Berita Terkini LZS

Kadar Zakat Fitrah Selangor 2026 Ditetapkan RM8, RM16 & RM25

SHAH ALAM, 13 Februari 2026 – Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor untuk Ramadan 1447H/2026M ditetapkan pada RM8.00, RM16.00 dan RM25.00 seorang selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
 
Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memaklumkan kadar RM8.00 seorang adalah bagi individu yang memakan Beras Super Spesial Tempatan atau Beras Putih Import. Kadar RM16.00 pula bagi mereka yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang, manakala kadar RM25.00 bagi individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun/Calrose, Beras Merah atau Beras Hitam.
 
Bagi memastikan kelancaran kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan, Zakat Selangor melantik lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri. Orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah hanya kepada PAF yang dilantik secara rasmi.
 
Pada tahun ini, PAF di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak menggunakan aplikasi mudah alih sepenuhnya dalam urusan kutipan. Pembayar akan menerima slip pengesahan bayaran secara digital sebaik transaksi dibuat dan semakan boleh dilakukan melalui sistem EZO. Manakala di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat, pembayaran masih dibuat menggunakan buku kupon fitrah selain turut disokong aplikasi sama.
 
Pembayaran turut boleh dibuat melalui aplikasi ZPay di kaunter sementara yang dibuka di lebih 200 premis terpilih bagi urusan tanpa tunai. Transaksi ini boleh dilakukan melalui FPX, kad kredit atau debit, e-wallet serta QR DuitNow.
 
Umat Islam di Selangor digalakkan menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum Aidilfitri. Sepanjang Ramadan ini, 19 cawangan Zakat Selangor dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bagi memudahkan urusan pembayaran. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan Zakat Selangor akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor