Kisah Impak

Hidayah Di Warung Kecil: Kisah Muslimah Orang Asli

Perjalanan Rahmah memeluk Islam bukanlah mudah. Pada awalnya, pengislamannya dirahsiakan daripada ibu bapa. Reaksi pertama dingin dan jauh dari mesra. Namun Rahmah tidak pernah membalas dengan marah. Dengan penuh sabar, beliau terus menjaga silaturahim, dan akhirnya kasih sayang serta doa membuka hati kedua ibu bapanya untuk menerima hidayah itu dengan reda. Bermula sebagai pekerja kedai makan dan kemudiannya di syarikat khemah selama hampir 15 tahun, Rahmah akhirnya mendapat dorongan keluarga untuk membuka warung sendiri di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun.

Tahun 2014 menjadi saksi langkah pertamanya sebagai peniaga nasi lemak bersama suami tercinta. Setelah melalui fasa getir Perintah Kawalan Pergerakan, beliau mula menyediakan masakan panas pada waktu malam demi kelangsungan hidup. Di sebalik senyumannya, Rahmah menanggung pelbagai ujian kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit lutut namun semangatnya tidak pernah luntur. Beliau bertekad untuk menyediakan makanan halal kepada masyarakat Orang Asli di kawasannya yang kurang akses kepada pilihan makanan Muslim.

Lebih mengharukan, Rahmah bukan sahaja berniaga tetapi juga menyumbang. Beliau sering menerima permintaan menyediakan jamuan berbuka daripada agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan sekolah sekitar. Malah, ada insan yang mempercayainya untuk menyalurkan sumbangan makanan panas kepada komuniti yang serba kekurangan. Pengislamannya menjadi asbab hidayah kepada beberapa adik-beradiknya. Rahmah bukan sekadar usahawan beliau adalah pembuka jalan, penyambung kasih dan cahaya dakwah yang menyala di pelosuk kampung. Antara bantuan yang diterima adalah:

  • Bantuan bina rumah (2010)

  • Bantuan makanan (2014)

  • Saguhati Aidilfitri (2014–2016)

  • Bantuan baik pulih rumah (2022)

  • Elaun Kelas Fardhu Ain Mualaf (KFAM)

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2025 Lembaga Zakat Selangor