat 11 mesin di pusat ini dan bayaran untuk sekali rawatan sekitar RM150. Ini tidak termasuk ubat-ubatan dan suntikan. Malah dianggarkan kos untuk seorang pesakit adalah antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan termasuk rawatan dan ubatan.

“Pusat ini juga menyediakan pengangkutan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat itu,” katanya.

Seterusnya, peserta konvoi melawat asrama terbesar anak asnaf fakir miskin di Selangor iaitu di Kampung Perepat, Klang yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah LZS, Klang dengan kos pembinaan RM9 juta.

“Cadangan pembinaan asrama Baitul Hasanah kedua ini dibuat pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada 2009. Matlamat asal pembinaan asrama ini adalah untuk mengelakkan keciciran pelajar daripada golongan sasaran, menjaga kebajikan dan melatih mereka ini ke arah kecemerlangan.

“Walaupun asrama ini berkemampuan menampung 288 pelajar pada satu-satu waktu tetapi kami akan hanya mengisi seramai 250 penghuni. Buat masa ini pada pengambilan pertama terdapat seramai 100 pelajar antara usia 10 hingga 12 tahun,” kata Pengurusnya, Mohd. Rodhi Abu Hashim sebelum membawa rombongan melawat ke persekitaran Baitul Hasanah seluas tiga hektar itu.

Tambahnya, pada sesi kemasukan 2011, pihaknya bakal menerima 50 lagi pelajar baru menjadikan jumlahnya 150 orang yang dipilih daripada sembilan daerah di Selangor.

Kata Mohd. Rodhi lagi, pihaknya amat mengalu-alukan segala bentuk sumbangan, terutamanya bahan-bahan bacaan, komputer, kipas angin dan tiga penghawa dingin, memandangkan kos perbelanjaan pengurusan, persekolahan, wang saku dan sebagainya mencecah RM50,000 sebulan.

Destinasi diteruskan ke rumah warga emas LZS, Darul Salamah. Rumah yang dihuni oleh tujuh warga emas perempuan antara usia 55 tahun hingga 80 tahun yang juga sebatang kara serta mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Jelas tergambar rasa keinsafan pada raut wajah para peserta bila mana mendapati bahawa tulang belakang terteguhnya rumah itu adalah atas kudrat tua pesara tentera, Mojd. Mukrin Suif, 70, dan isterinya, Saamah Misman, 60.

Komitmen pasangan tua ini memang menyentuh setiap kita yang tidak lari daripada fitrah perasaan kasihan belas. Bagaimana kesungguhan dan kemampuan mereka mengisi sisa-sisa usia tua penghuni rumah ini dengan kelas-kelas pengajian agama sesuai dengan kemampuan dan usia para penghuninya wajar diberi sokongan.

Setibanya para peserta di Desa Ehsan, Sungai Nibong, Sabak Bernam menandakan lawatan Zikra-2 menghampiri ke destinasi akhir. Rombongan disambut dengan bacaan selawat Nabi SAW oleh anak-anak penduduk di situ sambil diiringi paluan kompang.

Lawatan ke Pusat Kegiatan Ekonomi Bengkel Jahitan D’Asnaf Anggun tambah mengujakan apabila melihat kerancakan beberapa pekerja yang diambil daripada golongan asnaf sibuk menyiapkan pakaian sekolah untuk sesi persekolahan 2011 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Kami difahamkan bahawa ini adalah bengkel ketiga daripada lima bengkel keseluruhan tetapi adalah yang pertama di Kuala Selangor yang dibina atas pembiayaan LZS.

Buat masa ini, bengkel Jahitan D’Asnaf Anggun hanya menerima tempahan pakaian seragam sekolah anak-anak asnaf zakat sahaja.

Bengkel ini turut memberi pendapatan tambahan kepada pekerja di mana mereka mampu memperoleh antara RM500 ke RM1,000 sebulan bergantung kepada kemahiran dan keupayaan penghasilan mereka.

Kami juga sempat berkenalan dengan pasangan Mansor Husin, 54, dan Bariah Pandi, 53, penerima bantuan rumah di penempatan berkelompok asnaf fakir dan miskin yang diwujudkan sejak tahun 1998 di beberapa daerah di Selangor.

Mansor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah kebangsaan berdekatan situ memberitahu, mereka lima beranak sudah 10 tahun tinggal di rumah yang dikira selesa dengan tiga bilik tidur, satu bilik mandi, mempunyai ruang tamu dan ruang dapur yang sederhana luasnya.

“Kalau dahulu kami menumpang di rumah kakak tetapi setelah layak tinggal di rumah pemberian LZS, banyaklah perubahan dalam kehidupan ini yang dirasai. Dulu kami juga menerima perbelanjaan pembiayaan persekolahan ketiga-tiga anak, belanja bulanan dan bantuan-bantuan lain.

“Alhamdulillah, dengan adanya sumbangan pembayar zakat ini serta LZS yang menyalurkan bantuan kehidupan kami sememangnya terbela, tidaklah seterusnya kami hidup di dalam kesusahan.

“Isteri saya juga sejak menjahit di bengkel jahitan, kini dapat membantu perbelanjaan harian dan ada ketikanya mengambil upah menjahit pakaian luar. Memang kami tidak mengharapkan untuk terus tinggal di sini kerana mahu juga bergelar pembayar zakat suatu hari nanti,” kata mereka.

Acara hari itu disudahi dengan majlis perasmian penutup yang disempurnakan Mohamed Izam, sebelum para peserta dijamu makan tengah hari.

LZS SEDIA PERUNTUKAN RM630 RIBU BANTU PESAKIT KRONIK: PESAKIT BOLEH MOHON DI 10 HOSPITAL TERPILIH

0

SERDANG, 13 Disember 2010 — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM630 ribu kepada 10 buah hospital di sekitar Lembah Klang sebagai peruntukkan bagi membantu pesakit kronik mendapatkan rawatan.

Antara hospital-hospital yang menerima peruntukkan ini ialah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang. Selain itu, turut menerima Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Kajang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Institut Jantung Negara. Peruntukkan yang diterima adalah sebanyak RM63,000 bagi setiap hospital.

Sebelum ini hospital-hospital terbabit telahpun menerima peruntukkan yang sama berjumlah RM30,000. Ia merupakan dana yang disediakan oleh LZS melalui Tabung Pesakit Kronik di bawah program pembangunan sosial.

Dengan adanya bantuan zakat ini, pesakit yang kurang berkemampuan boleh memohon terus kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital terbabit melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital. Antara mereka yang layak memohon ini ialah pesakit yang mengalami penyakit kronik yang disahkan oleh pakar perubatan termasuklah kes-kes kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ekseklutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof di Hospital Serdang di sini. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr. Rosnah Hadis.

‘BERSAMA KONGSI KEJAYAAN ZAKAT’ MELALUI ZAIARAH ASNAF BERSAMA KORPORAT DAN MEDIA

0

SHAH ALAM, 8 DISEMBER — Bagi berkongsi usaha kejayaan zakat dalam pembangunan asnaf fakir miskin di Selangor, kira-kira 65 orang peserta program Ziarah Asnaf Bersama Korporat dan Media (ZIKRA) berpeluang melihat sendiri kehidupan asnaf zakat daripada dekat hari ini.

Peserta terdiri daripada para pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media dibawa menelusuri beberapa projek pembangunan asnaf zakat yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Lawatan bermula dengan pelancaran konvoi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor, Tn hj Mohamed Izam Mohamed Yusof di Masjid Negeri Shah Alam.

Lokasi pertama lawatan ialah Pusat Dialisis LZS (MAIS) di Bt 4, Kapar, Klang. Pusat dialisis ini adalah salah satu usaha bagi kemudahan khusus bagi kalangan fakir miskin dan mereka yang memerlukan rawatan dialisis secara tetap.

Seterusnya, peserta dibawa melawat asrama terbesar anak asnaf fakir miskin di Selangor iaitu di Perepat Klang yang dikenali sebagai asrama Baitul Hasanah LZS, Klang. Asrama ini dibangunkan bertujuan agar penumpuan terhadap pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan. Asrama ini boleh memuatkan sehingga 300 orang pelajar lengkap dengan kemudahan bilik bacaan, surau, kantin dan sebagainya. Taklimat ringkas diadakan bagi berkongsi usaha pembangunan asrama ini dan kejayaan pelajar di sini.

Destinasi diteruskan ke rumah warga emas LZS yang dikenali sebagai Darus Salamah. Darus Salamah dibina bagi membolehkan warga emas yang tiada tempat bergantung, namun masih sihat untuk menetap di sini bagi membolehkan mereka hidup selesa dan memberikan tumpuan kepada amal ibadah.

Seterusnya, peserta dibawa melawat ke Desa Kasih Sg Nipah iaitu rumah berkelompok yang dibina bagi menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah dan tempat tinggal yang sempurna. Melalui usaha ini ramai penghuni yang berjaya keluar daripada asnaf fakir dan miskin.

Di Desa Kasih ini, para peserta disambut dengan bacaan selawat Nabi s.a.w oleh anak-anak penduduk di sini. Mereka dibawa melawat ke bengkel jahitan iaitu salah satu usaha LZS agar asnaf zakat dapat berdikari. Peserta turut melawat salah sebuah rumah penduduk di sini.

Seterusnya taklimat ringkas tentang pembangunan Desa Kasih ini diadakan untuk peserta. Peserta juga berpeluang mengenali penduduk di sini melalui aktiviti zakat didik yang diadakan untuk anak-anak penduduk di sini.

Acara kemuncak Program ZIKRA ini ialah majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Tn Hj Mohamed Izam Mohamed Yusof. Di majlis perasmian penutup ini, beberapa sumbangan daripada peserta ZIKRA disampaikan kepada penduduk Desa Kasih antaranya daripada Pharma Niaga, Perpustakaan Negeri Selangor, Galeri Ilmu Sdn Bhd dan sebagainya. Sementara itu, program ZIKRA ini turut mendapat kerjasama Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) yang mengadakan pameran dan pemeriksaan kesihatan bagi penduduk di sini.

Melalui Program ZIKRA ini diharap peserta terutamanya pembayar zakat dan media dapat mendalami usaha LZS dalam membangunkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.

DOBI POINT MEMBANTU ROHAYA

0

Tarikh : 2/12/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

“Persaingan memang ada. Tapi saya utamakan servis kepada pelanggan. Maklumlah, hari ini kedai dobi makin banyak dibuka di mana-mana.”
Demikianlah prinsip perniagaan Puan Raja Rohaya Raja Anuar, 51 yang kini mengusahakan kedai Dobi Point di bawah Skim Bantuan Modal Perniagaan, Lembaga Zakat Selangor (LZS). Beliau mengorak langkah menjadi perintis kepada kedai dobi pertama milik asnaf zakat di bawah LZS di Selangor.

Kali ini, beliau akan berkongsi kisah kejayaannya untuk dijadikan iktibar bersama, khususnya kepada kalangan ibu tunggal. Sesungguhnya, status diri tidak menjadi penghalang kemajuan; jika diri sendiri tegar mencorak visi dan misi masa hadapan.
“Saya dilahirkan di Singapura. Namun, saya membesar dan menetap di Selangor sudah lebih 30 tahun. Alhamdulillah, daripada perkahwinan dahulu saya dikurniakan lima orang anak. Lelaki semuanya. Kini, anak-anak saya pun sudah besar, mereka jugalah yang kini membantu saya dalam menguruskan kedai dobi ini.

“Jika boleh, saya enggan mengenang kembali kesusahan hidup saya pada masa dahulu. Biarlah ia berlalu. Susahnya hanya Tuhan yang tahu. Hakikatnya, susah sekali hidup saya masa itu.”
Rohaya pernah terpaksa memasukkan tiga orang anaknya ke asrama anak-anak yatim, justeru beliau tidak mampu menyara mereka. Bahkan beliau dan anak-anak pernah duduk menumpang di rumah saudara, kerana rumah sendiri hampir dilelong pihak bank dek kerana ansuran bulanannya tidak mampu dilunaskan.

“Semasa itu, saya hanya menjaga dua orang anak yang kecil sahaja. Namun Alhamdulillah, kami masih ada makanan untuk mengalas perut. Ini kerana, kala itu, saya mendapat bantuan makanan bulanan daripada LZS. Jadi, tidaklah sampai anak-anak tidak dapat makan. Cuma, tidaklah kami dapat makan seperti orang lain. Ala kadar sahajalah.”
Demi meneruskan kehidupan dan demi masa hadapan anak-anaknya, Rohaya sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan halal. Bahkan Rohaya sekeluarga juga sudah menerima bantuan zakat sejak tahun 1998 lagi.
Di samping bantuan makanan bulanan, beliau juga pernah menerima bantuan modal perniagaan. Rohaya pernah mencuba berniaga di Plaza Alam Sentral dan kala itu, LZS telah meluluskan RM5,000.00 bagi modal permulaan. Namun, perniagaannya tidak berjaya.

“Alhamdulillah, pada tahun 2006, LZS telah menawarkan saya satu lagi peluang perniagaan, iaitu membuka kedai dobi dengan modal RM50,000.00. Daripada apa yang saya tahu, saya adalah antara individu yang terpilih dalam projek perintis ini. Semasa itu, di samping kedai dobi ada lagi beberapa perniagaan bermodal besar yang akan dilaksanakan oleh LZS untuk asnaf.
“Memang, jika difikirkan saya langsung tiada pengalaman berniaga dalam skala yang besar. Apatah lagi perniagaan kedai dobi. Namun, saya memberanikan diri kerana LZS sentiasa sedia membantu. Lagi pun, peluang sudah tersedia maka apa ruginya saya mencuba. LZS juga mensasarkan, selepas lima tahun saya akan mampu menguasai 100 peratus perniagaan ini.

“Buat permulaan, LZS telah menghantar saya mengikuti beberapa siri kursus. Di antaranya, Kursus Keusahawan, Kursus Pemasaran dan Kursus Perakaunan. Cuma saya tidak dapat mengikuti kursus khas menguruskan kedai dobi, kerana kosnya memang mahal.
“Demi menambahkan ilmu dan keyakinan dalam menguruskan kedai dobi, saya tidak segan-silu untuk bertanya kepada mereka yang sudah lama dalam bisnes kedai dobi. Saya korek rahsia menguruskan kedai dobi daripada mereka, misalnya sabun dan bahan kimia apa yang sesuai dan sebagainya lagi. Alhamdulillah, akhirnya saya memahami banyak perkara dalam selok-belok menguruskan kedai dobi ini.”

Menyentuh mengenai perniagaannya, Rohaya menjelaskan sejak 2006 hingga kini, perniagaannya makin baik. Natijahnya, kehidupan beliau sekeluarga juga makin terjamin. Anak-anaknya pun dapat menghabiskan pengajian di peringkat IPT dengan baik. Baru-baru ini, anak keempatbeliau baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara dan anak ketiga pula di Institut Kemahiran Belia Negara.

“Saya lebih suka memfokuskan perniagaan dobi ini kepada pelanggan tetap, iaitu daripada institusi. Saya mengambil kontrak mencuci pakaian daripada kilang-kilang dan asrama pelajar. Di sini bayarannya lebih terjamin. Namun begitu, pelanggan harian tetap saya layan dengan baik. Bagi saya, dengan bertambah banyaknya kedai dobi di sekitar ini, maka servis yang membezakan kedai dobi saya ini dengan lain-lain kedai dobi.

“Bagi pelajar, tidak kiralah mereka pelajar sekolah atau IPT, saya hanya mengenakan caj RM2.20 bagi sekilo gram pakaian. Manakala bagi orang biasa, kosnya RM2.50 bagi sekilo gram dan kos ini bermula dari cucian sehinggalah melipat. Sementara itu, caj menyeterika pakaian pula, saya hanya kenakan RM1.50 sehelai. Tetapi jika banyak, adalah diskaunnya saya berikan.
Rohaya bercita-cita satu masa nanti beliau akan tampil menunaikan zakat sebagai bukti kejayaannya dalam perniagaan. Bahkan, apabila mengenangkan kembali hikmah di sebalik kesusahan yang menimpa dirinya, beliau tidak menolak bahawa antara hikmahnya, beliau kini sudah pun bergelar usahawan dobi.
Katanya, boleh jadi jika beliau tidak diuji dengan kesusahan ini, maka beliau tidak akan kenal dengan LZS dan tiadalah sebab bagi LZS membantunya sehingga boleh berjaya seperti kedudukannya pada hari ini.

“Saya sebenarnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembayar zakat. Dengan sebab mereka berzakat, maka golongan yang memerlukan dapat dibantu. Sebenarnya, zakat itulah yang membantu golongan asnaf, agar mereka dapat berubah, keluar daripada kemiskinan dan akhirnya dapat hidup bahagia seperti mana orang-orang lain juga.”

Nota: Kedai Dobi Point milik Rohaya dapat dikunjungi di 2-G-9, Wisma MAIS, Lot 2, Jalan RU 3/9A, Sek. 3, 40000 Shah Alam, Selangor. Tel: 03-55114377.

RM710 RIBU WANG ZAKAT UNTUK 49 NGO LAKSANA AKTIVITI KEISLAMAN

0

SHAH ALAM, 26 NOV 2010 – Sebanyak 49 buah badan bukan kerajaan (NGO) Islam menerima bantuan zakat dalam bentuk geran bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti keislaman bernilai RM710 ribu daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 24 November lalu.

Bantuan berkenaan disalurkan menerusi Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Penyampaian bantuan ini disempurnakan oleh Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.

Setiap tahun LZS menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pertubuhan dakwah dan NGO Islam menjalankan pelbagai kegiatan dakwah. Ia demi memastikan kelangsungan dakwah Islam khususnya di Selangor berjalan lancar.

Berucap pada program penyampaian bantuan berkenaan, Adzib menegaskan bahawa bantuan kewangan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menangani pelbagai permasalahan sosial umat Islam, seperti ajaran sesat dan amalan bid’ah. Bantuan ini juga dapat membantu organisasi dakwah khususnya dari kalangan saudara baru atau mualaf.

Di antara NGO yang menerima geran pada kali ini ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Selangor) sebanyak RM15,000.00, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (Selangor) sebanyak RM15,000 dan juga Sahabat Hospital Selangor sebanyak RM17,000.00.

Bantuan turut diberikan kepada NGO Islam yang khusus menjalankan aktiviti bagi saudara baru, iaitu Persatuan Cina Muslim Malaysia (Selangor) sebanyak RM18,000.00, Persatuan Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia sebanyak RM10,000.00 dan Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (Selangor) sebanyak RM5,000.00.

Sementara itu, wang zakat juga turut disalurkan kepada sembilan badan dakwah yang beroperasi di bawah Pejabat Agama Islam Daerah di sembilan daerah di negeri Selangor, yang masing-masing menerima bantuan kewangan sebanyak RM30,000.00.

Turut hadir pada program penyampaian bantuan ini ialah Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, LZS dan Ahmad Zaki Arsad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, JAIS.

FAKIR, MISKIN DAN HAD AL-KIFAYAH

0

Tarikh : 11/24/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Mukaddimah

Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar.

Had al-Kifayah pula adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperolehi pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Sejajar dengan itu, maka institusi zakat wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat lebih terfokus diuruskan.

Takrifan kemiskinan:

Umumnya orang menyangka, fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang layak mendapat zakat disamping enam asnaf lain. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para muallaf untuk dilunakkan hatinya…” (at-Taubah 9: 60)

Namun begitu, wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya. Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Hanafi dan Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, telah menerima definisi yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:

1. Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya

2. Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50% untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah

Sementara itu, jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Contohnya Abdullah bin Mas’ud dan juga keluarga Ammar bin Yasser r.a.

Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid nabi, dan golongan ini adalah golongan fakir. Di antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah r.a. Beliau sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar. Akhir Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.

Dalam konteks hari ini, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.

Enam keperluan asasi:

Di samping itu, wajar kita fahami bahawa sesebuah institusi zakat mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah, tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan. Perkara-perkara yang dinyatakan ini adalah suatu keperluan asasi kepada setiap manusia. Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan, tidak mampu memenuhi kecukupan minima bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.

Daripada data fakir dan miskin yang dikumpulkan itulah, maka institusi zakat mampu merangka strategi seterusnya bagi menangani kemiskinan. Fakir dan miskin memerlukan kaedah dan strategi yang berbeza. Di sinilah relevannya institusi zakat memperkasakan jentera agihan zakat, misalnya dengan mewujudkan Jabatan Pembangunan Asnaf, Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat, Pusat Pendidikan dan Latihan Asnaf Zakat dan sebagainya. Ini kerana, dengan menyediakan pelbagai prasarana pembangunan zakat, maka ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan asnaf itu sendiri.

Wajar juga bagi kita untuk mengingati, di antara tujuh pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar r.a, ialah: “Sukailah orang-orang miskin dan dekatilah mereka,” merupakan anjuran agar kita mencari jalan membela nasib fakir dan miskin dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Inilah natijahnya zakat di sisi fakir dan miskin di dalam Islam. Wallahua’lam

FAKIR, MISKIN DAN HAD AL-KIFAYAH

0

Mukaddimah

Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar.

Had al-Kifayah pula adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperolehi pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Sejajar dengan itu, maka institusi zakat wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat lebih terfokus diuruskan.

Takrifan kemiskinan:

Umumnya orang menyangka, fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang layak mendapat zakat disamping enam asnaf lain. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para muallaf untuk dilunakkan hatinya…” (at-Taubah 9: 60)

Namun begitu, wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya. Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Hanafi dan Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, telah menerima definisi yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:

1. Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya

2. Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50% untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah

Sementara itu, jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Contohnya Abdullah bin Mas’ud dan juga keluarga Ammar bin Yasser r.a.

Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid nabi, dan golongan ini adalah golongan fakir. Di antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah r.a. Beliau sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar. Akhir Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.

Dalam konteks hari ini, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.

Enam keperluan asasi:

Di samping itu, wajar kita fahami bahawa sesebuah institusi zakat mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah, tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan. Perkara-perkara yang dinyatakan ini adalah suatu keperluan asasi kepada setiap manusia. Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan, tidak mampu memenuhi kecukupan minima bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.

Daripada data fakir dan miskin yang dikumpulkan itulah, maka institusi zakat mampu merangka strategi seterusnya bagi menangani kemiskinan. Fakir dan miskin memerlukan kaedah dan strategi yang berbeza. Di sinilah relevannya institusi zakat memperkasakan jentera agihan zakat, misalnya dengan mewujudkan Jabatan Pembangunan Asnaf, Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat, Pusat Pendidikan dan Latihan Asnaf Zakat dan sebagainya. Ini kerana, dengan menyediakan pelbagai prasarana pembangunan zakat, maka ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan asnaf itu sendiri.

Wajar juga bagi kita untuk mengingati, di antara tujuh pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar r.a, ialah: “Sukailah orang-orang miskin dan dekatilah mereka,” merupakan anjuran agar kita mencari jalan membela nasib fakir dan miskin dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Inilah natijahnya zakat di sisi fakir dan miskin di dalam Islam. Wallahua’lam

RM9.6 JUTA ZAKAT UNTUK PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK FAKIR MISKIN SELANGOR

0

SHAH ALAM, 24 NOV 2010 – Seramai 27,872 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri Selangor menerima bantuan persekolahan berjumlah RM9,663,950.00 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi persiapan persekolahan tahun 2011.

Bantuan persiapan persekolahan ini diadakan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk mereka. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai bagi menampung kos pembelian peralatan, kelengkapan dan yuran persekolahan.

Daripada 27, 872 orang pelajar itu, 1,298 orang adalah pelajar peringkat tadika yang menerima bantuan berjumlah RM200.00 setiap seorang; 13,807 orang adalah pelajar sekolah kebangsaan dengan jumlah bantuan RM250.00 setiap seorang dan 12,767 orang adalah pelajar sekolah menengah dengan bantuan RM350.00 setiap seorang.

Sementara itu, daerah Klang mencatatkan bilangan penerima bantuan tertinggi, iaitu seramai 4,441 orang, diikuti Daerah Kuala Selangor seramai 4,368 orang dan Daerah Petaling seramai 4,333 orang penerima.

Program bantuan Persekolahan Anak-Anak Asnaf Fakir Dan Miskin ini dijadualkan berlangsung bermula 23 November ini dan dijangka berakhir pada 13 Disember 2010 melibatkan 31 program seluruh negeri Selangor.

Pada tahun lalu, sebanyak RM5.7 juta diperuntukkan bagi membantu 15,464.

ZAKAT DIDIK MERIAH: DEDAH PERANAN ZAKAT

0

Tarikh : 10/26/2010
Penulis : editor

Gombak, 23 Oktober 2010 – Seramai 200 pelajar dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Gombak 2 berkumpul dalam program Zakat Didik dan Forum Keluarga Sakinah anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) , Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan sekolah berkenaan baru-baru ini bagi mendalami peranan zakat.

Program yang diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang kewajipan berzakat turut diserikan dengan acara kuiz, taklimat zakat , sesi soal jawab dan juga ceramah motivasi. Kakitangan ,Guru-guru dan Ibu bapa juga diberi pemahaman berkaitan isu-isu zakat terkini.

Program diserikan lagi dengan kehadiran maskot PPAS iaitu Aliff dan Anis bagi memeriahkan lagi suasana program. Dalam program tersebut, LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah untuk keperluan sekolah.

Sehari sebelum program berlangsung, program seperti ini juga telah diadakan di Sekolah Menengah Meru, Klang dan ia berjaya menarik kehadiran hampir 200 orang pelajar.

Berita Terkini