ZAKAT AMANAH ALLAH
Oleh Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Berbicara tentang zakat, maka ia mempunyai perkaitan yang amat erat dengan sifat amanah. Hakikatnya, zakat itu memang amanah yang dititipkan Allah SWT kepada seluruh manusia. Melagang amanah zakat bermakna melestarikan amanah Allah; mengingkarinya bermakna menyanggah hukum Allah. Jika solat dinaqalkan sebagai penghubung antara manusia dengan Khalik-Nya, maka zakat bersifat dwi-fungsi. Ia menghubungkan manusia dengan Tuhan dan juga sesama insan.
Menyinggung amanah zakat, maka terdapat sekurang-kurangnya tiga aspek amanah yang terlibat di dalamnya. Pertama, amanah kepada pembayar atau muzakki. Kedua, amanah kepada amilin atau para pengurus zakat. Ketiga, amanah kepada mustahiq atau para penerima zakat yang dipanggil asnaf. Penulisan ini akan cuba menyoroti dan menilai ketiga-tiga aspek amanah ini.
Pertama, bagi amanah kepada para muzakki, maka mereka wajib mengeluarkan zakatnya apabila segala syarat wajib zakat sudah ada pada diri dan harta mereka. Adalah haram jika mereka dengan sengaja meninggalkan kewajipan zakat. Dalam erti kata lain, orang yang dengan sengaja melarikan dirinya daripada kewajipan zakat, boleh dikategorikan sebagai individu tidak beramanah.
Jika kita membaca sejarah, maka golongan yang enggan menunaikan zakat dengan sengaja pada zaman Abu Bakar as-Siddiq telah diperangi oleh baginda. Abu Bakar r.a. dengan tegas menganggap golongan yang engkar zakat ini sudah terkeluar daripada ajaran Islam. Mereka disama-tarafkan dengan kelompok nabi-nabi palsu dan hukuman yang layak ke atas mereka adalah diperangi, hingga mereka kembali tunduk kepada hukum Allah.
Dalam konteks semasa, hari ini mereka yang dengan sengaja meninggalkan kewajipan zakat tidak diperangi, malah Lembaga Zakat Selangor (LZS) hanya mengambil pendekatan berdakwah secara diplomasi dan menyampaikan informasi yang lebih persuasif sifatnya. Apa yang lebih utama, masyarakat Islam hendaklah menginsafi bahawa meminggirkan zakat bererti sudah melanggar amanah. Orang yang tidak amanah, jawapannya pastilah dimurkai Allah.
Keduanya adalah amanah kepada para petugas zakat atau disebut golongan amilin. Para amilin sebenarnya adalah istimewa di sisi Islam. Sejak zaman nabi lagi, mereka yang dipilih oleh Baginda SAW menjadi amilin adalah orang yang sangat amanah dan bijaksana. Mereka mesti amanah, kerana tugas mereka bermain dengan harta. Terhakisnya sifat amanah bererti terancamlah harta zakat kepada pelbagai bentuk penyelewengan.
Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawy di dalam kitabnya yang mahsyur Fiqh az-Zakah ada menyimpulkan, antara lain para amil itu mestilah dilantik dalam kalangan orang yang kuat keimanannya, berilmu terutamanya dalam fikah zakat dan mampu menanggung amanah harta dengan tahap akauntabiliti yang tinggi.
Ini kerana, apabila wang zakat sudah diberikan kepada pihak amil, maka terlepaslah sudah beban di pundak para muzakki. Kala itu, yang bertanggungjawab seratus peratus ke atas harta zakat itu adalah para amil yang diamanahkan untuk mengelolakannya secara betul dan telus. Kegagalan para amil atau pengurus zakat dalam menanggung amanah ini, bermakna berdosalah mereka di sisi Allah SWT.
Daripada Anas bin Malik r.a. beliau melaporkan, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya?” Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahalanya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya,” (HR Ahmad di dalam Nailul Authar: 2028).
Amanah yang terakhir adalah kepada kalangan mustahiq atau penerima zakat. Mereka ini walaupun berada di mata terakhir rantaian zakat; namun masih terikat dengan sifat amanah. Mereka wajib menjaga amanah harta zakat yang telah diberikan kepada mereka, dengan tidak menyalahgunakannya ke lorong-lorong yang salah di sisi syariat. Jika tidak, mereka masih dikira berdosa di sisi Allah SWT.
Adalah tidak amanah namanya, jika seorang asnaf itu meleburkan wang zakat yang diberikan kepadanya dengan menikam nombor ekor, membeli minuman mabuk atau berjoli sakan tanpa mendatangkan sedikit pun faedah kepada dirinya. Apatah lagi jika harta zakat itu sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan anak-anak, atau membeli ubat-ubatan atau makanan ahli keluarga, maka kala itu dosa kerana tidak amanah dengan harta zakat akan bertambah. Pertama kerana menyalahgunakannya dan keduanya, kerana menzalimi orang lain dengan tindakan yang tidak amanah itu.
Para ulama fikah telah membahaskan isu asnaf yang tidak amanah ini secara mendalam. Ada dalam kalangan mereka yang mencadangkan agar zakat tidak diberikan kepada mereka; melainkan mereka kembali bertaubat atas kesalahannya. Namun, sebahagian yang lain memberikan kelonggaran dengan syarat adanya pemantauan agar wang zakat yang disalurkan itu terselamat daripada penyelewengan.
Oleh itu, dapat difahami bahawa amanah dalam urusan zakat adalah bersifat tiga dimensi. Kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam urusan zakat ini, hendaklah memastikan ‘rantaian amanah zakat’ ini terus berputar sebagaimana yang sepatutnya. Dalam hal ini, ulama fikah juga mensyaratkan agar pihak pemerintah hendaklah memerhatikan perjalanan pengurusan zakat, agar semua urusannya dapat ditelusuri dengan telus, tiada diskriminasi dan menepati saranan nabi.
Kesimpulannya, amanah kelak akan dihisab, sama ada ia telah ditanggunglangi dengan baik atau sebalikya. Seseorang yang amanah, memenuhi apa yang dibebankan ke atasnya dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah. Jika mereka cuai dan tidak jujur, maka di dunia lagi mereka akan dipandang serong. Apatah lagi di akhirat yang tiada penolong, maka kecuaian di dunia akan mengakibatkan keseksaan yang tidak tertolong. Wallahua’lam.
LZS SERAH RM100 RIBU BANTUAN ZAKAT KEPADA TABUNG BERSAMAMU TV3
Bandar Utama, 6 April 2011–Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan bagi Tabung Bersamamu TV3 berjumlah RM100 ribu di sini hari ini.
YAM Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi LZS telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Bhd bagi pihak TV3.
Penyerahan bantuan tersebut adalah untuk digunakan bagi kalangan responden Program Bersamamu di negeri Selangor, khususnya yang melibatkan golongan fakir dan miskin.
Turut hadir di majlis penyerahan berkenaan ialah Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS dan Datuk Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan Media Media Prima Berhad.
ANAK-ANAK ASNAF FAKIR MISKIN CEMERLANG PENDIDIKAN
Shah Alam,31 Mac–Berdasarkan keputusan peperiksaan utama iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun lalu, didapati anak-anak asnaf fakir dan miskin di Selangor berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.
Bagi peperiksaan STPM seramai enam orang mendapat 3A ke atas. Manakala bagi peperiksaan STAM pula 6 orang mendapat Jayyid ke atas.
Manakala bagi peperiksaan SPM seramai 159 orang mendapat 4A ke atas. Daripada jumlah ini kebanyakkannya mendapat 6A dan 7A dan seorang masing-masing mendapat 11A dan 12A.
Bagi PMR pula 210 orang mendapat 4A ke atas dan 15 orang mendapat 9A.
UPSR juga mencatatkan kecemerlangan di mana 180 mendapat 4A dan 5A. Di mana 80 orang daripadanya mendapat 5A. Manakala PSRA pula seramai 250 orang mendapat Jayyid ke atas di mana 45 orang mendapat Mumtaz.
Kejayaan anak-anak asnaf ini membuktikan zakat mampu mengubah nasib mereka. Semoga mereka akan berusaha untuk kekal dengan kejayaan bagi mengubah nasib keluarga pula.
LZS SUMBANG RM1.99 JUTA KEPADA 143 SEKOLAH DI SELANGOR
SHAH ALAM, 30 Mac 2011 – Sebanyak 143 buah sekolah di Selangor melibatkan seramai 13,876 pelajar menerima sumbangan sebanyak RM1,990,000.00 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Program Sekolah Angkat LZS di sini hari ini.
Program yang bermatlamat untuk membantu anak-anak asnaf fakir dan miskin yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan ini, mula dilancarkan pada tahun 2009. Ia melibatkan sekolah menengah, rendah dan sekolah agama yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran.
Ia memberi fokus kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah kelas tambahan, kursus motivasi ibu bapa dan pelajar, kursus teknik menjawab peperiksaan, kursus teknologi maklumat, kem ibadah dan kursus penerapan nilai-nilai Islam.
Pada tahun 2009, hanya 43 buah sekolah sahaja yang terlibat dengan dana berjumlah RM430 ribu, manakala pada tahun 2010 meningkat kepada 156 buah sekolah dengan peruntukkan sebanyak RM2.08 juta.
Pada tahun ini, daerah Sabak Bernam mendapat peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak RM360,000.00; diikuti Klang (RM255 ribu) dan Kuala Selangor sebanyak RM245 ribu.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Sulaiman Wak dan Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Sahadan Ishak.