SHAH ALAM, 21 Julai – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Negeri Selangor bagi membincangkan perluasan pelaksanaan Ansuran Zakat Bulanan (AZB) dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.
Kunjungan tersebut diketuai Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari dan disambut Pengarah JANM Selangor, Shahnaz Abd Salam di pejabat jabatan berkenaan di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam aspek digitalisasi dan integrasi sistem antara kedua-dua agensi. Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan kutipan zakat serta memudahkan proses pembayaran zakat secara dalam talian, khususnya bagi kakitangan kerajaan.
Usaha bersepadu itu selaras dengan matlamat memperkasa sistem penyampaian zakat dan menyokong agenda pembangunan ekonomi ummah secara menyeluruh.
LZS turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan JANM Selangor dan yakin kerjasama ini dapat memperkukuh pengurusan zakat serta memberi impak positif kepada golongan asnaf di negeri ini.





