Utama Blog Halaman 114

LZS PERJELAS ISU ‘LELAKI TANGGUNG 10 ADIK IPAR RAYU BANTUAN’

0

Shah Alam, 6 Jan 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Lelaki Tanggung 10 Adik Ipar Rayu Bantuan’ yang tersiar di akhbar Kosmo! pada 4 Januari 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Mohd. Tharmizi Abdul Salim, 32 menyatakan beliau amat memerlukan bantuan zakat bagi menyara tiga anak dan 10 adik iparnya.

LZS amat prihatin dengan aduan yang telah disampaikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan siasatan dan bancian awal LZS pada pertengahan tahun 2011 dan dilakukan sekali lagi pada 4 Januari 2012, didapati penama berkenaan tidak menepati kriteria untuk dikategorikan sebagai asnaf miskin. Ini kerana, pendapatan beliau adalah melebihi daripada garis had al-kifayah (had minima kecukupan) sebagaimana yang ditetapkan oleh LZS.

Justeru itu, pihak LZS kini sedang menguruskan bantuan pendidikan kepada adik-adik iparnya, di bawah Bantuan Umum Pelajaran LZS.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD. HASHIM
Pengurus Komunikasi Korporat

LZS PERJELAS ISU ‘IBRAHIM @ ABDUL RAHMAN MAHMOOD’

0

Shah Alam, 6 Jan 2012 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kes Ibrahim @ Abdul Rahman bin Mahmood, 83 tahun seperti yang tersiar dalam Buletin Utama, TV3 pada 1 Januari 2012.

Menurut laporan tersebut, pengadu yang menghidap penyakit annerysm telah memohon untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban perubatan yang ditanggung.

Pihak LZS amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh Ibrahim. Sehubungan dengan itu, LZS telah meluluskan bantuan perubatan untuk Ibrahim sebanyak RM3,000 bagi tempoh 12 bulan, bagi keperluan perubatan seperti membeli susu dan makanan khas. Bantuan ini boleh diteruskan pada masa hadapan bergantung kepada permohonan dan keadaan beliau.

Pihak LZS berharap dengan bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung beliau.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD. HASHIM

Pengurus Komunikasi Korporat

WAKTU URUSAN KAUNTER HARI INI DAN ESOK DIPANJANGKAN

0

SHAH ALAM, 30 Disember–Bagi memudahkan lagi masyarakat menunaikan zakat di hujung tahun ini, waktu urusan kaunter di seluruh Selangor akan dipanjangkan pada hari ini dan esok.

Waktu urusan kaunter pada hari ini bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang manakala pada hari esok pula (31hb) waktu urusan kaunter akan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Mereka yang ingin menunaikan zakat dinasihatkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan di kaunter. Selain menggunakan wang tunai, pembayaran zakat juga boleh dilakukan menggunakan kad kredit dan kad debit.

LZS berharap dengan waktu urusan kaunter yang dipanjangkan ini memberi ruang kepada pembayar menunaikan zakat pada tahun semasa bagi mendapat rebat cukai pendapatan.

Sementara itu, LZS turut menyediakan cenderahati berbentuk kalender 2012 dengan setiap pembayaran zakat.

LZS TERIMA ZAKAT PROTON PARTS CENTRE SDN BHD RM13.5 JUTA

0

SHAH ALAM, 22 Disember – Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,365,416.03 bagi tahun kewangan 2011 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Cek zakat perniagaan PPCSB diserahkan oleh Pengerusi Proton Parts Centre Sdn Bhd, Dato’ Haji Abdul Hamid bin Mustapha kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Tn, Hj Mohamed Izam Mohamad Yusof.

Sementara itu, penyampaian agihan semula 1/3 zakat perniagaan PPCSB berjumlah RM427.780.00 turut diadakan. Seramai 80 orang penerima agihan yang terdiri daripada kakitangan PPCSB meliputi asnaf fakir, miskin dan fisabilillah menerima bantuan masing-masing di majlis yang sama.

Hadir sama Pengarah Urusan PPCSB, En Rali Mohd Nor dan Pengurus Pejabat Kutipan, Hjh Adibah Abdul Wahab.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM1.4 JUTA DARIPADA 18 SYARIKAT

0

SHAH ALAM, 20 Disember 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima pembayaran zakat daripada 18 buah syarikat berjumlah RM1,476,282.08 dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Agihan Zakat di sini hari ini. Penyerahan zakat diterima Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Antara syarikat yang menunaikan zakat ialah Sirim QAS International Sdn. Bhd. Sebanyak RM604,392.52, Affin Islamic Bank Berhad (RM326,000.00), Meps Currency Management Sdn. Bhd. (RM200,000.00) dan Felcra Berhad sebanyak RM85,669.88. Kumpulan Zaibar menerusi lima anak syarikat iaitu Zaibar Automobile Sdn. Bhd., Zaibar Motor Sports Sdn. Bhd., Zaibar Properties Sdn. Bhd. Serta Starsky Security And Private Investigator Sdn. Bhd menyerahkan zakat sebanyak RM100,000.00.

Turut menyerahkan zakat ialah Bank Persatuan (RM50,000.00), Public Islamic Bank Berhad (RM40,000.00), Koperasi Membeli dan Membuka Tanah Seri Cheeding Berhad (RM25,000.00), Allied Calibration Engineering Services Sdn. Bhd. (RM10,000.00), serta Abadan Enterprise juga RM10,000.00. Selain itu, Northport Container Terminal Sdn. Bhd. (RM9,719.68), Sainuka Habib Sdn. Bhd. (RM5,000.00), Bunga Mekar Enterprise (RM5,000.00), Modular Synergy Sdn. Bhd. (RM500.00).

Sementara itu, seramai lima individu menerima bantuan zakat masing-masing berjumlah RM81,697.00. Mereka ialah Hisahamuddin Md Nor dan Nurulfidah Karim yang menerima bantuan bina rumah bernilai RM38,000.00 setiap satu. Tiga orang pelajar (anak asnaf), Mohd Yusaof Jamil, Shafeq Mat Yusof serta Siti Nur Aishah Abd Razak masing-masing menerima komputer riba bernilai RM1,899.00.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

24 CAWANGAN LEMBAGA ZAKAT SELANGOR BEROPERASI 7 HARI SEMINGGU

0

SHAH ALAM, 15 DISEMBER 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka semua 24 cawangan di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu bermula 1 hingga 31 Disember 2011.

Sehubungan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan juga dilanjutkan iaitu dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja dan 9.00 pagi sehingga 3.00 petang pada hari cuti umum dan kelepasan am. Manakala pada 31 Disember 2011, seluruh cawangan akan beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga pukul 8.00 malam.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah khidmat rundingcara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta dan juga bayaran zakat. Kaunter LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran menerusi kad kredit dan kad debit.

LZS berharap dengan perkhidmatan kaunter tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2011.

RM1 JUTA BANTU PESAKIT KURANG BERKEMAMPUAN JELAS KOS RAWATAN

0

SELAYANG, 14 Disember 2011- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1 juta kepada Tabung Pesakit Kronik bagi 10 buah hospital terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur. Ia bertujuan meringankan bebanan pesakit kurang berkemampuan yang memerlukan pembiayaan bagi menjalani kos rawatan di hospital berkenaan.

Bantuan di bawah Program Pembangunan Sosial ini telah bermula sejak tahun 2010 dan 10 buah hospital yang terlibat pula ialah, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Institut Jantung Negara (IJN).

Semua hospital terbabit menerima RM100 ribu untuk kegunaan tabung, di samping LZS turut akan memberikan bantuan mesin dialisis kepada setiap hospital yang memerlukan. Sebanyak 25 unit mesin dialisis akan dibekalkan tidak lama lagi dengan kos keseluruhan mencecah RM100 ribu.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Azman Abu Bakar serta Pengarah Hospital Selayang, Dr.Siti Zaleha Mohd. Salleh.

Berita Terkini