KUALA LANGAT, 9 Februari 2026– Zakat Selangor menyalurkan bantuan kecemasan kepada sebuah keluarga di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat yang terjejas akibat kebakaran rumah sewa.
Bantuan awal tersebut disampaikan bersama Penolong Amil Kariah Masjid Nur Hidayah Kampung Seri Cheeding sebagai langkah segera meringankan beban keluarga yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Hasil bancian awal mendapati terdapat ahli keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf miskin. Bantuan susulan akan disalurkan selepas proses dokumentasi lengkap dilaksanakan bagi memastikan keperluan mereka terus dipantau dan dibantu secara menyeluruh.
Zakat Selangor turut merakamkan ucapan takziah kepada Puan Nur Liah Asul sekeluarga atas kehilangan anak tersayang dalam kejadian tersebut serta mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini.
Dalam kejadian berkenaan, seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.






