SHAH ALAM, 21 Julai 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa institusi zakat apabila menyertai Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KZK) 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Julai lalu anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Program yang memasuki edisi ke-9 ini menjadi platform tahunan penting yang menyatukan JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan agensi pengurusan zakat seluruh negara dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dan perkongsian pengalaman.
Konvoi ini melibatkan seramai 200 peserta dan 60 kenderaan, menzahirkan permuafakatan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan institusi zakat di Malaysia.
Tahun ini, MAINJ selaku tuan rumah membawa lebih 200 peserta daripada pelbagai agensi melibatkan 60 kenderaan menjelajah ke dua daerah utama melibatkan Pontian dan Batu Pahat untuk menyantuni asnaf menerusi pelbagai program kebajikan dan pembangunan.
Dalam usaha menyokong program ini, LZS turut memberi sumbangan sebanyak RM6,000 untuk sub-program pembangunan projek kekal sempena KZK 2025.
Melalui kerjasama strategik ini, KZK 2025 membawa mesej jelas kepada masyarakat bahawa zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi satu amanah bersama dalam pembangunan ummah di negeri Selangor dan seluruh negara.