PROGRAM KEBERKATAN BERZAKAT DI AADK
KELANA JAYA, 16 Februari–Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan Program Keberkatan Berzakat di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini bagi berkongsi tentang pentingnya menunaikan zakat.
Perkongsian ilmu dengan tajuk “Keberkatan Berzakat” disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Hasim Fikrki Al-Jawi, Pegawai Pemasaran LZS berjaya menarik perhatian hampir 50 kakitangan AADK. Peserta turut diterangkan tentang kaedah terkini dalam membuat taksiran zakat pendapatan.
Selain itu, peserta juga berpeluang menunaikan zakat atau menyertai Skim Berkat melalui kaunter zakat yang turut dibuka.
Turut serta di program hari ini Pengarah AADK Selangor, Alias Jaafar. Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyerahan cenderahati.
ISTIKHARAH DEMI MASA HADAPAN
Kesibukan jalan besar dari Bandar Ampang menghala ke Bukit Belacan menandakan pesatnya pembangunan di kawasan berkenaan. Di kiri kanan jalan raya yang dahulunya dipenuhi semak belukar, kini berubah wajah dengan deretan rumah kedai dan kiosk-kiosk perniagaan yang subur bak cendawan sisir selepas hujan. Terasa bangga juga hati ini, apabila melihat di antara deretan kedai itu turut berdiri beberapa premis perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam.
Justeru itu, krew Jejak Asnaf pada kali ini cuba mendekati Mohd. Azfar bin Mohamad Zin, 25, seorang pria muda yang tidak betah mensesiakan usianya begitu sahaja. Lalu, dengan sedikit pengalaman dan kemahiran, beliau mencuba menjalankan perniagaan. Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang selama ini membantu keluarganya setelah kematian ayah tercinta, melihat kesungguhan ini bukanlah sesuatu yang biasa. Sebaliknya, seorang anak muda yang berani mencuba, perlulah dibantu sehingga berjaya.
“Saya dan keluarga menerima bantuan zakat dari LZS lewat ibu, Normah binti Hj. Mohd. Hassan, yang kini sudah pun berusia 63 tahun. Kami adik-beradik dipelihara oleh ibu sebagai ibu tunggal, setelah kematian ayah pada tahun 1999. Ibu menjaga kami dengan sempurna. Berkat bantuan zakat juga, adik beradik saya semuanya berjaya. Kakak sulung saya lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), abang saya lulusan politeknik dan kakak ketiga saya pula lulusan dari Universiti Teknologi Malaysia.
“Saya pula memang seorang ‘designer’ dan mempunyai kelulusan dari Institut Kemahiran Mara (IKM). Dahulu, sehabis pengajian di IKM, saya juga mendapat tawaran ke UiTM. Tetapi, akhirnya saya mengambil pilihan untuk bekerja di sebuah syarikat di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya berharap, dengan cara ini, saya dapat memberikan keringanan kepada ibu.” Ujar anak muda ini satu persatu tentang sedikit latar belakangnya.
“Sewaktu kematian ayah pada tahun 1999, kala itu saya baharu di Tingkatan satu, baru berusia 13 tahun. Kakak-kakak dan abang pun masih bersekolah. Mujur juga semasa hidupnya, ayah ada meninggalkan sebuah rumah sewa yang terus menjadi penyangga kehidupan kami sekeluarga. Dengan pendapatan sewa rumah kira-kira RM500 itulah ibu menyara kami.
“Bahkan demi melangsungkan kehidupan, khususnya pendidikan kami adik-beradik, ibu tega melakukan apa sahaja. Ibu pernah menggadaikan barang-barang kemasnya demi kami semua. Bahkan saya masih ingat, demi menjimatkan belanja, khususnya ketika hari raya, ibu akan membuat persalinan baharu dan kami memakainya untuk tiga kali raya. Semuanya demi menjimatkan belanja.”
Begitulah helaian kehidupan susah Azfar dan ibu serta adik-beradiknya. Kesusahan ini akhirnya telah berjaya dikesan oleh pihak LZS. Lalu, setelah lima tahun pemergian ayahnya, yakni pada tahun 2003, LZS tampil menggalas tanggung jawab menyantuni mereka sekeluarga.
“Saya dan keluarga amat bersyukur, justeru LZS telah banyak berusaha memberikan apa yang sewajarnya demi kami menikmati secebis erti kehidupan. Bahkan, sejak mulai dibantu, LZS terus memberikan kami sokongan sehinggalah ke tahun 2009. Ini kerana, pada tahun 2009 itulah saatnya saya telah melakukan satu loncatan paling besar dalam kerjaya dan kehidupan. Pada tahun itulah, berdirinya kedai iklan saya ini yang saya namakan sebagai Yellow Advertising.”
Demikian Azfar meneruskan kisahnya. Tampak cahaya kesungguhan dari keteduhan pandangannya. Suasana kedainya yang sarat dengan pelbagai contoh iklan hasil kerja tangannya juga, menunjukkan sambutan yang diterimanya adalah menggalakkan. Tidak sia-sialah LZS telah meluluskan bantuan modal perniagaan berjumlah RM22,000.00 kepada beliau sebelum ini.
“Alhamdulillah, nampaknya solat istikharah yang saya laksanakan sebelum ini, iaitu semasa mahu memilih sama ada berhenti kerja dengan orang dan menjalankan perniagaan sendiri, telah banyak dibantu Allah. Sehingga kini, banyak pihak sama ada individu, organisasi swasta mahu pun ejensi kerajaan yang datang dan menempah iklan dengan saya.
“Syarikat saya menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan, di antaranya membuat papan kenyataan, papan tanda arah, papan tanda, pelekat pelbagai corak, pelekat rasmi, kain rentang dan juga cenderamata. Bahkan saya juga berpakat dengan kawan dan membuka gerai di pasar Up-Town Danau Kota. Kami juga mengambil tempahan membuat nombor plat kenderaan.”
Kini Azfar dalam proses dan perancangan memperluaskan perniagaannya. Sebagai bukti kekuatan syarikatnya, dia juga sudah mampu menggajikan seorang pekerja tetap dan dua orang pekerja sambilan, bagi membantu kerja-kerja pemasangan iklan dan sebagainya. Dia juga sedang mencari seorang pembantu designer, agar dia sendiri dapat menumpukan kepada kerja-kerja pemasaran.
“Saya bersyukur dengan apa yang telah saya perolehi selama ini. Saya juga bercita-cita, untuk dapat keluar daripada kelompok asnaf zakat dan alhamdulillah, pada tahun 2010 yang lalu, saya telah berjaya menunaikan zakat pendapatan saya yang pertama. Semoga Allah memberkati perjalanan bisnes saya dan semoga Allah SWT juga memberkati semua pembayar zakat walau di mana mereka berada.” Tuntasnya.
Nota: Perniagaan iklan Azfar boleh dikunjungi di No. 10, Jalan Bukit Belacan, Lembah Jaya, 68000 Ampang, Selangor. Tel: 012-2552936 atau 012-3311586 atau menerusi e-mail azfarzin@yahoo.com.my.
KONTINJEN LZS DAPAT TEMPAT KETIGA
Lembaga Zakat Selangor (MAIS) muncul tempat ketiga bagi kontinjen wanita dan tempat keempat bagi kontinjen lelaki dalam kategori sepanduk sempena perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor tahun 2011/1433H yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam, 5 Februari 2012.
Sambutan bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ melibatkan 71 warga kerja lelaki dan wanita yang mewakili LZS. Ia dimulakan dengan perarakan dari Stadium Mini ke Stadium Melawati sambil berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Majlis ini disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Sebanyak 128 kontinjen yang terlibat membabitkan jabatan kerajaan, badan berkanun, institusi pengajian tinggi (awam dan swasta), masjid, sekolah menengah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haji Marzuki Hussin.
LZS ANJUR PROGRAM KEBERKATAN BERZAKAT
BANTING, 13 Februari–Program Keberkatan Berzakat diadakan di Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) di sini pada 10 Februari bagi memberi kefahaman kepada peserta tentang keberkatan menunaikan tanggungjawab berzakat.
Program berbentuk ceramah ini disertai seramai 100 orang kakitangan KMS bermula jam 2.45 petang. Sesi soal jawab turut dibuka untuk peserta mengajukan soalan berkaitan kutipan dan agihan zakat.
Objektif untuk memberi kefahaman berkenaan pentingnya menunaikan zakat yang disampaikan oleh Ustaz Hashim Fikri Al Jawi, Pegawai Pemasaran LZS dilihat berjaya dihayati oleh peserta.
Selain itu, peserta turut didedahkan kaedah taksiran zakat pendapatan agar mereka boleh membuat taksiran sendiri zakat mereka.
Bagi memudahkan peserta, kaunter zakat turut dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
MOHD. YATIM: YAKIN REZEKI BERNIAGA
DIA selesa membina tapak perniagaannya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Hanya dengan sebuah lori kecil berwarna hijau yang pada awalnya diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), dia menyambung usaha membayarnya secara ansuran bulanan.
Kini, lori itu sudah menjadi miliknya 100 peratus. Dia mahu menukar warnanya. Tetapi, jauh di sudut hatinya, nama LZS tetap terpahat kukuh. Kali ini, mari kita lewati jalan berliku yang pernah diuliti Mohd. Yatim Abd. Ghani, 42 dalam meraih mimpinya menjadi peniaga berjaya.
“Saya berasal dari Kelantan. Isteri saya pula orang Besut, Terengganu. Kami merantau ke Selangor awal 1990-an. Semasa itu, saya pun masih belum berumah tangga. Usia baru 23 tahun. Buat permulaan, selama 10 tahun, iaitu dari 1994 hingga 2004, saya menjadi juruteknik di salah sebuah syarikat milik kerajaan negeri,” Mohd. Yatim memulakan cerita.
Daripada kesungguhan dan gaya penampilannya, nampak dia seorang yang tinggi keyakinan dan penuh ketekunan. Tidak hairanlah, LZS mensasarkan dia antara asnaf yang bakal bergelar usahawan sukses tahun 2012.
“Tahun 2004 saya terpaksa berhenti kerja. Tanpa membuang masa, saya mencuba bakat dengan berniaga. Semasa itu, saya berniaga di Nilai 3. Tetapi, bukan mudah rupanya menjadi seorang peniaga. Rezeki yang datang, sukar diduga. Kala itu, kehidupan saya sekeluarga mulai susah. Boleh saya nisbahkan, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.”
Demikianlah namanya kehidupan. Orang mungkin melihat ‘luaran’ nampak senang, tetapi kesusahan ‘di dalam’, siapa yang tahu. Hidup dengan menyara empat orang anak bukanlah mudah. Segalanya memerlukan perbelanjaan yang bukanlah murah.
Bukan sekadar itu, kehidupan yang susah juga menjerakan. Anak-anak pernah ke sekolah tanpa sarapan. Yuran sekolah acap kali tertunggak dan sering pula menerima leteran para guru. Di samping itu, kerinduan pada ibu bapa dan kampung halaman terpaksa dipendamkan. Ini kerana, kos untuk pulang ke kampung bagi berziarah sanak saudara, amat mahal sekali rasanya.
“Dahulu, saya hanya tahan telinga dengar pasal yuran tidak berbayar. Jujurnya juga, dahulu saya hanya mampu balik ke kampung setahun sekali ziarah kaum keluarga. Itu pun tunggu hari raya,” katanya lagi penuh makna.
Menurut Mohd. Yatim, apabila mengenangkan kenangan silam dan merasai betapa peritnya menanti kehadiran hari lebaran dalam penuh kesempitan, ia sesuatu yang amat menjerakan.
Kala itu, mereka sekeluarga pernah tidak bertukar persalinan. Begitu juga kala musim persekolahan menggamit datang, terasa amat berat kepala memikirkan tentang segala keperluan.
“Saya terpaksa meminta anak-anak pakai dulu apa yang ada. Kemudian dengan berdikit-dikit saya cuba membeli pakaian sekolah baru buat mereka.” Tambahnya.
Hakikatnya, zakat adalah jambatan kehidupan buat mereka yang memerlukan. Mujurlah LZS mengesani kemelut yang melanda dan datang membawa seberkas bekal buat mereka.
“Saya ingat lagi tahun 2007, dalam keadaan susah itulah, LZS datang memberikan bantuan kepada saya sekeluarga. Kemudiannya, apabila saya dapat tahu yang LZS turut menyediakan bantuan perniagaan, hati saya tambah berbunga-bunga. Saya amat berharap saya mendapatkannya. Ini kerana, saya yakin saya memang boleh berniaga.
“Alhamdulillah, ternyata sungguh benar tekaan saya. Zakat memang benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan saya, isteri dan anak-anak. Zakat memberikan saya pelbagai bantuan, daripada bantuan persekolahan anak-anak, membuat persiapan raya, bulanan dan pastinya modal perniagaan.
“Paling mengujakan bila LZS memberikan saya sebuah lori. Ia ibarat ‘kuasa tambahan’ bagi saya merancakkan lagi perniagaan. Saya mampu pergi ke mana-mana untuk berniaga. Jika ada program dan keramaian, sama ada kenduri di rumah orang, majlis sukaneka dan sebagainya, saya sanggup mendatanginya dan menyediakan pelbagai jualan di sana.
“Saya menyediakan pelbagai menu, antaranya nasi dagang, nasi berlauk, mi, mihun, cucur, pisang goreng dan pelbagai juadah gorengan. Bahkan sering juga penganjur majlis menjemput saya menyediakan juadah dan saya hanya mengenakan caj semurah RM7 sekepala mengikut hidangan yang diminta.
“Bukan sekadar itu, saya juga menyertai sebuah kelab kereta dan kami sering mengadakan program bersama. Saya sering diminta menyediakan makanan buat semua peserta. Alhamdulillah, memang bertambahlah rezeki saya,” ujarnya tambah ceria.
Hari ini, di sebalik keceriaan wajah Mohd. Yatim, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa beliau memang berbakat berniaga. Memang awalnya dia telah mengharungi pelbagai kepahitan, namun beliau membuktikan untuk berjaya seseorang itu mesti cekal dan tahan dengan ujian. Tidak sesia nampaknya LZS meletakkan harapan kepada beliau, agar berusaha dan menjadi asnaf tauladan.
Bagi tujuan mengadakan majlis keraian dan keramaian di sekitar Sepang, Mohd. Yatim boleh dihubungi di talian 017-6072262 atau email myteam.cosmo@yahoo.com.