Kisah Impak

Melangkah Yakin Selepas Hijrah

Perjalanan hidup dan pendidikan Soffiyah binti Muhammad bermula dengan pelbagai cabaran, khususnya selepas memeluk agama Islam. Pada ketika itu, beliau masih dalam proses menyesuaikan diri dengan cara hidup baharu sambil berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi keluarga dan peribadi. Dalam usaha mencari persekitaran yang lebih positif dan menyokong, beliau telah menyertai Baitus Salam, yang kemudiannya menjadi titik perubahan penting dalam kehidupannya.

Sepanjang kira-kira satu tahun lapan bulan berada di Baitus Salam, beliau memperoleh pelbagai pengalaman berharga yang membentuk diri bukan sahaja dari sudut kefahaman agama, malah dari aspek pembentukan sahsiah, disiplin dan kemahiran insaniah. Beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti memanah, memasak dan pengurusan acara, serta diberi kepercayaan untuk berperanan sebagai pengacara majlis (MC) bagi beberapa program. Pengalaman tersebut telah meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi secara signifikan. Selain itu, beliau turut mewakili institusi dalam Pertandingan Amal Islami Kebangsaan (Maharajan) bagi kategori kuiz dan berjaya memperoleh tempat keempat, sekali gus mengukuhkan keyakinan serta motivasi diri.

Selepas melalui fasa pembentukan diri tersebut, beliau meneruskan perjalanan akademik dengan melanjutkan pengajian dalam Diploma Psikologi di Universiti Selangor, yang menjadi permulaan terbaik dalam pendidikan tinggi. Kini, beliau berada di Semester Empat dan Alhamdulillah, telah mencatatkan pencapaian akademik yang cemerlang secara konsisten serta menerima Anugerah Dekan pada setiap semester.

Beliau amat menghargai sokongan, peluang serta kepercayaan yang diberikan oleh Zakat Selangor, yang telah membolehkan beliau melangkah ke hadapan dengan yakin sebagai seorang pelajar dan bakal graduan. Diharapkan perjalanan serta pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus cekal dan beriltizam dalam mencapai matlamat walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor