KUALA SELANGOR, 24 Februari 2026 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya berjumlah RM264,500 kepada 529 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf di daerah ini semasa Majlis Ihya Ramadan DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM74,500 diserahkan kepada 149 asnaf fakir, manakala RM119,500 diagihkan kepada 239 asnaf miskin dan RM70,500 diserahkan kepada 141 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang.
Untuk makluman, pada tahun ini Zakat Selangor menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM35,983,800 kepada 78,656 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal.






