BANGI, 9 Julai 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat–MAIWP (PPZ-MAIWP) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) terus memacu agenda pemerkasaan zakat negara menerusi penganjuran sulung Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat (IjDAZ) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Bangi, Selangor.
Mengangkat tema “Ke Arah Pemerkasaan Tadbir Urus Syariah dan Dakwah dalam Kalangan Amil Zakat di Malaysia”, program ini menghimpunkan hampir 200 duat dan asatizah dari seluruh negara. Ia menjadi medan pertama yang menyatukan kekuatan syariah dan dakwah zakat secara berstruktur, praktikal dan berpandukan realiti semasa.
Majlis perasmian IjDAZ telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Dato’ Selamat Paigo yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam ucapan yang dibacakan bagi pihak Menteri, IjDAZ disifatkan sebagai platform penting dalam memacu koordinasi dan penyatuan penggerak zakat negara. Program ini bukan sekadar pengisian kalendar tahunan, sebaliknya membawa nilai besar terhadap perkembangan institusi zakat di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh aspek fatwa, dakwah serta pendekatan kutipan dan agihan yang lebih efisien.
Ucapan itu turut menekankan bahawa penganjuran IjDAZ memberi isyarat jelas tentang keperluan menyelaras pendekatan syariah dan dakwah zakat di seluruh negara. Ia menjadi ruang kolaboratif yang bermakna untuk memacu kecemerlangan institusi zakat secara bersama, selaras dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh ekosistem pemerkasaan ummah.
Seiring aspirasi tersebut, IjDAZ bukan sekadar perhimpunan ilmiah tetapi dirangka sebagai platform bersepadu untuk memperkukuh kerjasama antara institusi zakat, menyelaraskan kefahaman syariah dan memantapkan pelaksanaan dakwah zakat secara menyeluruh.
Ia turut merapatkan jurang antara negeri melalui penyatuan suara amilin, pertukaran pendekatan dan pemantapan jaringan kerja menerusi koordinasi bersama JAWHAR, Majlis Pengurusan Zakat Negeri (MPZN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, IjDAZ hadir sebagai medan tindakan yang membina kefahaman bersama dan memperkukuh kesatuan amilin dalam mendepani cabaran sebenar pengurusan zakat hari ini. Beliau menekankan kepentingan penyelarasan ilmu, pengalaman dan pendekatan secara realistik agar institusi zakat kekal relevan dan diyakini masyarakat.
Program dua hari ini disusun secara menyeluruh melalui pelbagai sesi strategik yang menampilkan tokoh-tokoh utama seperti Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS, Profesor. Dato’ Dr. Aznan Hasan yang membentangkan kepentingan penguasaan ilmu dan kemahiran Syariah dalam kalangan amilin zakat.
Sesi ‘Bicara IjDAZ’ pula mengetengahkan pandangan wakil Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), yang membincangkan cabaran dan harapan melahirkan pelapis dakwah zakat berwibawa.
Perkongsian ‘Best Practice’ oleh LZS dan PPZ-MAIWP pula memberi tumpuan kepada pelaksanaan tadbir urus syariah dan dakwah zakat di peringkat negeri. Selain itu turut diadakan sesi perbincangan dan pembentangan hasil meja bundar yang dikemudikan oleh wakil dari PPZ-MAIWP.
Turut diadakan ialah kuliah khas fiqh zakat perniagaan oleh Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir serta pembentangan resolusi bersama oleh Pengerusi MPZN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Mohd Azmi Othman sebagai langkah awal ke arah penyelarasan kebangsaan yang lebih tersusun dan menyeluruh. Kerjasama penganjuran yang erat antara LZS dan PPZ-MAIWP serta JAWHAR menunjukkan potensi kesinergian yang lebih baik pada masa akan datang.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang; dan Mufti Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.









