Ketika ramai pelajar seusianya sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada persediaan peperiksaan, Muhammad Zaki Yap Abdul Salam berdepan ujian hidup yang amat berat apabila kehilangan bapa tercinta setahun sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, dugaan tersebut tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, Zaki menjadikan kesedihan sebagai sumber kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan dan mengejar kejayaan.
Dengan sokongan penuh ibunya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, Zaki kekal fokus terhadap pelajaran walaupun berhadapan pelbagai cabaran. Beliau turut menyertai Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) yang menyediakan bimbingan akademik, sokongan moral serta suntikan motivasi yang amat diperlukan dalam perjalanan akademiknya.
Walaupun pernah mengalami kegagalan dalam mata pelajaran Matematik semasa peperiksaan percubaan, Zaki tidak berputus asa. Berkat usaha berterusan, beliau berjaya memperoleh keputusan 9A penuh dalam peperiksaan SPM sebenar. Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan keluarga, malah membuktikan keberkesanan sokongan berterusan melalui Program PROSAZ.
“Saya mahu terus berjaya demi arwah ayah dan ibu yang banyak berkorban untuk saya. Program PROSAZ membantu saya bangkit dan percaya pada diri sendiri.” ujar Muhammad Zaki.
Kejayaan Zaki menjadi bukti bahawa dengan sokongan yang tepat, semangat juang yang tinggi dan keazaman yang kukuh, anak-anak asnaf mampu mencipta kecemerlangan dan mengubah masa depan mereka.