SHAH ALAM, 23 Januari 2026 — Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM2.2 juta daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor bagi tahun 2026, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaksanaan skim potongan gaji sebagai kaedah pembayaran zakat yang lebih konsisten, sistematik dan berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, sasaran tersebut disandarkan kepada potensi besar penyertaan warga PDRM Selangor, memandangkan masih terdapat lebih 10,000 anggota yang belum menunaikan zakat melalui LZS walaupun menetap dan bertugas di negeri ini.
“Sekiranya setiap seorang menyumbang serendah RM10 sebulan, sasaran RM2.2 juta setahun bukan sesuatu yang mustahil. Ini bukan sekadar soal angka, tetapi tentang kekuatan zakat sebagai sistem perlindungan sosial yang menyantuni kebajikan anggota dan golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Khas Zakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor – Anda Hero Asnaf yang dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini yang menghimpunkan kira-kira 400 pegawai dan anggota PDRM dari seluruh Selangor.
Pada tahun 2025, jumlah kutipan zakat anggota PDRM Selangor direkodkan mencecah RM1.03 juta menerusi skim potongan gaji, melibatkan 2,736 anggota, sekali gus membuktikan potensi skim tersebut sebagai mekanisme paling berkesan untuk memastikan pembayaran zakat dibuat secara automatik dan berterusan.
Sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran baharu itu, LZS turut melancarkan Kempen “Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru” yang menawarkan dua kategori penyertaan kepada warga PDRM iaitu Wira Prihatin dengan sumbangan RM10 sebulan dan Wira Harapan sebanyak RM50 sebulan, mengikut kemampuan masing-masing.
Melalui penyertaan kempen berkenaan, peserta layak menikmati pelbagai keistimewaan termasuk manfaat Siddik dan Khairat, cenderamata eksklusif LZS, penyertaan cabutan bertuah tahunan, keahlian Muzakki Circle serta rebat cukai 100 peratus.
Dato’ Pahlawan Shazeli dalam ucapannya turut menyambut baik inisiatif ini dan berharap ia dapat memberi manfaat berterusan kepada warga PDRM Selangor khususnya dari segi kebajikan, pendidikan dan sokongan sosial kepada keluarga anggota yang memerlukan.
Dalam majlis sama turut menyaksikan penyerahan Wakalah Majikan PDRM Selangor berjumlah RM126,162.92 untuk diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan pembangunan kerohanian anggota.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM Kontinjen Selangor dan Ketua-Ketua Polis Daerah.






