Pendidikan memperkukuh modal insan asnaf melalui akses kepada pengajian tinggi, latihan kemahiran dan pembangunan pelajar. Pendidikan menjadi faktor penting dalam mengubah mobiliti sosial, melahirkan generasi asnaf yang lebih berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kembali kepada komuniti.
Keutamaan Kami
Pembangunan Pendidikan Rendah/Menengah
Pendidikan sekolah merupakan asas terpenting dalam membentuk jati diri, disiplin dan keupayaan akademik anak-anak asnaf. Fokus diberikan kepada memastikan akses berterusan kepada pendidikan formal melalui sokongan keperluan persekolahan, motivasi pembelajaran dan intervensi awal bagi mengurangkan keciciran. Pendidikan di peringkat ini penting untuk membina keyakinan diri serta menyediakan asas kukuh untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Antara initiatif yang dijalankan:
Program Sekolah Angkat Zakat (PROSAZ) Insentif kepada pengurusan sekolah untuk melaksanakan program akademik, kemahiran dan kerohanian demi pembangunan anak asnaf dan fakir miskin.
Biasiswa Kecil Bantuan bulanan dan keperluan yuran kepada pelajar anak asnaf fakir dan miskin yang mendapat tempat di asrama SBP, MRSM, MITS dan SAM.
Pembangunan Pendidikan Tinggi
Pendidikan tinggi berperanan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial asnaf ke arah kehidupan yang lebih stabil dan berdaya saing. Keutamaan diberikan kepada sokongan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, latihan kemahiran profesional dan pembangunan kebolehpasaran graduan. Melalui pendidikan tinggi, golongan asnaf berpeluang meningkatkan pendapatan, mencapai kerjaya mampan dan seterusnya keluar daripada kitaran kemiskinan.
Antara initiatif yang dijalankan:
Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi (Dalam Negara) Membantu pembayaran yuran pengajian dan bantuan keperluan pendidikan IPT anak fakir, miskin dan mualaf untuk melanjutkan pelajaran sepenuh masa di IPT/ILK dalam negara.
Program Sokongan Institusi al-Biruni
Projek Al-Biruni LZS, iaitu sebuah pusat pembelajaran dan inovasi yang memberi tumpuan kepada pembangunan kanak-kanak miskin bandar (asnaf), khususnya dalam aspek pendidikan dan pembinaan modal insan.
Bagi menjayakan pelaksanaan program ini, Persatuan Adab Gemilang (PAG) telah dilantik sebagai Penggerak Program Pembangunan Kanak-Kanak di beberapa lokasi Al-Biruni, iaitu :
Al-Biruni Desa Mentari
Al-Biruni Tanjong Karang
Al-Biruni Pangsapuri Enggang, Puchong
Projek Al-Biruni diwujudkan sebagai pusat sehenti (hub) yang menyediakan ruang pembelajaran, bimbingan dan program pembangunan menyeluruh untuk kanak-kanak asnaf fakir/miskin bandar. Pusat-pusat ini dibangunkan melalui pengubahsuaian unit pangsapuri menjadi persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat. Ia turut melibatkan kerjasama strategik bersama rakan korporat sebagai usaha bersama membantu menangani isu kemiskinan kanak-kanak bandar secara bersepadu dan berkesan.
Penubuhan Projek Al-Biruni ini adalah selari dengan dapatan Laporan Kaji Selidik UNICEF (Februari 2018) berkaitan isu kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, yang mengenal pasti beberapa kawasan berisiko, termasuk Desa Mentari. Susulan dapatan tersebut, LZS tampil proaktif bagi memastikan kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak asnaf bandar terus terpelihara.
Secara keseluruhan, Al-Biruni LZS merupakan inisiatif berterusan Lembaga Zakat Selangor dalam memperkasa pendidikan, inovasi dan pembangunan modal insan, demi melahirkan generasi asnaf yang berdaya saing dan berpotensi untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.