SHAH ALAM, 4 Oktober 2025 – Seramai 176 penolong amil dari seluruh negeri Selangor diraikan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Negeri Selangor 2024 yang diadakan di sini hari ini.
Mereka yang diraikan ialah ketua dan penolong amil kariah, padi dan fitrah yang dilantik LZS di sembilan daerah bagi menggerakkan kutipan dan agihan zakat di Selangor.
Seramai 176 penerima anugerah terdiri daripada lima kategori iaitu Ketua Penolong Amil Kariah, Penolong Amil Kariah, Ketua Penolong Amil Fitrah, Penolong Amil Fitrah dan Penolong Amil Padi telah terpilih.
Setiap penerima anugerah dipilih melalui Penilaian Prestasi Tahunan 2024 oleh LZS dan menerima wang tunai, sijil serta plak sebagai pengiktirafan atas dedikasi mereka dalam mengurus amanah zakat di peringkat komuniti.
Dalam ucapannya, Mohd Khaidzir menegaskan bahawa penolong amil adalah penggerak utama institusi zakat dan menjadi penghubung penting antara LZS dengan masyarakat.
“Dengan jumlah asnaf di Selangor yang kini mencecah hampir 80,000 ketua keluarga, komitmen penolong amil amat kritikal bagi memastikan kutipan zakat berjalan lancar dan agihan sampai kepada yang berhak,” katanya.
Seiring perkembangan teknologi, LZS turut memperkukuh peranan amil melalui pembangunan Portal Penolong Amil Kariah (PAK) bagi urusan siasatan asnaf secara atas talian serta aplikasi mudah alih zakat fitrah dan padi yang membolehkan pembayaran dibuat secara digital.
Kini, LZS mempunyai lebih 4,800 penolong amil berdaftar merangkumi kariah, fitrah dan padi di seluruh negeri. Jumlah ini mencerminkan komitmen berterusan LZS memperkukuh jaringan kebajikan dan mendekati masyarakat melalui penglibatan aktif penolong amil di lapangan.
“Penganugerahan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi pemangkin semangat buat semua penolong amil untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan ummah,” tambah Mohd Khaidzir.
Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Azlan Jaafar. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.








