SHAH ALAM, 1 Julai 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Sumbangan Pendidikan Anak Muzakki Selangor (SIDDIK) fasa dua bermula 1 hingga 31 Julai 2025, sebagai penghargaan kepada para muzakki (pembayar zakat) yang telah menunaikan zakat harta pada tahun 2024.
SIDDIK merupakan inisiatif LZS bagi menyokong pendidikan anak-anak muzakki melalui sumbangan simpanan sebanyak RM100 seorang, diberikan sekali dalam tempoh setahun permohonan kepada anak berusia 7 hingga 17 tahun yang menuntut di institusi pendidikan yang diiktiraf dalam negara.
Ia bukan sahaja bertujuan menyokong keperluan pendidikan anak-anak muzakki, malah menggalakkan perancangan kewangan berterusan dalam kalangan keluarga pembayar zakat.
Untuk makluman, SIDDIK fasa dua terbuka kepada muzakki yang telah menunaikan zakat harta berjumlah antara RM500 hingga RM5,000 dalam tempoh Oktober hingga Disember 2024. Hanya bayaran zakat harta diambil kira bagi kelayakan ini, manakala zakat fitrah tidak termasuk dalam pengiraan.
Permohonan boleh dibuat pada tahun berikutnya selepas pembayaran zakat disempurnakan. Oleh itu bagi zakat yang dibayar pada 2024, penyertaan hanya dibenarkan pada tahun 2025.
Proses permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web rasmi LZS di pautan www.zakatselangor.com.my/siddik.
Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.





