LZS ANJUR BENGKEL ZAKAT NIAGA
SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Bengkel Zakat Niaga yang dihadiri seramai 57 orang wakil-wakil syarikat korporat bertujuan berkongsi maklumat dan memahami kaedah kiraaan zakat perniagaan di sini baru-baru ini.
Taklimat bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga merupakan pakar rujuk zakat perniagaan bagi LZS.
Di dalam majlis yang sama juga, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) telahmenunaikan zakat perniagaannya sebanyak RM10,488.00. Zakat tersebut adalah bagi tahun berakhir 2010.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Kutipan LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab.
LZS RAIH EJEN KUTIPAN ZAKAT: BANTU MUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN ZAKAT
SHAH ALAM, — Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Majlis Penghargaan Kepada Ejen Kutipan Zakat 2011 bagi menghargai peranan dan kerjasama mereka dalam memudahkan urusan pembayaran zakat di Selangor di sini pada 22 Julai.
Majlis yang disertai lebih 70 orang wakil ejen kutipan zakat ini juga bertujuan merapatkan hubungan siraturahim di antara LZS dengan ejen-ejen kutipan zakat LZS.
Di majlis ini juga 12 anugerah diberikan kepada ejen-ejen kutipan zakat yang berjaya mencapai kutipan zakat tertinggi sepanjang tahun 2010. Anugerah ini dibahagikan kepada empat kategori.
Antara ejen-ejen yang menerima anugerah kutipan tertinggi mengikut kategori adalah Celcom Axiata Berhad (Kategori Ejen Syarikat dan Agensi), Persatuan Akauntan Malaysia (Kategori Ejen Percukaian), Salihin Consulting (Kategori Firma Audit), Universiti Institut Teknologi Malaysia (Kategori Ejen IPT) dan Maybank Berhad (Kategori Ejen & Pos).
Sehingga kini LZS melantik 64 ejen kutipan zakat semenjak tahun 1997 yang terdiri daripada 15 bank utama, tujuh buah ejen syarikat dan egensi, Pos Malaysia, 27 ejen cukai serta sembilan firma audit. Manakala enam IPT pula ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia (MMU).
Melalui ejen kutipan zakat ini pelbagai kemudahan disediakan antaranya pembayaran zakat melalui perbankan internet, perbankan telefon, kaunter-kaunter bank dan pos, mesin ATM, kad kredit serta kad debit. Manakala di stesen minyak Petronas orang ramai boleh membayar zakat menerusi mesin Terminal One-Pay.
Sepanjang tahun 2010 sebanyak RM26.7 juta zakat telah dikutip melalui ejen kutipan LZS ini. Penyampaian Anugerah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.
RM14 JUTA UNTUK 19,008 FAKIR MISKIN SEMPENA RAMADAN DAN HARI RAYA
SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Bengkel Zakat Niaga yang dihadiri seramai 57 orang wakil-wakil syarikat korporat bertujuan berkongsi maklumat dan memahami kaedah kiraaan zakat perniagaan di sini baru-baru ini.
Taklimat bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga merupakan pakar rujuk zakat perniagaan bagi LZS.
Di dalam majlis yang sama juga, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) telahmenunaikan zakat perniagaannya sebanyak RM10,488.00. Zakat tersebut adalah bagi tahun berakhir 2010.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Kutipan LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab.
HARGA FITRAH NEGERI SELANGOR KEKAL RM7.00
SHAH ALAM, 22 Julai – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Mohamad Adzib b Mohd Isa dalam kenyataan medianya mengumumkan DYMM Sultan Selangor berkenan mengekalkan kadar zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan sebanyak RM7.00 sekepala sama seperti tahun sebelumnya.
Pengekalan kadar fitrah ini dipengaruhi oleh tiada kenaikan harga beras yang menjadi makanan utama penduduk Selangor di pasaran. Dijangkakan pada tahun ini sebanyak RM17.7 juta zakat fitrah akan dikutip di negeri Selangor.
Katanya lagi, bagi memudahkan orang ramai untuk membayar zakat fitrah, seramai 2,575 orang penolong amil fitrah termasuk ketua penolong amil fitrah dilantik bagi membuat kutipan zakat fitrah di seluruh Selangor.
Beberapa kaunter sementara di pusat-pusat membeli belah terpilih iaitu di Centrepoint, Klang; Mydin Plaza MPK Klang; Giant Sek. 13, Shah Alam; Kompleks PKNS, Shah Alam; Plaza Masalam, Shah Alam; Jaya Jusco, Bukit Raja, Klang; SACC Mall, Shah Alam dan Terminal LCCT, Sepang turut dibuka bagi tujuan ini.
Selain itu, sepanjang bulan Ramadan ini, LZS akan membuka 24 kaunter zakat di seluruh Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum. Waktu urusan kaunter pada hari bekerja bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Ini bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat harta dan zakat fitrah.
AGIHAN ZAKAT SEMPENA RAMADAN DAN HARI RAYA BANTU FAKIR/MISKIN RINGANKAN BEBAN
Seperti tahun-tahun yang lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mengagihkan bantuan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang Ramadan dan Hari Raya bagi memastikan mereka dapat membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna dan menyambut Hari Raya dengan lebih gembira.
Selain itu, pengagihan bantuan ini dilaksanakan lebih awal bagi membolehkan penerima zakat meringankan bebanan mereka dan menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah di bulan Ramadan.
Agihan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya ini bermula pada 19 Julai hingga 14 Ogos melibatkan sebanyak 41 program di seluruh Selangor. Sebanyak RM14,240,950 diperuntukkan untuk diagihkan kepada 19,008 keluarga fakir dan miskin di Selangor.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM8,975,300 diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM5,265,650 diagihkan kepada golongan fakir.
Di Selangor terdapat seramai 12,159 keluarga asnaf miskin berbanding 11,114 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 6,849 keluarga berbanding 7,238 keluarga fakir tahun lalu.
Daerah Hulu Langat mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,529 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,647,750. Ini diikuti daerah Kuala Selangor seramai 2,621 keluarga (RM1,923,800), Sabak Bernam seramai 2,493 keluarga (RM1,753,150) dan Petaling seramai 2,197 keluarga (RM1,704,850).
Manakala Klang seramai 1,995 keluarga (RM1,532,900), Hulu Selangor seramai 1,823 keluarga (RM1,385,800), Gombak seramai 1,773 keluarga (RM1,348,300), Kuala Langat seramai 1,659 keluarga (RM1,263,700), Sepang seramai 570 keluarga (RM429,400) dan penempatan berkelompok seramai 348 keluarga (RM251,300).
Bentuk Agihan
Bantuan zakat yang dihulurkan kali ini adalah berupa wang tunai. Setiap asnaf fakir menerima bantuan di antara RM600 sehingga RM1,000 bagi satu keluarga bergantung kepada tanggungan.
Manakala bagi asnaf miskin pula menerima wang tunai antara RM550 sehingga RM1,000 bagi satu keluarga berdasarkan kepada tanggungan.
Bantuan yang diterima ini diharap, dapat digunakan sebaiknya agar dapat meringankan bebanan keluarga disamping dapat merasai kegembiraan menyambut Hari Raya kelak.
LZS ANJUR KONVENSYEN KUTIPAN ZAKAT
SHAH ALAM, 16 JULAI 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) julung-julung kalinya menganjurkan Konvensyen Kutipan Zakat, khusus bagi kakitangan LZS yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kutipan, iaitu dakwah dan pemasaran zakat. Program diadakan di sebuah pusat konvensyen di sini.
Seramai hampir 100 orang kakitangan telah terlibat. Di antara pembentangan yang dilakukan, melibatkan prestasi kutipan sehingga Jun 2011, hala tuju kutipan LZS, isu-isu agihan zakat dan juga sesi munaqasyah atau dialog.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dalam ucaptamanya telah memberi penekanan, bahawa keutamaan LZS kini ialah memperkasakan aspek kutipan menerusi pelbagai pendekatan yang berkesan, termasuklah menerusi agihan zakat. Keyakinan umat Islam adalah kunci kepada kualiti kutipan zakat di Selangor.
Program ditamatkan pada sebelah petang dengan sesi pembacaan ikrar, iaitu ‘Doa Wehdah Amilin’, sebagai manifestasi komitmen para peserta konvensyen menggalas sasaran kutipan zakat yang berjumlah RM370 juta pada tahun ini.
PELANCARAN BULAN ZAKAT DAN IJTIMA’ AMIL ZAKAT KEBANGSAAN 2011
Kuala Lumpur – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat dan Ijtima’ Amil Zakat Kebangsaan 2011 bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis pelancaran sambutan Bulan Zakat dan Ijtima’ Amil Kebangsaan 2011 ini telah dirasmikan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tema “Zakat Pemangkin Tamadun Ummah”.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan dan kepentingan berzakat serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di negara ini. Perhimpunan julung kali amil dari seluruh negara ini melibatkan penyertaan seramai hampir 800 orang amil di seluruh negara.
Majlis ini juga dimeriahkan lagi dengan pameran barangan keluaran usahawan asnaf terpilih dari Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang. Pelbagai jenis produk usahawan telah dipamer dan dijualkan kepada peserta Ijtima’ dan majlis perasmian.
19 RUMAH KEBAJIKAN TERIMA SUMBANGAN ZAKAT RM495 RIBU
SHAH ALAM, 14 Julai – Sebanyak 19 buah persatuan rumah kebajikan menerima sumbangan zakat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti keislaman bernilai RM495 ribu daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini.
Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan zakat antara RM15,000 hingga RM30,000. Antara yang menerima bantuan ialah Asrama Anak-Anak Yatim Damai, Baitul Hidayah, Raudhatul Ikhwan, Rumah Amal Baitul Kasih, Pertubuhan A-Khaadem, Rumah Aman Shah Alam dan PEKEAS.
Turut menerima sumbangan, Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Klang, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al- Ikhlas, Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Khairiyah, Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, Asrama Anak-Anak Yatim Sekendi, Rumah Anak Kesayanganku.
Pada program penyerahan sumbangan kali ini setiap wakil rumah kebajikan membentangkan laporan kewangan dan aktiviti masing-masing dari Januari sehingga Julai melalui bantuan yang disalurkan sebelum ini.
Bantuan disampaikan oleh Shahadan Ishak, Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS kepada setiap wakil rumah kebajikan.