SHAH ALAM, 12 Mac 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas peluang serta akses pendidikan berkualiti kepada pelajar asnaf di Selangor.
Pertukaran dokumen MoU tersebut disempurnakan secara simbolik sempena Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2026 (IMTIYAZ) yang berlangsung di sini hari ini.
Inisiatif selama lima tahun ini merangkumi beberapa bidang kerjasama utama termasuk membantu persediaan pelajar asnaf cemerlang memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), penyediaan kelas tambahan bagi subjek kritikal serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari dalam bidang teknikal dan profesional.
Berdasarkan rekod tiga tahun kebelakangan ini, secara purata 23 pelajar asnaf setiap tahun berjaya mendapat tempat di MRSM di bawah tajaan Zakat Selangor, dengan 129 pelajar sedang ditaja sehingga tahun ini. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak menyasarkan pertambahan bilangan pelajar daripada keluarga asnaf yang berjaya ditempatkan di MRSM di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari, berkata inisiatif tersebut turut merangkumi pelaksanaan latihan kemahiran serta program keusahawanan kepada ibu bapa asnaf bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Menurut beliau, kerjasama itu juga melibatkan pengenalpastian calon asnaf yang layak menyertai program pendidikan serta penyediaan bantuan kewangan termasuk yuran pengajian dan elaun sara hidup.
Beliau berkata, MARA mempunyai kekuatan dan kepakaran yang luas dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka peluang kepada anak-anak asnaf meneroka laluan pendidikan berasaskan kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan simbolik penyerahan bantuan pendidikan kepada dua pelajar asnaf iaitu Nur Syakirah Muhamad Zakhir yang menerima bantuan berjumlah RM19,222, serta Ariani Syaqirin Shahriman yang menerima bantuan sebanyak RM8,460 bagi menyokong kelangsungan pengajian mereka.
Pada majlis yang sama, 38 syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM8.22 juta kepada Zakat Selangor.
Antara syarikat yang menunaikan zakat perniagaan ialah Pelaburan Hartanah Berhad sebanyak RM1.5 juta, diikuti Little Caliphs International Sdn Bhd (RM948,040), Alliance Islamic Bank Berhad (RM600,000), Lembaga Urus Air Selangor (RM464,000), Solar Gas Sdn Bhd (RM300,000), Kenanga Investment Malaysia Berhad (RM288,782) serta KPJ Selangor Specialist Hospital (RM250,000).
Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Telekom Malaysia Berhad (RM230,536), manakala Skyhill Clinic Sdn Bhd dan Kajang Specialist Hospital Sdn Bhd masing-masing menunaikan zakat sebanyak RM200,000.
Selain itu, Zakat Selangor turut menyampaikan bantuan agihan zakat berjumlah RM221,320. Daripada jumlah tersebut, RM80,000 disalurkan bagi bantuan baik pulih surau kariah dan RM50,000 bagi bantuan baik pulih surau sekolah. Bantuan perubatan dialisis pula berjumlah RM15,600, bantuan modal keusahawanan RM26,600 serta dermasiswa pengajian IPT sebanyak RM49,120.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Siti Aminah Abdul Kadir.






