Terdapat kekeliruan berkaitan isu pembayaran zakat kepada keturunan Syed dan Syarifah. Hal ini kerana terdapat pihak yang mendakwa bahawa mereka adalah keturunan Rasulullah SAW yang tidak boleh menerima zakat.
Bagi menjawab isu tersebut, perlu dilihat dalil yang menjadi sandaran kepada haramnya zakat diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh keturunannya.
Sabda baginda SAW:
إن الصدقة لا تنبغي لال محمد
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah tidak patut diberikan kepada keluarga (Nabi) Muhammad.
(Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Qaradawi, dalil ini tidak bersifat qat’I atau jelas maksudnya kerana kalimah Ali Muhammad sama juga seperti kalimah Ali Ibrahim dan Ali ‘Imran sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah al-‘Imran ayat 33:
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga keluarga nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
Ayat di atas menunjukkan bahawa dua istilah tersebut tidak dimaksudkan berkekalan sehingga hari kiamat tetapi hanya dimaksudkan pada zaman tertentu sahaja. Oleh itu kalimah Ali Muhammad juga sama seperti maksud istilah-istilah yang dinyatakan di atas. Ini bermakna hukum pengharaman zakat ke atas keluarga Nabi Muhammad hanya terbatas ketika baginda saw masih hidup sahaja.
Pandangan yang paling sahih dikalangan jumhur fuqaha’ dalam mazhab Syafi’e berpegang kepada pendapat yang mengharamkan pemberian zakat kepada keturunan Rasulullah, tetapi terdapat pendapat dalam mazhab Syafi’e yang membenarkan pemberian zakat wajar juga diterima pada masa kini. Ini memandangkan dari segi realitinya agak sukar untuk menentukan sama ada orang tersebut benar-benar keturunan Rasulullah atau sebaliknya. Ini juga dibimbangi akan menyebabkan golongan yang sepatutnya layak untuk diberikan bantuan zakat, akan ternafi haknya hanya kerana awalan namanya dimulai dengan gelaran “Syed” dan “Syarifah”. Realiti semasa perlu diambil kira dalam menyelesaikan masalah ini agar hak seseorang itu tidak dinafikan.
Jumhur fuqaha berpendapat, ahli keluarga Rasulullah SAW yang dianggap sebagai Ahlul Bait hanyalah mereka yang berasal dari nasab keturunan Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib sahaja. Selain daripada keturunan tersebut, tidak termasuk dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah SAW.
Para fuqaha berbeza pendapat tentang hukum mengagihkan zakat kepada ahli keluarga Rasulullah SAW.
Jumhur fuqaha menyatakan bahawa zakat tidak harus diagihkan kepada ahli keluarga Rasulullah SAW kerana terdapat dalil-dalil yang melarang pemberian zakat kepada ahli keluarga Rasulullah SAW. Pengharaman tersebut juga disebabkan kerana ahli keluarga Rasulullah SAW telah menerima bahagian daripada al-Khumus (1/5 daripada jumlah hasil rampasan perang).
Walau bagaimanapun, sebahagian fuqaha termasuk sebahagian Syafiiyah berpendapat, zakat harus diagihkan kepada ahli keluarga Rasulullah SAW jika sumber al-Khumus tidak lagi wujud. Mereka menyatakan, zakat diharamkan kepada ahli keluarga Rasulullah SAW kerana mereka telah diperuntukkan bahagian al-Khumus daripada Baitulmal. Namun jika mereka terhalang daripada menerima al-Khumus, maka zakat boleh diberikan kepada mereka kerana ia adalah suatu keperluan.
Oleh itu, golongan syarif atau syarifah yang bukan daripada nasab Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib harus diberikan zakat kerana mereka bukan dari kalangan nasab ahli keluarga yang diharamkan daripada menerima zakat.
Manakala golongan syarif dan syarifah daripada nasab Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib, mereka diharuskan menerima zakat disebabkan tiada lagi peruntukan al-Khumus untuk mereka daripada Baitulmal pada zaman ini.