Berita Terkini LZS

Maklum Balas Zakat Selangor: Pembayaran Zakat Melalui Platform ZPay

SHAH ALAM, 6 Mac 2026 — Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mengambil maklum perbincangan di ruang awam berhubung dakwaan pelantikan syarikat milik bukan Islam sebagai ejen kutipan zakat menerusi platform digital ZPay.

Zakat Selangor memahami keprihatinan masyarakat dalam perkara berkaitan zakat dan menghargai perhatian yang diberikan terhadap tadbir urus institusi ini. Sehubungan itu, penjelasan berikut dikemukakan bagi memastikan maklumat yang tepat dapat difahami dengan jelas oleh semua pihak.

Untuk makluman, ZPay merupakan aplikasi rasmi milik Zakat Selangor yang dibangunkan sebagai platform saluran pembayaran zakat tanpa tunai bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab dengan lebih pantas, selamat dan teratur. Kemudahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Zakat Selangor memperkukuh sistem kutipan yang lebih cekap, telus dan mesra pembayar.

Bagi membangunkan dan mengendalikan kemudahan digital ini, Zakat Selangor melantik penyedia teknologi berdasarkan kepakaran teknikal serta keperluan keselamatan sistem.

ATX Distribution Sdn Bhd berperanan sebagai syarikat yang dilantik bagi membangunkan sistem serta menyelenggara aplikasi ZPay. Pihak GKash pula merupakan gerbang pembayaran (payment gateway) yang diintegrasikan oleh pihak ATX bagi tujuan pemprosesan transaksi digital secara masa-nyata (real-time authorization). GKash berfungsi sebagai infrastruktur teknikal yang menghubungkan institusi perbankan pembayar dengan sistem ZPay dan ia tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak lantikan sebagai ejen kutipan dengan Zakat Selangor.  

Tanggungjawab kutipan dan agihan zakat dilaksanakan sepenuhnya oleh Zakat Selangor bersama Penolong Amil individu yang ditauliahkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Bagi memastikan transaksi berjalan lancar dan teratur, bayaran zakat diurus melalui akaun khusus patuh syariah yang dikawal selia mengikut perjanjian serta prosedur kewangan Zakat Selangor. Kaedah ini memastikan pemprosesan transaksi yang cekap serta pengasingan agihan upah Penolong Amil dibuat secara segera tanpa menjejaskan integriti dana zakat.

Sebarang caj pemprosesan transaksi serta bayaran kepada penyedia saluran pembayaran adalah berdasarkan kos perkhidmatan sistem yang diperuntukkan di bawah pengurusan amil. Jumlah zakat yang dibayar oleh pembayar kekal sepenuhnya sebagai dana zakat dan tidak melibatkan sebarang potongan komisen.

Dari sudut hukum syarak, penggunaan kemudahan transaksi kewangan yang disediakan oleh penyedia saluran pembayaran, termasuk syarikat bukan Islam, adalah diharuskan selaras dengan prinsip fiqh muamalat di bawah konsep Ijarah (sewaan perkhidmatan). Kaedah ini tidak menjejaskan niat pembayar, tidak menggugat kesempurnaan akad zakat serta tidak menjejaskan kesahan ibadah zakat yang ditunaikan.

Pendirian ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2019 bertarikh 30 Oktober 2019 yang memutuskan bahawa pembayaran zakat melalui saluran pembayaran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah harus menurut hukum syarak.

Pelaksanaan kemudahan pembayaran digital oleh Zakat Selangor sentiasa melalui penelitian syariah serta pematuhan kepada ketetapan hukum yang berkuat kuasa. Setiap inovasi perkhidmatan dilaksanakan dalam kerangka hukum syarak serta tadbir urus syariah yang ketat.

Zakat Selangor kekal komited dalam memastikan setiap urusan kutipan dan agihan zakat dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan oleh MAIS. Setiap sen zakat yang ditunaikan adalah amanah yang diuruskan dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan asnaf dan kemaslahatan ummah.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor