SHAH ALAM, 29 Januari 2026 – Seramai 2,483 Ketua dan Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor mengikuti Bengkel Gerak Kerja Pengurusan Fitrah anjuran Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) sebagai persediaan menghadapi Ramadan 2026.
Bengkel yang berlangsung dari 24 Januari hingga 11 Februari itu melibatkan PAF yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di negeri ini, dengan sesi taklimat diadakan mengikut daerah masing-masing.
Pada Ramadan tahun ini, PAF di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak akan melaksanakan kutipan zakat fitrah sepenuhnya menerusi sistem aplikasi digital.
Sistem tersebut merangkumi penggunaan aplikasi mudah alih dan ZPay bagi pembayaran tanpa tunai dengan pengeluaran e-resit sebagai bukti bayaran.
Manakala di empat daerah lain iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat, PAF masih menggunakan buku kupon fitrah di samping aplikasi mudah alih bagi urusan kutipan zakat fitrah.
Bengkel turut memberi penekanan kepada pemahaman hukum-hakam zakat fitrah serta aspek integriti bagi memastikan pengurusan dan kutipan zakat fitrah dilaksanakan secara sistematik dan telus sepanjang Ramadan.






