Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, biasiswa adalah wang yang diberikan kepada pelajar untuk membiayai atau membantu membiayai pelajarannya.
Biasiswa/elaun yang diterima oleh seseorang pelajar tidak termasuk dalam kategori harta pendapatan (al-Mal al-Mustafad) sekiranya amaun yang diterima hanya sekadar mencukupi untuk menampung kos yuran pengajian dan keperluan asasi hidup pelajar tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar menerima biasiswa/elaun yang melebihi keperluan kos pengajian dan keperluan hidup dirinya, lebihan tersebut dianggap sebagai harta pendapatan. Lebihan tersebut hendaklah ditaksir bersama dengan segala kategori harta pendapatan lain yang dimiliki dan diwajibkan zakat jika melebihi nisab.
Berdasarkan Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor 2017 (Pindaan 2023), harta berasaskan nisab 85 gram emas (emas bukan perhiasan, wang simpanan dan pelaburan) hendaklah digabungkan untuk menentukan kecukupan nisab.9
Sekiranya pelajar menyimpan wang biasiswa/elaun yang diterima dan mencapai haul setahun, wang biasaiswa/elaun tersebut telah bertukar menjadi aset simpanan. Ianya wajib ditunaikan zakat di bawah Zakat Simpanan dengan ditaksir bersama aset simpanan lain seperti emas bukan perhiasan, pelaburan, simpanan takaful dan seumpamanya.