Dilahirkan sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik dalam sebuah keluarga berpendapatan rendah, Muhammad Shafi Yusuf Abd Rahman memikul harapan besar keluarga sejak usia muda. Kehidupan mereka serba sederhana, dengan ayah yang telah bersara dan ibu yang bekerja sebagai pengasuh bagi menampung keperluan harian keluarga.
Dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Shafi hanya memperoleh 4A, namun gagal dalam mata pelajaran Matematik. Keputusan itu bukan penamat, sebaliknya menjadi titik tolak untuk beliau bangkit dan membuktikan kemampuan diri.
Dengan keazaman yang tinggi serta bimbingan berterusan melalui Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) di bawah Zakat Selangor, Shafi melakukan perubahan yang luar biasa. Usaha dan disiplin yang konsisten akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh 9A penuh dalam peperiksaan SPM sebenar.
Program PROSAZ memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi akademik dan pembentukan sahsiah Shafi. Melalui penyertaan dalam kelas tambahan, sesi motivasi serta pengukuhan spiritual, beliau berjaya membina keyakinan diri, memperbaiki kelemahan akademik dan menukar kegagalan kepada kejayaan yang membanggakan.
“Program PROSAZ memberi saya sinar baharu dalam hidup. Tanpa bimbingan dan keprihatinan yang diberikan, mungkin saya tidak akan mencapai kejayaan ini.” kata Shafi.
Kejayaan Shafi membuktikan bahawa kemiskinan bukan penamat kepada impian. Melalui sokongan yang menyeluruh, usaha yang tidak pernah terhenti dan semangat juang yang tidak mengenal putus asa, anak-anak asnaf mampu bangkit menawan kecemerlangan serta membina masa depan yang lebih cerah dan bermakna.