SABAK BERNAM, 25 Oktober 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan komitmennya mendekati masyarakat melalui penganjuran Program Komuniti Kempen Impak Dirasa “Jom Rewang” yang berlangsung di Surau Ubudiah, Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang, Sabak Bernam hari ini.
Program berteraskan semangat gotong-royong tradisi Melayu ini menghimpunkan hampir 500 peserta daripada komuniti setempat. Ia menjadi platform untuk mengeratkan silaturrahim antara LZS dan penduduk kampung dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Siti Aishah Abu Bakar berkata, program ini bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, tetapi satu usaha memperkukuh hubungan rapat dan kepercayaan berterusan antara LZS dan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Melalui Jom Rewang, kita bukan sahaja menghidupkan kembali warisan gotong-royong, tetapi turut menzahirkan keprihatinan LZS terhadap kesejahteraan masyarakat.
Usaha LZS bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat semata-mata, tetapi juga membina hubungan berasaskan kasih sayang, rasa tanggungjawab dan kepercayaan. Inilah nilai yang ingin kita semarakkan menerusi kempen Impak Dirasa bertemakan ‘Sentiasa Bersama, Sentiasa Menjaga’, yang menekankan pentingnya kebersamaan dalam memperkukuh komuniti,” katanya.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon terkenal Azhan Rani dan Ieda Moin yang bersama-sama penduduk menyediakan hidangan serta memeriahkan suasana rewang. Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah menarik minat lebih ramai penduduk untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan anjuran LZS ini.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk aktiviti memasak secara rewang, pertandingan mewarna dan kuiz, perkongsian ilmu, diikuti jamuan komuniti.
Penganjuran Jom Rewang ini merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti di bawah Kempen Impak Dirasa yang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan LZS dengan masyarakat, selain memperluas keterlihatan institusi zakat sebagai organisasi prihatin dan dekat di hati rakyat.








