PROGRAM TURUN PADANG PENGERUSI MAIS: PERKUKUH HUBUNGAN BERSAMA MAIS-LZS

0
26

SHAH ALAM, 29 April 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diketuai oleh Pengerusinya, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin sempena Program Turun Padang Pengerusi MAIS ke agensi dan anak syarikat di bawah seliaan MAIS.

Kunjungan yang berlangsung di Menara Zakat Sultan Idris Shah ini disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari bersama barisan pengurusan kanan LZS.

Lawatan ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara LZS dan MAIS, khususnya dalam memperkasa tadbir urus zakat dan menambah baik perkhidmatan kepada umat Islam di negeri Selangor.

Sepanjang sesi lawatan, delegasi MAIS telah diberikan taklimat menyeluruh berkenaan pengurusan, pentadbiran serta pelbagai inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan oleh LZS.

Dalam ucapannya, Mohd Khaidzir menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut sambil menegaskan komitmen LZS dalam terus mempertingkat kecekapan dan keberkesanan pengurusan zakat.

“Dengan sokongan berterusan daripada pihak MAIS, saya yakin lebih banyak ruang kerjasama dapat diteroka demi memperkasa kesejahteraan umat Islam di Selangor. Kunjungan ini membuka peluang sinergi baharu ke arah memantapkan kerjasama dan perkongsian strategik antara dua institusi utama ini,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Anggota MAIS, Datin Paduka Saudah Sulaiman; Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar; Timbalan Setiausaha (Dasar dan Pengurusan), Nurhani Salwa Jamaludin; serta pegawai-pegawai kanan MAIS yang lain.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan rasmi Pengerusi MAIS ke agensi dan anak syarikat di bawah seliaan MAIS susulan pelantikan beliau sebagai Pengerusi MAIS berkuat kuasa 1 Mac lalu.