Mohd Faizal Ayob memulakan perniagaannya dari sebuah bengkel kecil di belakang sebuah rumah di Puchong Permai. Di ruang yang serba sederhana itu, beliau membina kemahiran langkah demi langkah, belajar melalui pengalaman sebenar dan membuktikan bahawa kerja kayu boleh menjadi sumber rezeki yang berdaya maju.
Namun, beliau tidak berhenti setakat mencukupkan keperluan harian. Pada April 2021, sebuah ruang kerja kolaboratif ditubuhkan dengan bengkel yang lebih tersusun, kemas dan bersedia untuk berkembang. Terletak di Lot 5195, Jalan Bakawali, Kampung Pasir Baru, Puchong, bengkel ini menjadi pusat perkhidmatan kerja kayu, pembangunan prototaip dan pembaikan perabot. Di sinilah idea diuji, kualiti diperhalusi dan peluang mula terbuka.
Apa yang menjadikan perjalanan Mohd Faizal bermakna ialah pendekatan yang dipegangnya. Perniagaan dibina bukan untuk dirinya semata-mata, tetapi sebagai ruang memberi manfaat kepada komuniti. Penglibatan aktif beliau dalam aktiviti kemasyarakatan membawa kepada penubuhan sebuah perusahaan sosial melalui program usahawan SME Corp dan Yayasan Inovasi Malaysia. Dari situ, penglibatan beliau semakin luas menyantuni program pembangunan komuniti, memperkasa belia-belia PPR di sekitar Lembah Klan, dan membina jaringan kerjasama bersama pelbagai pihak. Setiap program yang disertai bukan hanya “aktiviti”, tetapi ruang harapan: untuk belia merasai peluang, untuk komuniti kembali yakin, dan untuk kemahiran menjadi pemangkin perubahan.
Usaha ini turut mendapat sokongan dan usahasama daripada pelbagai agensi seperti CIMB Foundation, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Yayasan Telekom Malaysia, serta Pejabat Ahli Parlimen dan DUN. Hari ini, perniagaan Mohd Faizal telah berkembang menjadi rakan strategik kepada beberapa agensi dan PBT, antaranya ThinkCity, PNB Merdeka Ventures, Yayasan TM, MBSJ dan Yayasan Inovasi Malaysia satu bukti bahawa kerja tangan yang bermula di belakang rumah mampu membina kepercayaan di meja kerjasama.
Dengan sokongan MBSJ, perniagaan beliau kini beroperasi di ruang bengkel yang lebih kondusif di Kompleks 3C, Subang Jaya. Operasi menjadi lebih teratur, peluang semakin luas dan hala tuju pertumbuhan lebih jelas. Daripada sebuah bengkel kecil di belakang rumah, Encik Faizal membina sebuah perjalanan yang mengangkat kemahiran, memartabatkan kerja tangan dan memberi nilai kepada komuniti.