SHAH ALAM, 2 April 2026 – Zakat Selangor hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, sumbangan sebanyak RM3,000 beserta bantuan makanan asas disampaikan kepada balu Allahyarham, Nur Nadia Abdul Majid, bagi membantu meringankan beban keluarga.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil, iaitu Muhammad Aqif Amsyar (9 tahun), Muhammad Afif Izz Rayqal (7 tahun) dan Nur Humaira (2 tahun).
Selain itu, Zakat Selangor turut melaksanakan bancian bagi menilai kelayakan keluarga ini sebagai penerima zakat, sekali gus memastikan bantuan berterusan dapat disalurkan mengikut keperluan keluarga tersebut.
Dalam kejadian tersebut, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu oleh individu di bawah pengaruh alkohol.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Ketua Pegawai Korporat dan Projek, Ariffa Ariffin; Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Md Yusmizan Yusof; dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Siti Aishah Abu Bakar.






