Kisah Impak

Disiplin dan Ketabahan: Kunci Kejayaan Safwan

Safwan merupakan anak asnaf kelahiran Subang, Selangor dan anak kelima daripada lapan beradik. Beliau adalah satu-satunya ahli keluarga yang menetap di Bait Al-Hasanah sejak tahun 2010 ketika berusia 11 tahun, sebagai batch pertama asrama tersebut. Kehidupan keluarga yang serba kekurangan, dengan bonda sebagai pengasuh dan ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan, menjadikan perjalanan hidup Safwan penuh cabaran. Namun, bantuan Zakat Selangor banyak meringankan beban keluarganya. Pada tahun 2026, Safwan diuji dengan pemergian bonda tercinta tetapi Safwan terus cekal untuk teruskan perjuangan hidup.  

Beliau sering menonjol dalam kepimpinan, pernah dilantik sebagai ketua pelajar asrama hampir tiga kali dan seterusnya menjadi ketua pelajar sekolah menengah pada usia 17 tahun 

Selepas tamat SPM, Safwan melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi di Banting dan seterusnya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Beliau berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.33 dan membina kehidupan berdikari sejak usia remaja. 

Kerjaya Safwan bermula dengan mengambil upah dan menjual kuih sejuk beku sebelum diberi peluang menjadi Perunding Unit Amanah di Public Mutual Berhad. Walaupun berdepan cabaran besar pada peringkat awal tanpa gaji tetap, ketekunan dan konsistensi membuahkan hasil. Kini, selepas lima tahun dalam industri, Safwan menikmati pendapatan lima angka secara konsisten serta memiliki aset dan gaya hidup yang stabil.

Kejayaan Safwan membuktikan bahawa latar belakang serba kekurangan bukan penghalang untuk berjaya. Dengan keazaman, disiplin dan tindakan yang konsisten, setiap kesusahan mampu menjadi batu loncatan ke arah kehidupan yang lebih baik. 

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor