SHAH ALAM, 24 September 2025 – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli ke Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Shah Alam, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM6,123,299.05 oleh 22 syarikat korporat kepada LZS, sekali gus memperkukuh peranan korporat dalam menunaikan tanggungjawab zakat di negeri Selangor.
Antara penyumbang utama ialah Dherbs Holdings Sdn Bhd (RM900,000), Aura One Resources (M) Sdn Bhd (RM702,432.50), XpertsCo Sdn Bhd (RM624,161.30), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82), Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM550,000), Bawal Sdn Bhd (RM500,000), dan Public Islamic Bank Berhad (RM400,000).
Dalam majlis sama, Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan dana wakalah agihan zakat bernilai RM200,000 untuk disalurkan kepada program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang diusahakan oleh YRMS.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, dalam ucapannya berkata, LZS optimis mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan tahun 2025 berjumlah RM1.328 bilion, termasuk RM205 juta daripada zakat perniagaan.
“Sehingga kini, LZS telah menerima lebih RM117 juta zakat perniagaan daripada 8,500 syarikat. Angka ini memberi petanda positif bahawa kesedaran korporat semakin meningkat. Setiap sen zakat bukan sekadar angka, tetapi amanah dan harapan buat lebih 78,000 keluarga asnaf di Selangor yang memerlukan sokongan asas dalam kehidupan mereka,” ujarnya di hadapan 100 orang wakil pengeluar syarikat korporat.
Program kali ini turut menekankan kerjasama erat bersama YRMS yang komited memperkasa potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras dengan aspirasi DYTM Raja Muda
Menurut Mohd Khaidzir, penglibatan syarikat dalam wakalah zakat dan kerjasama CSR sebegini membuktikan bahawa zakat bukan hanya ibadah kewajipan, tetapi juga instrumen sosial yang memberi impak berganda kepada masyarakat.
LZS menyeru lebih banyak syarikat untuk menunaikan zakat perniagaan secara berterusan dan sistematik, seterusnya memperkukuh budaya korporat yang berjiwa besar.
Turut hadir pada majlis ini ialah Pengerusi YRMS, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang; Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Profesor Madya Dr. Haji Miszairi Sitiris serta barisan pemegang amanah YRMS.







