Berita Terkini LZS

Karnival Zakat Selangor 2025 Dirasmikan, LZS Lancar Kempen Impak Dirasa

SHAH ALAM, 29 November 2025 – Karnival Zakat Selangor 2025 mencapai kemuncaknya hari ini dengan perasmian oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Uda, yang turut melancarkan Kempen Impak Dirasa, inisiatif hujung tahun LZS bagi menggalakkan umat Islam menunaikan zakat sebelum berakhirnya 2025. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa itu menjadi acara utama karnival tiga hari yang bermula sejak 27 November, dengan pembabitan lebih 150 pempamer daripada agensi kerajaan, swasta dan usahawan tempatan. Acara perasmian turut diserikan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta Zakat Selangor Run.  

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, berkata pelancaran kempen Impak Dirasa menonjolkan bahawa kebaikan zakat bukan sekadar dilihat, tetapi turut dirasai oleh asnaf, komuniti dan pembayar zakat. Menurutnya, kempen ini digerakkan bagi mengajak dan menyedarkan masyarakat agar menunaikan zakat pada waktunya, terutamanya menjelang penutup tahun.  

Beliau berkata LZS kini menyantuni lebih 75,000 keluarga asnaf fakir dan miskin melalui pelbagai bentuk bantuan merangkumi keperluan asasi, pendidikan, perubatan, kebajikan dan pemerkasaan ekonomi. “Komitmen masyarakat dalam menunaikan zakat menjadi kesinambungan kehidupan keluarga asnaf di Selangor,” katanya.  

Kempen Impak Dirasa, yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025, mengetengahkan mesej 

“Sentiasa Bersama, Sentiasa Menjaga” sebagai simbol sokongan berterusan LZS kepada asnaf dan muzakki, di samping memudahkan masyarakat menunaikan zakat melalui platform digital, perkhidmatan di cawangan dan program komuniti. 

Serentak dengan pelancaran Impak Dirasa, LZS turut mengaktifkan Kempen Khas “Rezeki Dikongsi – Impak Dirasa” bermula 27 November hingga 31 Disember 2025. Pembayar yang menunaikan zakat dalam tempoh ini berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk pakej Umrah, motosikal Honda RS-X Winner, motosikal Wave Alpha dan baucar membeli-belah melalui cabutan khas hujung tahun. 

Sementara itu, Karnival Zakat Selangor 2025 menjadi platform utama LZS mendekatkan perkhidmatan dengan komuniti. Selain memperkenalkan peranan, bantuan dan inisiatif zakat, karnival ini memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi terus dengan pegawai LZS serta mendapatkan maklumat mengenai program zakat sepanjang tahun. Antara pengisian utama adalah i-Kerjaya, yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan bagi membantu asnaf fakir, miskin dan mualaf memperoleh kerjaya yang lebih stabil dan bersesuaian. 

Karnival Zakat Selangor turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti komuniti dan keluarga seperti jualan rahmah, food truck, pertandingan mewarna, sukan rakyat, demonstrasi seni silat,  persembahan nasyid, pameran perkhidmatan zakat dan banyak lagi. Majlis perasmian hari ini juga menyaksikan beberapa syarikat  menyerahkan zakat perniagaan masing-masing kepada LZS. 

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datin Paduka Badariah Abdul Jalil, Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan, serta Ketua Pegawai Kewangan dan Teknologi Maklumat LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor