Berita Terkini LZS

LZS DAN KKM BIMBING PENERIMA BANTUAN UBAH CARA MAKAN DEMI KESIHATAN JANGKA PANJANG

PUCHONG, 8 November 2025 – Lebih 200 penerima Bantuan Perubatan dan Dialisis Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyertai Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, yang memberi tumpuan kepada pendidikan pemakanan sihat dalam kalangan asnaf bagi mencegah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan obesiti.

Program ini merupakan anjuran LZS dengan kerjasama Jabatan Dietetik dan Sajian Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jawatankuasa Masjid As-Salam Puchong Perdana, bersempena Sambutan Hari Dietitian Peringkat Negeri Selangor bertemakan “Dietitians Combat Disease-Related Malnutrition: Addressing Malnutrition in All Forms.”

Ia merupakan sebahagian strategi baharu LZS untuk memperkukuh bantuan kesihatan melalui pendekatan pendidikan. Pendekatan berasaskan pencegahan kini menjadi tumpuan utama seiring komitmen LZS untuk memastikan asnaf bukan sekadar dibantu dari segi kewangan, tetapi turut dibimbing untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan produktif.

Sepanjang program, peserta diberi pendedahan tentang cara merancang hidangan sihat dengan kos berpatutan melalui ceramah “Makan Bijak, Elak Malnutrisi” dan demonstrasi masakan bertemakan “Jom Masak!”. Antara menu yang diperkenalkan ialah Lempeng Padu, Tak Sekadar Telur Dadar, Segelas Jus Segunung Khasiat dan Nasi Goreng Kerabu yang merupakan resipi mudah, berkhasiat dan sesuai untuk pesakit kronik.

Turut diadakan tujuh pameran interaktif meliputi penilaian status pemakanan, kaunter pengesahan dietetik, pameran Perangi Gula dan Lemak – Kawan atau Lawan, serta booth Medical Food Formula yang

membolehkan peserta mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai dietetik hospital seluruh Selangor.

Kaunter khas turut disediakan bagi proses bancian asnaf dan pembaharuan permohonan bantuan susu khas perubatan, bagi memastikan setiap penerima bantuan mendapat sokongan nutrisi yang sesuai dengan keperluan penyakit mereka.

Dalam majlis sama, LZS menyerahkan simbolik bantuan perubatan berjumlah RM114.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Turut diadakan penyerahan bantuan perubatan kepada dua penerima bantuan perubatan LZS, Hamimah Mohamed Nor (RM41,544) dan Norlihaslida Osman (RM14,400).

Untuk makluman kerjasama strategik antara LZS dan Jabatan Dietetik serta Sajian Selangor di bawah KKM telah dimulakan sejak 2023, apabila pengesahan pegawai dietetik dijadikan sebahagian daripada syarat permohonan Medical Food Formula bagi penerima bantuan perubatan LZS.

Melalui kerjasama ini, proses kelulusan bantuan menjadi lebih tepat dan berpaksikan keperluan klinikal, sekali gus memastikan setiap asnaf menerima jenis dan jumlah makanan perubatan yang bersesuaian dengan diagnosis penyakit mereka.

Hadir sama, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusof.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor