SHAH ALAM, 16 Disember 2025 – Sebanyak 56 syarikat tampil menunaikan tanggungjawab berzakat dengan jumlah keseluruhan RM22.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025, sekali gus mencerminkan komitmen sektor korporat dalam mengembalikan hak asnaf menjelang penghujung tahun.
Dherbs Holdings Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat dengan bayaran zakat perniagaan tertinggi sebanyak RM2,000,000. Ia diikuti oleh Open University Malaysia (RM1,512,614), Afed Holdings (RM1,465,000), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (RM1,172,000) dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. (RM1,093,836).
Turut menunaikan zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM1,000,000 ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd, Lembaga Jurukur Tanah dan Wawa Global Sdn Bhd.
Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM346,238 kepada golongan asnaf, merangkumi bantuan perumahan, perniagaan dan perubatan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM252,000 disalurkan bagi Bantuan Bina Rumah kepada Azwan Mohd Yop dan Zurinah Panut@Shamsuddin. Manakala sebanyak RM34,238 disalurkan bagi Bantuan Perniagaan yang diterima oleh Noraida Ahmad Tarmizi dan Shyrol Ramli. Turut menerima bantuan adalah Noor Hasima Abd Aziz yang disantuni dengan Bantuan Perubatan berjumlah RM60,000.
Sementara itu, LZS turut menyerahkan Wakalah Kerajaan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) selaku majikan yang
melaksanakan potongan zakat melalui skim Ansuran Zakat Bulanan (AZB), sekali gus membolehkan sebahagian zakatnya diagihkan kepada warga kerja HTAR yang memerlukan dan memenuhi syarat kelayakan.
Sepanjang tempoh 2024, warga HTAR telah menunaikan zakat berjumlah RM671,369.36 melalui skim AZB melibatkan 700 orang kakitangan, dengan RM83,921.17 dimanfaatkan sebagai wakalah bagi membantu warga kerja HTAR yang layak. Tanggungjawab ini mencerminkan kesedaran dan keprihatinan warga HTAR yang memahami bahawa zakat bukan sahaja satu kewajipan, malah satu amanah untuk memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.





