CYBERJAYA, 18 Disember 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM36.5 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 85,336 pelajar asnaf di seluruh negeri Selangor, sebagai persediaan awal menghadapi sesi persekolahan baharu yang bermula Januari hadapan.
Bantuan ini disalurkan melalui 39,240 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf yang masing-masing menerima bantuan yuran persekolahan serta keperluan persekolahan bagi anak-anak tanggungan mengikut peringkat pendidikan.
Pendekatan ini memastikan setiap keluarga asnaf dapat membuat persiapan persekolahan secara menyeluruh, tanpa kekangan kewangan yang boleh menjejaskan kelangsungan pendidikan anak-anak.
Agihan tertinggi bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2026 direkodkan di Petaling, Klang dan Hulu Langat, sejajar dengan kepadatan penduduk dan jumlah keluarga asnaf di daerah berkenaan. Petaling mencatatkan penerima tertinggi melibatkan 7,754 ketua keluarga, diikuti Klang seramai 6,773 ketua keluarga, manakala Hulu Langat melibatkan 6,169 ketua keluarga asnaf.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ahli Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang dalam satu majlis yang diadakan di sini pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidir Shahari, berkata bantuan pendidikan terus menjadi antara fokus utama agihan zakat kerana
pendidikan merupakan medium paling berkesan untuk memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi.
“Bantuan ini bukan sekadar meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan anak-anak asnaf terus berada dalam sistem pendidikan dan mempunyai peluang membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Bagi sesi persekolahan 2026 ini, setiap ketua keluarga asnaf menerima bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250 mengikut peringkat pendidikan tanggungan, selain bantuan keperluan persekolahan bagi setiap pelajar. Bantuan tambahan berjumlah RM100.00 akan disalurkan kepada semua pelajar bagi menampung keperluan persekolahan lain.
Pemberian bantuan ini disalurkan melalui beberapa kaedah bayaran termasuk kredit ke akaun bank ketua keluarga, e-dompet, baucer tunai dan tunai.
Sementara itu, bantuan kelengkapan persekolahan melibatkan kadar RM170 bagi pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan, RM150 bagi Sekolah Rendah Agama dan RM200 bagi pelajar sekolah menengah. Setiap pelajar diwajibkan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya untuk membeli keperluan yang lain berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan.
Penebusan bantuan kelengkapan persekolahan itu boleh dibuat bermula 20 Disember 2025 hingga 20 Mac 2026 secara e-dompet menerusi aplikasi Nine di 94 outlet dan pasar raya terpilih di seluruh Selangor, termasuk Pusat Pakaian Hari-Hari, Pasaraya Borong Sakan, Pasaraya MM, Rakan Niaga Canggih dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS).
Hadir sama Orang Besar Daerah Sepang, Tengku Dato’ Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj.





