Utama Blog Halaman 121

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PUNCAK NIAGA RM4.7 JUTA

0

HULU SELANGOR, 25 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM4,684,318.91 juta daripada Puncak Niaga Holding Berhad. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut sempena majlis berbuka puasa baginda bersama rakyat di Masjid Al-Makmur di sini.

Zakat perniagaan bagi Puncak Niaga Holding diserahkan oleh Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100 ribu kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang mualaf dan 100 orang anak yatim. Setiap mereka menerima wang tunai RM300 seorang, manakala RM100 seorang bagi anak yatim.

Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin.

PESAKIT BUAH PINGGANG BUKAN ASNAF MISKIN

0

Shah Alam, 25 Ogos 2011 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita bertajuk ‘Kembalikan hak saya’ yang tersiar di akhbar Harian Metro pada hari ini 25 Ogos 2011, di muka surat 41 ruangan Setempat.

LZS prihatin dengan masalah yang diajukan oleh dua orang warga emas, Shahrum Ayumi dan Hasimah Awang. Mengikut rekod LZS, kedua-dua pengadu menerima bantuan bagi rawatan dialisis dan suntikan aprex sejak tahun 2007 dan 2008. Walau bagaimanapun mereka bukanlah asnaf fakir atau miskin dan bantuan yang diberikan adalah di bawah asnaf Gharimin iaitu atas dasar sumbangan dan terhad kepada 12 kali rawatan sahaja.  Selain Shahrum dan Hasimah, perkara ini turut dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Kebajikan Buah Pinggang Selangor, Omar Othman dalam pertemuan dengan wakil LZS sebelum ini.

Ini bermaksud sekiranya mereka memerlukan rawatan melebihi 12 kali, maka perbezaan kos perlu ditanggung oleh pesakit itu sendiri.  Dalam kes Shahrum dan Hasimah, sekiranya mereka memerlukan bantuan lanjut, LZS sedia untuk mempertimbangkannya  kerana sebelum ini terdapat pesakit yang berhadapan kes yang sama telah menerima bantuan daripada LZS apabila permohonan mereka diluluskan.

Ketika ini terdapat hampir 1,000 orang yang menerima rawatan dialisis dan menerima bantuan daripada LZS, di mana lebih separuh daripadanya bukan asnaf fakir atau miskin.  Mengikut dasar agihan zakat, sekiranya seseorang itu asnaf fakir atau miskin, maka LZS akan menanggung keseluruhan kos rawatan dialisis mereka, namun jika sebaliknya, terdapat had yang telah ditentukan.

FELDA BAYAR ZAKAT HAMPIR RM400 RIBU UNTUK NEGERI SELANGOR

0

Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menerima pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM397,099 daripada Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda. Pembayaran zakat FELDA itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak di majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri di kediaman rasminya, di Seri Perdana baru-baru ini.

LZS di wakili oleh En Mohamad Amin Ibrahim, Ketua Jabatan Dakwah & Pemasaran telah menerima pembayaran zakat tersebut untuk operasi perniagaan FELDA di negeri Selangor. Pada majlis itu, Perdana Menteri  turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN). Jumlah keseluruhan bayaran zakat Kumpulan Felda dan KPF bagi 2010 berjumlah RM17.65 juta.

Pembayaran zakat oleh Kumpulan FELDA ini menunjukkan tahap kepatuhan zakat dikalangan syarikat-syarikat  berkaitan kerajaan (GLC) adalah semakin meningkat. Ini kerana selain FELDA, pelbagai GLC lain turut menunaikan kewajiban zakat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan lain-lain.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM4 JUTA

0

SEPANG, 24 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM4 juta daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM2.5 juta dan Sigor Ros Sdn Bhd sebanyak RM1.5 juta.  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut sempena majlis berbuka puasa baginda bersama rakyat di Masjid Al-Makmur di sini.

Zakat perniagaan bagi PNSB diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Haji Ahmad Omar manakala Sigor Ros Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan, Abdul Mofti Ahmad Jantan.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100 ribu kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang mualaf dan 100 orang anak yatim.  Setiap mereka menerima wang tunai RM300 seorang, manakala RM100 seorang bagi anak yatim.

Selain kepada anak yatim dan mualaf, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada RM14.2 juta bantuan yang disalurkan kepada 19,008 golongan fakir dan miskin sempena Ramadan dan hari raya.

Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin  Munawi serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa,  Mufti  Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin.

ARIANI TEXTILE & MANUFACTURING (M) SDN BHD SERAH ZAKAT RM180 RIBU

0

Klang, 21 Ogos – Lembaga Zakat Selangor  (LZS) menerima zakat berjumlah RM180,164 dari Syarikat Ariani Textile & Manufacturing ( M) Sdn Bhd bertempat di Istana Alam Shah, Klang sempena majlis berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor.

DYMM Sultan Selangor  berkenan menerima zakat  Ariani Textile & Manufacturing
( M) Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Faroz b. Mohamed Jakel bagi tahun kewangan berakhir 2010 .

Turut hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),  Dato’ Setia  Mohamad Adzib b. Mohd Isa, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohammed Izam b. Mohammed Yusof.

73 SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM1.9 JUTA

0

SHAH ALAM, 19 Ogos -Sebanyak 73 buah syarikat menunaikan zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM1.9 Juta di majlis berbuka puasa yang diadakan di sini pada 19 Ogos.

Majlis ini juga bertujuan mengeratkan siraturahim di antara LZS dengan pembayar zakat perniagaan, ruang untuk mereka bertukar pandangan dan melihat sendiri agihan zakat dilaksanakan.

Pada majlis yang sama bantuan pembinaan rumah dan komputer riba kepada lima penerima telah diberikan.

Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Adibah Abdul Wahab dalam ucapan aluannya berasa amat gembira dengan kehadiran dan komitmen yang amat menggalakkan dari pembayar zakat pada majlis kali ini.

Tambahnya, dilihat dari jumlah syarikat yang menunaikan zakat hari ini, menunjukkan kesedaran dalam pembayaran zakat perniagaan semakin meningkat.  Jumlah wang zakat yang meningkat membolehkan lebih banyak asnaf dapat dibantu.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr Aziuddin Ahmad.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM3,302,822.07

0

KOTA DAMANSARA, — Lembaga Zakat Selangor (LZS)  menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Proton Holdings Berhad (Proton) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta anak-anak syarikatnya berjumlah RM3,302,822.07 di Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Kota Damansara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bekenan menerima zakat tersebut daripada Proton sebanyak RM2,801,106.00 yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.  Manakala KDEB dan anak-anak syarikatnya diwakili Presiden, Suhaimi Kamaralzaman menyerahkan zakat sebanyak RM501,716.07.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan bantuan zakat kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang muallaf dan 100 orang anak yatim.  Setiap mereka menerima wang tunai RM300, manakala RM100 bagi anak yatim.  Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM14.2 juta bantuan yang disalurkan kepada 19,008 golongan fakir dan miskin sempena Ramadan dan hari raya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa; Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin; dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof

KENYATAAN MEDIA ISU AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR

0

AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR PENTINGKAN KESEGERAAN DAN KETELUSAN

SHAH ALAM, 15 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memastikan bantuan zakat yang disalurkan adalah segera dan telus bagi memastikan ia (bantuan) sampai kepada golongan sasaran tanpa proses birokrasi yang rumit sehinggakan terdapat bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.

Bagi bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam ini ia melibatkan kelulusan permohonan maksimum sehingga RM3,000 iaitu melalui kaunter ekspres yang terletak di ibu pejabat LZS. Antaranya bantuan perubatan, pelbagai bantuan kecemasan, keperluan pendidikan, musafir dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat juga bantuan yang diluluskan dalam tempoh 24 jam antaranya berbentuk kecemasan asasi seperti bil perubatan, bil-bil utiliti, makanan dan minuman, pengangkutan dan lain-lain yang boleh dimohon di semua cawangan LZS.

Bagi mempercepatkan proses kelulusan bantuan, permohonan juga boleh diluluskan di peringkat cawangan LZS iaitu bagi bantuan bernilai RM3,000 ke bawah yang melibatkan kelulusan bantuan dalam tempoh 14 hari bekerja. Antaranya bantuan makanan bulanan, kewangan bulanan, bantuan umum pelajaran, bantuan penerapan nilai Islam, sewa rumah, sumbangan aktiviti dakwah, bantuan perubatan, yuran persekolahan, keperluan pendidikan dan biasiswa pelajaran.

Bagi LZS, tidak wujud birokrasi dalam pengagihan wang zakat jika dilihat dari aspek kesegeraan kelulusan permohonan bantuan ini. Walaubagaimanapun, setiap permohonan mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan, perlu disertakan dengan dokumen sokongan, prosedur dan tempoh tertentu bagi memastikan ketelusan permohonan dan hak zakat itu dapat dipelihara serta mengelakkan sebarang penipuan.

Selain kelulusan bantuan dalam tempoh dua jam, 24 jam dan 14 hari, piagam pelanggan LZS juga menetapkan kelulusan bantuan dalam tempoh maksimum 30 hari iaitu bantuan yang melibatkan kadar yang lebih tinggi iaitu RM3,000 ke atas. Bagi bantuan ini ia ia memerlukan pemantauan dan siasatan yang lebih terperinci. Antaranya bantuan rawatan dialisis, pembinaan baik pulih institusi agama seperti sekolah, surau dan masjid, bantuan hutang perubatan, bantuan bina dan baik pulih rumah.

LZS juga memerlukan kerjasama dari pihak permohon bagi memastikan borang permohonan yang dihantar adalah lengkap agar proses segera boleh dilaksanakan.

Selain itu, bagi memudahkan dan membantu pemohon membuat permohonan, LZS juga menyediakan 24 cawangan zakat di seluruh Selangor dan sebuah kaunter bergerak yang kondusif dan selesa selain menyediakan borang permohonan di portal LZS yang boleh dimuat turun oleh pemohon pada bila-bila masa.

LZS juga menggunakan pelbagai medium dan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan. Antaranya mengadakan bancian setiap tiga tahun sekali, menggunakan garis penentuan fakir miskin iaitu had al-kifayah, mendapatkan kerjasama pihak yang hampir dan mengenali penduduk iaitu dari penghulu mukim, ketua kampung, pengerusi jawatankuasa penduduk, jawatan kuasa kampung dan masjid, mendapatkan maklumat dari pihak sekolah, mendapatkan maklumat daripada NGO, orang persendirian, media dan sebagainya dan membuat siasatan sendiri ke rumah pemohon.

Selain itu, LZS juga mendapat kerjasama daripada lebih 1,500 orang penolong amil Kariah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid dan surau untuk menyampaikan maklumat mereka yang berada di dalam kesusahan dan menyediakan perkhidmatan talian khidmat pelanggan 03-5522 7777 untuk masyarakat menyampaikan maklumat berkaitan kemiskinan dan pertanyaan berkaitan permohonan yang dipohon. Dengan perlaksanaan pelbagai mekanisma ini hasilnya sepanjang Januari-Jun tahun ini LZS berjaya menyelesaikan 36,512 permohonan zakat mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.

MOHAMED IZAM MOHAMED YUSOF
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (MAIS)

Berita Terkini