SHAH ALAM, 30 Januari 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Fundraising oleh Lembaga Zakat Asia Tenggara Terbaik pada Majlis Penganugerahan Indonesia Fundraising Award (IFA) 2025 yang berlangsung di Lorin Hotel Sentul, Bogor, Indonesia pada 27 Januari lalu.
Pengiktirafan serantau anjuran Institut Fundraising Indonesia (IFI) itu diberikan atas kecemerlangan pengurusan dan pelaksanaan strategi kutipan zakat yang berimpak serta berdaya saing. Turut menerima pengiktirafan dalam majlis yang sama ialah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Anugerah berkenaan bukan sekadar menilai jumlah kutipan, malah mengambil kira aspek tadbir urus, ketelusan, strategi pelaksanaan serta impak zakat terhadap kesejahteraan asnaf.
Ketua Divisyen Kutipan Zakat Selangor, Muhd Fikri Naim Harun hadir mewakili institusi bagi menerima pengiktirafan tersebut.
Zakat Selangor merakamkan penghargaan kepada para muzakki atas kepercayaan yang berterusan. Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh tadbir urus dan memastikan zakat diurus secara amanah.





