Utama Blog Halaman 9

MOHD SABIRIN DIUMUM CEO BAHARU LZS 

0

SHAH ALAM, 1 April 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan pelantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa 1 April 2022.  

Pelantikan Mohd Sabirin adalah bagi menggantikan Saipolyazan M. Yusof yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 24 Mac lalu.  

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)  dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini pernah berkhidmat di beberapa syarikat korporat sebelum menyertai LZS pada tahun 2008.  

Sepanjang tempoh 14 tahun di LZS, Mohd Sabirin memegang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Ketua Divisyen Kutipan dan jawatan terakhir sebelum ini adalah sebagai Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf. 

Selain itu, Mohd Sabirin juga merupakan Perancang Kewangan (RFP Syariah) yang berdaftar di bawah Malaysian Financial Planning Council (MFPC), Ahli Persatuan Percukaian Malaysia (MATA) dan mempunyai pentauliahan mengajar di Negeri Selangor (Khas) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).  

 Semoga dengan pelantikan ini akan meneruskan visi LZS untuk memperkasakan lagi pengurusan zakat di Negeri Selangor.

LZS REKODKAN PRESTASI POSITIF KUTIPAN DAN AGIHAN 2021

0

SHAH ALAM, 31 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan prestasi positif menerusi peningkatan agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak RM922 juta diagihkan sementara RM993 juta dikutip.

Pengumuman prestasi ini dibentangkan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dalam satu sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut beliau, agihan zakat yang disalurkan kepada lapan golongan asnaf di Selangor meningkat sebanyak 6.3 peratus atau RM55 juta berbanding dengan RM867 juta yang diagihkan pada tahun sebelumnya (2020).

“Secara keseluruhan asnaf fakir dan miskin merupakan penerima peruntukan zakat tertinggi iaitu sebanyak RM515 juta atau 56% daripada jumlah keseluruhan zakat yang diagihkan. Sebanyak RM773 juta agihan zakat adalah menerusi program pembangunan sosial yang merupakan keutamaan LZS bagi memastikan keperluan asas asnaf dipenuhi berbanding RM720 juta jumlah yang diagihkan pada tahun 2020.”

Jumlah penerima dalam kalangan fakir, miskin dan mualaf turut meningkat pada tahun 2021 kepada 69,011 asnaf berbanding tahun sebelum itu iaitu sebanyak 64,616 asnaf.

Peningkatan jumlah asnaf ini susulan daripada kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan ketua keluarga.

Justeru itu, LZS telah melaksanakan pelbagai inisiatif khusus dan program agihan zakat yang komprehensif bagi membantu meringankan beban golongan asnaf di Selangor.

Dalam perkembangan sama, kutipan zakat pada tahun 2021 turut meningkat 8.8 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang dikutip pada 2020 dengan jumlah pengeluar zakat seramai 364,778 orang.

Tambah beliau, peningkatan kutipan zakat yang ketara pada tahun 2021 adalah mencerminkan komitmen, tanggungjawab dan keikhlasan umat Islam di Selangor menunaikan zakat demi memastikan keperluan asnaf dipenuhi dengan melaksanakan kewajipan mereka sebagai umat Islam.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang, ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda Al-Haj dan Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN MCDONALD’S MALAYSIA RM600 RIBU

0

KUALA LANGAT, 28 Mac 2022 –  Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada Mc Donald’s Malaysia berjumlah RM600 ribu dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Bayaran zakat perniagaan ini diserahkan oleh Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi kepada Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Selain daripada bayaran zakat perniagaan, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan sumbangan wakalah agihan kepada 50 buah keluarga terpilih dari daerah Kuala Langat yang terjejas akibat banjir pada penghujung tahun lepas. Setiap keluarga menerima sumbangan bernilai RM500 dalam bentuk wang tunai dan baucar.

Menurut Muhd Fikri, “LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat di luar sana seperti McDonald’s Malaysia demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor.  Apatah lagi jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang. Ini secara tidak langsung bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat seiring dengan pertambahan asnaf di Selangor.”

Hadir sama dalam majlis ini,  Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir.

ZAKAT FITRAH NEGERI SELANGOR RM7.00

0

SHAH ALAM, 28 Mac 2022 – Kadar Zakat Fitrah di Negeri Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan sebanyak RM7.00 seorang.

Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat melalui:

  • EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  • Aplikasi Zakat Selangor
  • Perbankan internet4
  • Portal MyEg dan Pos Online
  • Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Di samping itu, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini. Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan.

KENYATAAN OLEH,

MUHD FIKRI NAIM HARUN

KETUA DIVISYEN KUTIPAN,

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

 

LZS SUMBANG PEMBELIAN PERALATAN PENGUKURAN ARAH KIBLAT

0

SHAH ALAM, 11 Mac 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan bagi pembelian peralatan pengukuran arah kiblat Global Navigation Satellite System (GNSS) untuk Jabatan Mufti Negeri Selangor bernilai RM37,000 dalam satu majlis yang diadakan di sini.

GNSS merupakan alat pengukur berpandukan satelit dan Sistem Penentududukan Sejagat (Global Positioning System – GPS) yang mempunyai kelebihan melaksanakan kerja pengukuran ketika hujan, mendung dan waktu malam, berbanding peralatan semasa seperti Teodolit yang bergantung kepada cerapan matahari.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian inisiatif LZS dalam mengoptimakan penyaluran wang zakat dengan menyantuni institusi keagamaan dan memperkasakan ummah, selain pengagihan bantuan bagi memenuhi keperluan kebajikan asnaf.

Hadir sama dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

 

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN DAN ZAKAT PENDAPATAN RM26.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 24 Februari 2022 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada lapan syarikat korporat dan zakat pendapatan daripada lima orang pengeluar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM26,638,614.06 dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini.

Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Zuki Wan Abdullah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM3,910,489.00, diikuti oleh DRB-Hicom Berhad yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2,500,000.00 dan SIRIM Berhad berjumlah RM2,062,761.00 yang diserahkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajudin Ali.

Manakala Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang diwakili oleh Penolong Pengurus Besar Bahagian Konsesi dan Aktiviti Huluan, Mohammad Kasuma Mohd Said menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,731,056.92, diikuti Shell Malaysia Trading Sdn Bhd mewakilkan Pengarah Urusannya, Shairan Huzani Husain menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,405,274.45 dan diikuti Grand Teknik Bina Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Dato’ Ir Abdul Manap Hanafi menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1,372,435.39.

Seterusnya, Malaysia Airports Holdings Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood turut menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,330,000.00 dan QSR Brands (M) Holdings Bhd diwakili oleh Pemangku Ketua Jabatan Syariah, Hayazi Darus menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1,210,740.00.

Sementara itu lima individu turut menunaikan zakat pendapatan mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM11,115,857.30. Mereka terdiri daripada Datuk Kamarudin Meranun, Dato’ Dr. Mohd Nazri Khan Adam, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Dato’ Abdullah Abdul Mannan dan Dato Seri Mohamed Rafik Mohd Idris.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri oleh Pengerusi LZS,  Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

 

 

38 PELAJAR ORANG ASLI TERIMA MANFAAT KASIHKU ZAKAT SELANGOR

0

HULU LANGAT, 9 Februari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menyerahkan 38 buah telefon pintar kepada pelajar asnaf di perkampungan orang asli daerah Hulu Langat dalam satu program penyerahan Kasihku Zakat Selangor yang diadakan di sini.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula yang disalurkan kepada 38 pelajar asnaf di Kampung Orang Asli Dong Lai, Kampung Orang Asli Pangsun, Kampung Orang Asli Paya Lembar dan Kampung Orang Asli Gaba, melibatkan peruntukan wang zakat dari PTPTN berjumlah RM20,000.

Ia disalurkan bagi memudahkan pelajar asnaf ini mengikuti sesi persekolahan melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), di samping memudahkan mereka berkomunikasi dengan guru-guru sekolah.

Sumbangan ini juga adalah merupakan salah satu saluran dakwah bagi menarik minat mereka yang belum memeluk Islam di setiap perkampungan tersebut.  Melalui sumbangan tersebut diharapkan akan memberi manfaat kepada golongan ini dan dapat digunakan ke jalan kebaikan terutamanya dari segi pendidikan anak asnaf orang asli di perkampungan tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut, Pengurus Besar PTPTN Selangor, Rohaida Deris dan Ketua Jabatan Muzakki LZS, Khairul Azhan Ahmat.

LZS PERUNTUK RM7.5 JUTA BANTU MASJID, SURAU DAN SEKOLAH AGAMA TERJEJAS BANJIR

0
KUALA LANGAT, 28 Januari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di Selangor yang terjejas teruk akibat bencana banjir Disember lalu.
Melalui peruntukan pasca banjir itu, setiap masjid, surau dan sekolah agama menerima sumbangan zakat sehingga maksimum RM50,000 bagi menggantikan karpet, peralatan masjid, perabot sekolah dan buku teks yang musnah ekoran banjir.
Simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 76 buah masjid dan surau serta 34 sekolah agama yang mengalami kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan telah dikenal pasti.
Dalam majlis sama, LZS menyerahkan sumbangan perabot berupa kerusi dan meja murid kepada KAFA Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang serta sumbangan pembelian karpet yang disalurkan kepada Masjid Ar-Rahmah, Bukit Changgang.

Untuk makluman sejumlah RM37.17 juta dana zakat diperuntukkan membabitkan bantuan kecemasan dan bantuan pasca banjir.

LZS CAWANGAN SUBANG JAYA KINI BEROPERASI DI MASJID DARUL EHSAN

0

SUBANG JAYA, 11 Februari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Subang Jaya berpindah ke lokasi baharu bertempat di Masjid Darul Ehsan bermula 11 Februari 2022, berikutan penutupan cawangan Subang Jaya di  Wisma Dicor yang pada 4 Februari lalu. 

LZS cawangan Subang Jaya ini akan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pada jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang.  

Pembukaan cawangan ini bertepatan dengan hasrat LZS bagi memudahkan masyarakat terutama di kawasan sekitar berurusan dengan LZS, selain membangunkan fungsi kutipan dan agihan zakat dengan kerjasama masjid-masjid terpilih seiring dengan konsep melokalisasikan zakat. 

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah urusan perkhidmatan perundingan termasuk taksiran dan pembayaran zakat harta, zakat fitrah, fidyah, wakaf, sedekah, wang tidak patut syariah serta khidmat rundingan berkaitan agihan zakat. Selain daripada itu LZS cawangan Subang Jaya turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik dan debit. 

 Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS SEDIA BANTUAN PASCA BANJIR BANTU ASNAF FAKIR DAN MISKIN

0

SHAH ALAM, 6 Januari 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan pasca banjir bagi meringankan beban keluarga asnaf fakir dan miskin yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku di Selangor pada tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Bantuan baik pulih dan bina rumah ini adalah skim bantuan sedia ada kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor sepertimana dalam Garis Panduan Syarat Kelayakan Agihan Zakat.”

“Pada peringkat sekarang, pegawai teknikal LZS akan menilai kerosakan rumah asnaf sebelum bantuan dapat disalurkan dan proses baik pulih dapat dilaksanakan, bergantung kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.”

Dalam perkembangan sama, LZS menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Dana Wakaf al-Quran Selangor (Pasca Banjir) yang dilancarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam, bertujuan untuk menggantikan al-Quran yang rosak akibat banjir di masjid dan surau.

“Di samping itu, LZS juga sedang meneliti permohonan sumbangan dari pihak JAIS untuk proses pelupusan naskah al-Quran yang rosak,” katanya.

Selain bantuan pasca banjir, LZS telah meluluskan bantuan RM600 kepada 22,500 mangsa banjir di Selangor baru-baru ini.

Berita Terkini