Berita Terkini LZS

Sultan Selangor Berkenan Terima Zakat Perniagaan & Pendapatan RM64.97 Juta

KLANG, 2 September 2025 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM64,974,554.60 daripada 13 syarikat korporat dan seorang individu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu upacara di Istana Alam Shah, Klang.

Lembaga Tabung Haji (TH) diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai
Eksekutif, Mustakim Mohamad, mendahului senarai syarikat pembayar zakat dengan
menyerahkan RM28.01 juta, menjadikannya penyumbang korporat terbesar kepada LZS tahun ini.

Ini diikuti oleh Cyberview Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul Ariffin
menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM5.43 juta dan Tenaga Nasional Berhad berjumlah RM4.57 juta yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Solusi Perniagaan Global, Datuk Ir. Azmi Md Yusof.

Manakala Kumpulan Gas Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.50 juta dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad mewakilkan Pengerusinya, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.42 juta.

Turut menyerahkan zakat perniagaan dalam upacara tersebut ialah PLUS Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Airina Nik Jaffar menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM2.60 juta, Kumpulan Proton menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3.19 juta, diikuti Kumpulan DRB-HICOM dengan serahan zakat sebanyak RM2.45 juta. Penyerahan zakat bagi kedua-dua syarikat ini diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar.

Sementara itu, Northport (Malaysia) Berhad yang mewakilkan Pengarah, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.64 juta, diikuti oleh Maybank Islamic Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Malique Sidique menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1.60 juta dan Kumpulan Etiqa Takaful berjumlah RM1.50 juta yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Zafri Abdul Halim.

Dalam masa yang sama, turut menyerahkan zakat perniagaan Kumpulan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mewakilkan Pengurus Besar, Muhammad Faris Ariffin berjumlah RM1.0 juta dan Edgenta Infrastructure Services Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Raihana Ahmad turut menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1.0 juta.

Sementara itu, individu korporat, Datuk Kamarudin Meranun turut menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM5.07 juta.

Turut hadir dalam upacara ini ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin; Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.

Mohd Khaidzir berkata, sumbangan besar ini memberi impak langsung kepada lebih 350,000 penerima zakat di Selangor melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan sosioekonomi. “Kami amat menghargai komitmen syarikat korporat dan individu yang terus menjadikan LZS sebagai saluran utama pembayaran zakat. Sumbangan ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pembangunan asnaf, sekaligus menyokong kesejahteraan masyarakat Selangor,” katanya.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor