Kisah Impak

Keluar Mualaf: Syawal Tanpa Tempat Berlindung

Satu panggilan kecemasan diterima di cawangan Lembaga Zakat Selangor apabila sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil hadir dengan membawa hanya beberapa beg. Mereka baharu sahaja diusir keluar dari rumah keluarga.

Maklumat segera disalurkan kepada Skuad Saidina Umar (SSU) yang terus mengambil tindakan pantas untuk menyelidik keadaan sebenar. Rupa-rupanya, keluarga kecil ini ialah saudara baharu yang memeluk Islam pada tahun lalu.

Malangnya sejak sebulan lalu, si suami terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan serius, iaitu patah kaki dan tulang pinggang sehingga kini tidak lagi mampu bekerja.

Keadaan bertambah rumit apabila berlaku salah faham dengan ahli keluarga yang masih bukan Islam. Ketidakupayaan beliau untuk bekerja dan menyara keluarga dianggap sebagai beban, hingga akhirnya mereka diminta keluar dari rumah.

Dengan kesihatan yang masih lemah dan tiada tempat untuk dituju, mereka nekad datang ke cawangan LZS dalam keadaan bingung, takut dan hilang arah.

Melihat keadaan yang begitu mendesak, LZS segera menguruskan penempatan buat sementara waktu bagi memastikan keluarga ini tidak terus tinggal tanpa perlindungan, sambil menunggu proses kemasukan ke rumah sewa baharu yang sedang diusahakan.

Di sebalik kemeriahan Ramadan yang hampir ke penghujungnya, masih ramai yang sedang bergelut dengan ujian berat. Namun, di sinilah zakat memainkan peranannya sebagai pelindung dan penyambung harapan.

LZS akan terus berdiri di sisi mereka yang terpinggir dan diuji kerana setiap insan berhak merasai erti kasih sayang terutamanya di bulan yang mulia ini.

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2025 Lembaga Zakat Selangor