Berita Terkini LZS

Zakat Selangor Salur Bantuan Ramadan & Hari Raya RM35.98 Juta Kepada 78,656 Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf

KLANG, 11 Februari 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM35,983,800 kepada 78,656 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.
Simbolik penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr. Miszairi Sitiris kepada 60 penerima bantuan bersempena dengan Program Simbolik Bantuan Agihan Ramadan dan Hari Raya Bagi Tahun 2026 bertempat di KSL Convention Centre, di sini hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM13,186,050 diagihkan kepada 27,815 asnaf fakirRM21,236,450 kepada 45,943 asnaf miskin, manakala RM1,561,300 kepada 4,898 asnaf mualaf.
Setiap ketua keluarga akan menerima bantuan zakat antara RM300 hingga RM1,000, bergantung kepada bilangan tanggungan. Bantuan akan disalurkan mulai 1 Ramadan 1447H melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.
Semakan status bantuan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem EZO di ezo.zakatselangor.com.my.
Daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi melibatkan peruntukan sebanyak RM6,797,400 kepada 14,778 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf. Ia diikuti daerah Klang dengan jumlah agihan sebanyak RM6,038,450 yang diagihkan kepada 13,167 asnaf di daerah tersebut dan daerah Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM5,659,550 kepada 12,217 asnaf.
Sementara daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,842,250 kepada 8,414 orang asnaf, diikuti daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 7,329 asnaf melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,295,050 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 6,717 orang asnaf dengan agihan zakat sebanyak RM3,080,800.
Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 6,296 asnaf yang menerima agihan zakat sebanyak RM2,928,350, diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah asnaf seramai 5,809 orang melibatkan RM2,531,500 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,810,450 kepada 3,929 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.
Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari dan Ketua Pegawai Operasi Zakat Selangor, Ahmad Fadhil Hassan.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor