SHAH ALAM, 9 Oktober 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Kempen “Anda Hero Asnaf” sempena Program Taklimat Khas Zakat Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Selangor di Masjid Negeri Shah Alam yang dihadiri lebih 400 anggota ATM dari seluruh Selangor.
Kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) ini bertujuan memperkukuh kesedaran dan amalan berzakat dalam kalangan warga ATM serta menggalakkan pembayaran zakat secara konsisten melalui potongan gaji bulanan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Rashidi Bujai bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.
Kempen ini berinspirasikan semangat “Wira Negara, Wira Asnaf” dengan mengajak warga ATM yang berkelayakan menunaikan zakat serendah RM10 sebulan melalui skim potongan gaji bulanan bagi membantu kebajikan golongan asnaf di Selangor.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, “Sebagaimana ATM menjadi benteng pertahanan negara, zakat pula adalah benteng kebajikan masyarakat. Gabungan dua kekuatan ini melahirkan pasukan yang bukan sahaja menjaga keselamatan tanah air, tetapi juga memastikan tiada yang terpinggir dalam komuniti.”
Tambah beliau, LZS dan KAGAT komited membantu anggota dan pesara tentera yang menetap di Selangor dengan melaksanakan bancian serta semakan kelayakan bagi memastikan mereka yang memerlukan mendapat bantuan zakat sewajarnya.
Kempen ini turut memperkenalkan dua kategori penyertaan bagi memberi pilihan kepada warga ATM untuk menunaikan zakat mengikut kemampuan masing-masing. Mereka boleh menyertai sebagai Wira Prihatin dengan sumbangan serendah RM10 sebulan, atau sebagai Wira Harapan dengan sumbangan RM50 sebulan.
Setiap peserta layak menerima keistimewaan seperti sumbangan Siddik dan Khairat, cenderamata eksklusif LZS, serta peluang penyertaan dalam cabutan bertuah tahunan dan kempen khas ATM. Peserta juga akan didaftarkan sebagai ahli Muzakki Circle, selain menikmati rebat cukai individu 100%
Berdasarkan rekod LZS, kutipan zakat melalui potongan gaji anggota ATM pada tahun 2024 berjumlah RM425,000.00 dengan penyertaan seramai 393 anggota aktif. LZS menyasarkan kutipan meningkat kepada RM1 juta pada tahun 2026 dengan potensi Wakalah Majikan sekitar RM125,000.00 untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kerohanian warga ATM.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan Wakalah Majikan kepada ATM berjumlah RM53,019.87 yang diagihkan kepada sembilan formasi / pasukan ATM terpilih di Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan kerohanian anggota.
Hadir sama Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Kolonel Ahmad Shukri Hashim; Komander PU Subang, Brigedier Jeneral Yusri Jamari; Pemangku Panglima 11 Briged, Kolonel Ahmad Zamil Mohamad Nor; serta Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun.








