Pandangan Sekretariat Dalaman Syariah
Berdasarkan Fatwa Sistem Pengurusan Agihan Zakat Negeri Selangor 2013, fisabilillah ialah perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah.10
Antara objektif agihan zakat bagi asnaf fisabilillah adalah membantu usaha mengukuhkan pendidikan, kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program kelas tahfiz di penjara untuk banduan yang terpilih adalah salah satu usaha untuk memartabatkan al-Quran seterusnya mendekatkan umat Islam kepada wahyu Allah yang penuh dengan Syariat, pengajaran, penawar, rahmat serta pelindung daripada kesesatan. Ia secara tidak langsung membantu usaha dakwah dan tarbiah yang memberi maslahah yang besar kepada masyarakat Islam. Usaha ini bertepatan dengan takrifan fisabilillah yang telah dinyatakan. Justeru, DSD berpandangan penganjuran program tahfiz di penjara harus dibantu menggunakan dana zakat iaitu melibatkan kos seperti elaun guru pembimbing tahfiz, imbuhan kehadiran pelajar dan kos-kos peralatan kelas yang berkaitan.
Kesimpulannya, penggunaan dana zakat bagi penganjuran program tahfiz di penjara adalah diharuskan kerana program ini adalah salah satu usaha dakwah dan menepati takrifan dan kriteria asnaf fisabilillah.