Resolusi Syariah Zakat

3 - Saluran agihan semula zakat (Wakalah Agihan) oleh syarikat kepada Pertubuhan Tabung Syria

Bolehkah zakat syarikat disalurkan kepada pertubuhan tabung Syria.

Keputusan:
Zakat adalah suatu kewajipan yang dilaksanakan di bawah pengawasan pemerintah. Menjadi tanggung jawab pemerintah umat Islam secara mutlak untuk mentadbir urusan zakat, sama ada dalam urusan memungut dan mengagihkan zakat. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu adalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya, dan mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (Ingatlah) Allah Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam ar-Razi berpendapat bahawa ayat ini menunjukkan bahawa urusan kutipan dan agihan zakat hendaklah dikuatkuasakan oleh pemerintah. Dalilnya, Allah swt telah menentukan kadar tertentu daripada harta zakat sebagai agihan kepada al-Amilin (orang-orang yang mentadbir urusan zakat). Oleh itu, urusan zakat mesti diserahkan kepada Amil dan Amil mesti dilantik oleh pemerintah serta diberi kekuasaan untuk mengutip dan mengagihkan zakat.

Dalam meraikan permintaan dan persoalan pembayar zakat dalam menguruskan agihan zakat terus kepada asnaf tanpa melalui pemerintah, terdapat kaedah yang dianjurkan oleh Syarak dalam menyelesaikan permasalahan ini. Dr. Yusuf Qaradhawi berpendapat pemerintah boleh memberikan kelonggaran kepada pemilik harta untuk mengagihkan satu pertiga atau satu perempat daripada keseluruhan zakatnya. Hal ini bertujuan untuk memberikan kebebasan kepada mereka mengagihkan zakat tersebut kepada kaum keluarga terdekat atau para jiran tertangga yang memerlukan.

Perkara ini disandarkan kepada perintah Rasulullah ke atas pentaksir zakat yang diutuskan untuk meninggalkan satu pertiga atau satu perempat daripada keseluruhan jumlah zakat kepada para pemilik harta. Ini berdasarkan hadis:

عَن سَهْلِ بن أبى حَثْمَةَ قَالَ; قَالَ رَسُولُ الله ; إِذَا خَرَصْتُمْ فَخُذُوا وَدَعُوا الثٌّلُثَ، فَإِن لَمْ تَدْعُوا الثُلُثُّ فَدَعُوا الرُبعَ

Maksudnya:
“Daripada Sahal bin Abu Hathmah, bahawa Rasulullah swt SAW bersabda: Apabila kamu membuat penaksiran hendaklah kamu ambil zakatnya dan tinggalkan satu pertiga (1/3). Jika kamu tidak tinggalkan satu pertiga (1/3), hendaklah tinggalkan satu perempat (1/4).”

Yang dimaksudkan dengan (وَدَعُوا الثٌّلُثَ) “tinggalkan satu pertiga 1/3”, Ibnu Hiban mentafsirkannya kepada dua makna iaitu pertama ditinggalkan satu pertiga 1/3 atau satu perempat 1/4 daripada usyur (tamar yang telah ditaksir zakatnya). Kedua diambil bahagian satu pertiga 1/3 atau satu perempat 1/4 daripada hasil buah (tamar) sebelum ditaksir zakatnya (usyur). Imam as-Syafie berpendapat ditinggalkan satu pertiga 1/3 atau satu perempat 1/4 dari kadar zakatnya untuk diagihkan sendiri kepada kaum kerabat dan jiran tetangga yang memerlukan. Dalam hal ini, pemberi tidak wajib mengeluarkan zakat terhadap hartanya yang telah dimakan oleh fakir miskin atau yang telah digunakan untuk keperluan mereka.

Hadis ini menunjukkan kebenaran bagi pemilik harta menguruskan agihan zakat secara persendirian. Walau bagaimanapun, Dr. Yusuf Qaradhawi berpandangan:

Zakat yang diserahkan pengurusannya kepada individu tidak melebihi kadar satu pertiga 1/3 daripada jumlah harta zakat secara keseluruhannya. Ini berdasarkan ada hadis menyatakan kadar satu pertiga merupakan jumlah yang cukup banyak.

RUMUSAN:
Oleh itu keharusan pihak syarikat untuk menguruskan agihan sendiri tertakluk kadar 1/3 sahaja dan selebihnya wajib diserahkan kepada pemerintah untuk diuruskan. Dalam konteks negeri Selangor pemerintah yang menguruskan zakat adalah LZS.

Isu menyerahkan sebahagian (1/3) zakat kepada mangsa perang di Syiria melalui RescueSyria MAPIM sebagai contoh pada masa kini adalah dibolehkan dan menjadi keperluan kepada ummah islam di seluruh dunia untuk membantu. Walau bagaimanapun, kos pengurusan perlulah ditanggung oleh pihak syarikat dan tidak boleh menggunakan dana zakat kerana MAPIM bukanlah amil yang dilantik oleh pemerintah.
Isu pemindahan harta zakat hanya diharuskan sekiranya ia membawa kepada maslahat yang lebih besar untuk umat islam. Inilah yang dilakukan oleh para pengutip zakat ketika membawa harta zakat mereka kepada Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin selepas baginda.

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2025 Lembaga Zakat Selangor