Berita Terkini LZS

DYTM Raja Muda Selangor Terima Bayaran Zakat Perniagaan Hampir RM9.84 Juta

CYBERJAYA, 4 Mac 2026 — Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini berangkat mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Majlis Ihya Ramadan DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, bagi menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah hampir RM9.84 juta daripada enam syarikat korporat.
 
Pintas Utama Sdn Bhd muncul sebagai penyumbang terbesar dengan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM3 juta, diikuti Malaysia Airports Holdings Berhad yang menunaikan zakat berjumlah RM2.4 juta.
 
Turut melaksanakan tanggungjawab zakat perniagaan ialah Universiti MAHSA sebanyak RM1.32 juta, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjumlah RM1.12 juta, serta Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Lembaga Jurukur Tanah yang masing-masing menunaikan zakat sebanyak RM1 juta.
 
Penyerahan zakat tersebut mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong institusi zakat negeri serta memperkukuh usaha kebajikan kepada golongan memerlukan.
 
Dalam majlis sama, DYTM Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 537 asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM250,500.00. Setiap seorang menerima sumbangan zakat berjumlah RM500.
 
Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Salehuddin Saidi dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari.
 

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor