Persoalan
Adakah duit zakat boleh digunakan untuk membayar makanan anjing?
Maklum Balas Dari Sekreteriat Dalaman Syariah
Hukum Membela Anjing Menurut Syarak
Hukum memelihara anjing tanpa sebab yang diharuskan oleh Syarak adalah haram mengikut kesepakatan fuqaha, bahkan ia boleh mengurangkan pahala ibadah seseorang. Nabi SAW bersabda dalam hal ini:
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ وَلَا أرْضٍ، فَإنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan atau penjaga kebun,
maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua (2) qirath pada setiap hari.” (Riwayat Muslim)
Hadis di atas jelas menyatakan hukum menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan adalah diharamkan kerana ia tidak dianggap sebagai tujuan yang diharuskan di sisi syarak. Selain itu, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa pahala orang tersebut akan berkurang setiap hari selagi mana dia memelihara anjing.
Penggunaan anjing hanya diharuskan untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti untuk tujuan keselamatan dan menjaga tanaman. Perkara ini dinyatakan oleh al-Nawawi:
اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ إِلَّا لِحَاجَةٍ: كَالصَّيْدِ وَالْحِرَاسَةِ، وَغَيْرِهِمَا مِنْ وُجُوهِ الاِنْتِفَاعِ الَّتِي لَمْ يَنْهَ الشَّارِعُ عَنْهَا
Maksudnya: Fuqaha telah bersepakat bahawa tidak harus memelihara anjing kecuali untuk keperluan tertentu seperti perburuan, keselamatan dan manfaat lain yang tidak melanggar syariat.
Berdasarkan taudhih al-hukmi yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, memelihara anjing diharuskan untuk keperluan yang dibenarkan syarak dengan syarat-syarat tertentu. Dalam konteks semasa ia boleh digunakan untuk empat (4) tujuan utama seperti berikut:
a) Anjing digunakan sebagai pemburu
b) Anjing digunakan untuk membantu menjaga tanaman atau haiwan ternakan
c) Anjing digunakan untuk kepolisan dan penyiasatan
d) Anjing digunakan untuk keselamatan
Kesimpulannya, syarak meletakkan tujuan pemeliharaan anjing hanya untuk keperluan sejagat dan tujuan tujuan muktabar di sisi syarak sahaja, bukan sekadar untuk hobi atau suka-suka. Bahkan terdapat syarat syarat yang mesti dipenuhi seperti anjing tersebut bukanlah anjing ganas (kalbun aqar), mestilah anjing yang boleh dilatih untuk tujuan yang dikehendaki serta anjing yang tangkas dan tidak jinak.
Oleh yang demikian, menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan atau untuk tujuan selain di atas adalah diharamkan berdasarkan kesepakatan fuqaha.
Bahkan fatwa negeri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa:
Penggunaan anjing sebagai kaedah terapi bagi pesakit mental seperti Kecelaruan Bipolar tidak diharuskan dalam Islam. Ini kerana hukum syarak melarang penggunaan perkara haram sebagai rawatan kecuali dalam keadaan darurat yang benar-benar diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Dalam konteks ini, rawatan penyakit mental masih boleh dijalankan melalui kaedah yang diiktiraf seperti pengambilan ubat-ubatan psikiatri dan sesi kaunseling.
Berdasarkan kaedah fiqh:
الغاية لا تبرر الوسيلة
Maksudnya: Matlamat tidak menghalalkan cara.
Matlamat untuk berubat tidak menghalalkan cara yang dilarang oleh syarak. Tambahan pula, pemeliharaan anjing tanpa keperluan yang
sah boleh mendatangkan kemudaratan kepada pesakit dari aspek rohani, kebersihan, dan kesihatan mental itu sendiri.
Oleh itu, menjadikan anjing sebagai terapi kesihatan mental adalah tidak diharuskan, kerana tidak dibenarkan berubat dengan perkara yang haram kecuali dalam keadaan darurat bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Dalam hal ini, tiada bukti saintifik atau pengesahan dari pakar psikiatri yang menunjukkan bahawa terapi menggunakan anjing mampu menyelamatkan nyawa pesakit. Kecenderungan atau hobi pesakit yang memelihara anjing untuk mengurangkan tekanan tidak termasuk dalam kategori darurat yang boleh mengharuskan perbuatan tersebut.
Berdasarkan justifikasi dan hujah di atas, DSD berpandangan seperti berikut:
a) Hukum menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan adalah diharamkan berdasarkan pandangan Mazhab Syafii dan mazhab-mazhab yang lain.
b) Zakat adalah ibadah. Oleh itu, duit zakat tidak boleh disalurkan kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.
c) Pihak LZS perlu menasihati asnaf berkenaan untuk meninggalkan perbuatan tersebut kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan, dan boleh mengundang fitnah kepada LZS dan umat Islam di Selangor.
d) Sekiranya asnaf tersebut enggan maka pihak LZS boleh mengambil tindakan kepada asnaf berkenaan berdasarkan pertimbangan dan keperluan munasabah.