Berita Terkini LZS

TIADA ANAK TERCICIR: ZAKAT SELANGOR, JPN BANTU SELESAI ISU DOKUMEN BELIA ASNAF

PUCHONG, 17 April 2026 — Isu dokumentasi pengenalan diri dalam kalangan belia asnaf di kawasan bandar mendapat perhatian serius, dengan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor melaksanakan inisiatif bersama melalui pendekatan intervensi bersepadu bagi menanganinya.
 
Program ini diadakan di Pangsapuri Enggang, Puchong, iaitu lokasi Pusat Al-Biruni Zakat Selangor yang berfungsi sebagai hab pembangunan komuniti bagi anak-anak asnaf di kawasan berkenaan.
Hasil pemantauan di lapangan mendapati masih terdapat belia di penempatan ini yang tidak mempunyai dokumen asas seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan, sekali gus menjejaskan akses kepada pendidikan formal serta perkhidmatan kerajaan.
 
Keadaan itu dikenal pasti susulan maklum balas rakan strategik, Adab Youth Garage (AYG), yang mengendalikan pusat berkenaan.
Sehubungan itu, satu sesi libat urus telah diadakan bersama JPN Selangor bagi mendapatkan gambaran menyeluruh serta mengenal pasti kaedah penyelesaian yang praktikal dan berkesan.
 
Usaha ini selari dengan aspirasi Zakat Selangor untuk memperkukuh impak agihan zakat secara holistik dengan memberi fokus kepada pembangunan insan dan kelestarian masa depan ummah.
 
Hasil perbincangan mendapati kebanyakan kes berpunca daripada kekangan kesedaran serta cabaran kehidupan dalam persekitaran miskin bandar, yang menjejaskan proses pendaftaran kelahiran dan dokumentasi.
 
Zakat Selangor mengambil pendekatan intervensi menyeluruh yang tidak terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek dokumentasi, pendidikan, pembangunan sahsiah dan sokongan sosial bagi memastikan golongan ini tidak terus terpinggir.
 
Menurut Ketua Pegawai Korporat & Projek Khas, Ariffa Ariffin, isu dokumentasi perlu ditangani segera kerana ia memberi kesan langsung kepada masa depan anak-anak asnaf.
 
“Tanpa dokumen pengenalan diri, mereka berdepan kekangan untuk mengakses pendidikan dan perkhidmatan asas. Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan mereka tidak tercicir dan dapat kembali ke dalam sistem rasmi negara,” katanya.
 
Langkah ini penting bagi memastikan generasi kedua asnaf tidak terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan.
 
Hadir sama, Ketua Bahagian Penyelarasan Operasi dan Komunikasi Korporat JPN Selangor, Mohd Khairil Yahya.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor