Kisah Impak

Dari Cabaran Hidup ke Menara Ilmu

Perjalanan hidup Saqeef Ramanathan, seorang mualaf penuh dengan cabaran besar. Terpisah daripada keluarga asal selepas memeluk Islam, beliau tetap memikul tanggungjawab menanggung dua orang anak, di samping berdepan tekanan kos sara hidup, sewa rumah dan yuran pengajian di Petaling Jaya.

Situasi kewangan yang mencabar itu mula berubah apabila beliau menerima Dermasiswa Pendidikan dan Bantuan Bulanan daripada Zakat Selangor. Bantuan zakat memberi ruang untuk beliau menyusun kehidupan dengan lebih tenang dan fokus kepada masa depan.

Pada tahun 2024, Saqeef memulakan pengajian PhD Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tajaan zakat sepenuhnya. Komitmen dan sumbangan beliau sebagai mualaf turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Anugerah Khas Mualaf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hasil pencalonan oleh Zakat Selangor. Pengiktirafan ini menjadi dorongan moral yang besar dalam meneruskan dakwah dan pembangunan diri.

Dalam kerjaya, beliau berkhidmat sebagai Guru Sejarah di Jabatan Agama Islam Selangor serta Jurulatih Utama Sejarah SPM di bawah PPD Petaling Utama. Beliau juga merupakan bekas pelajar KFAM  Zakat Selangor.

Dengan bantuan zakat, perjalanan hidup Saqeef Ramanathan telah berubah daripada kesempitan kepada kemandirian, membuktikan bahawa zakat bukan sekadar meringankan beban, malah menjadi pemangkin pembinaan insan berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kembali kepada agama serta masyarakat.

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor