Muhammad Ivan mula menjejakkan kaki ke Baitus Salam pada November 2022 dengan pengetahuan Islam yang sangat asas. Seperti mualaf lain, beliau memulakan langkah dengan belajar solat, mengenali huruf hijaiyah dan membaca Iqra’ satu per satu.
Namun dengan keazaman yang luar biasa, beliau belajar dengan tekun dan akhirnya berjaya membaca al-Quran dengan lancar. Hari ini, beliau bukan sahaja menjadi imam dan muazzin di Baitus Salam, malah terus mendalami ilmu bacaan tarannum secara sendiri melalui bacaan Qari di YouTube. Minat itu berkembang menjadi impian.
Pada tahun 2024, impian itu menjadi kenyataan. Dengan penuh yakin, beliau menyertai pemilihan wakil mualaf Selangor untuk Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan. Hasil usaha dan bakatnya, beliau terpilih dan lebih membanggakan membawa pulang tempat ketiga dalam Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024.
Perjalanan Muhammad Ivan membuktikan bahawa hidayah, apabila disambut dengan ilmu dan kesungguhan, mampu melahirkan insan luar biasa yang menyinari agama dengan penuh rendah hati.